"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 8 Mei 2014

TENGKU MUHAMMAD, PUTERA SULTAN PAHANG YANG PERTAMA KE MALAY COLLEGE KUALA KANGSAR


Pada 12 Oktober 1913,sewaktu berusia 12 tahun 2 bulan, Tengku Muhammad ibni Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah bertolak ke Malay College Kuala Kangsar, menaiki kapal laut. Tengku Muhammad merupakan putera Sultan Pahang yang pertama melanjutkan pelajaran ke sekolah yang masyhur itu.

Sebelum itu pada bulan Oktober 1913, Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah telah memanggil Mahmud bin Mat (Menteri Besar Pahang pertama, 1948-1951) ke istana baginda di Pekan. Mahmud bin Mat, anak petani dari Kuala Pahang diamanahkan oleh Baginda untuk menjadi pengiring kepada putera bongsu Baginda itu, yang akan berangkat melanjutkan pelajaran ke Malay College Kuala Kangsar.

Sewaktu dipanggil menghadap Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah, Mahmud bin Mat sedang bercuti dan merupakan penuntut tingkatan 3 di kolej tersebut.

DUA BELAS PUTERA PUTERI SULTAN AHMAD AL-MU'AZZAM SHAH


Sepanjang hayat baginda, Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah (1836-1914) telah berkahwin sebanyak 5 kali. Hasil perkahwinan tersebut, baginda telah dikurniakan 7 orang putera dan 5 orang puteri.

Puteri sulung baginda, Tengku Long berkahwin dengan Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III. Manakala puteri kedua baginda, Tengku Dalam mangkat pada tahun 1904, sewaktu berusia 36 tahun.

Putera sulung baginda, Tengku Mahmud diputerakan dalam tahun 1868 dan kemudiannya menjadi Sultan Mahmud (1914-1917). Tengku Mahmud mangkat di Rumah Rehat Kuala Pahang dalam tahun 1917. Putera kedua baginda, Tengku Ali (Tengku Muda Pahang) mangkat dalam tahun 1915 sewaktu berusia 43 tahun. Putera ketiga baginda, Tengku Abdullah kemudiannya menjadi Sultan Pahang (1917-1932).

Tengku Nong berkahwin dengan Raja Alang Iskandar Perak (Sultan Iskandar Shah Kaddasullah) dan mangkat dalam tahun 1914. Tengku Sulaiman (Tengku Besar Pahang) telah diputerakan dalam tahun 1884 dan mangkat dalam tahun 1962.

Anakanda kelapan, Tengku Jusoh (Tengku Panglima Perang) telah mangkat dalam tahun 1939. Tengku Omar (Tengku Setia Raja) mangkat dalam tahun 1944. Tengku Kelsom mangkat dalam tahun 1940-an.

Tengku Mariam telah diputerikan dalam tahun 1889, berkahwin dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan menjadi Tengku Ampuan Terengganu. Tengku Mariam telah mangkat dalam tahun 1975.

Putera bongsu baginda, Tengku Muhammad (Tengku Panglima Perang) telah diputerakan dalam tahun 1901, pernah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang dan Menteri Besar Terengganu, dan telah mangkat pada tahun 1957.

Kesemua putera puteri baginda disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang, kecuali 2 orang putera baginda iaitu Tengku Sulaiman dan Tengku Muhammad yang disemadikan di Makam Diraja Pekan. Puteri bongsu baginda, Tengku Mariam pula disemadikan di dalam kubah Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

TUJUH PUTERA PUTERI SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH


Perkahwinan Tengku Ahmad Shah dengan Tengku Afzan di Kuala Lipis pada 24 April 1954 telah dikurniakan 2 orang putera dan 5 orang puteri.

Mereka ialah Tengku Tan Sri Meriam (Tengku Puteri Lela Wangsa), Tengku Muhaini (Tengku Puteri Seri Teja), Tengku Aishah (Tengku Puteri Seri Kemala), Tengku Abdullah (Tengku Mahkota), Tengku Abdul Rahman (Tengku Muda), Tengku Nong Fatimah (Tengku Puteri Seri Lela Manja) dan Tengku Shahariah (Tengku Puteri Seri Bongsu). Ketujuh-tujuh putera puteri ini diputera dan diputerikan di Pekan, sewaktu Tengku Haji Ahmad Shah menjadi Tengku Mahkota Pahang dan bersemayam di Istana Mangga Tunggal, Pekan.


Apabila Tengku Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Sultan Pahang dalam tahun 1974 berikutan kemangkatan Sultan Abu Bakar, Baginda telah berpindah dan membawa bersama keluarga bersemayam di Istana Abu Bakar, Pekan.

Putera puteri Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Hajah Afzan membesar dan mendapat pendidikan di sekolah rendah dan menengah di Pekan, sebelum melanjutkan pengajian di luar negara dan berjaya memperolehi kelulusan mengikut bidang masing-masing.

Rabu, 12 Februari 2014

SULTAN PAHANG PERTAMA DISEMADIKAN DI MAKAM DIRAJA KAMPUNG MARHUM


Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah telah mangkat di Istana Pantai, Pekan pada 9 Mei 1914 sewaktu berusia 78 tahun. Jenazah baginda telah dibawa ke Kuala Pahang dan disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang.

Almarhum merupakan Sultan Pahang pertama yang memakai gelaran Sultan yang disemadikan di Makam Diraja tersebut. Putera Almarhum, Sultan Abdullah merupakan Sultan Pahang terakhir yang disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum, iaitu pada 22 Jun 1932.

Menurut Sejarah Pahang, Makam Diraja Kampung Marhum telah wujud sejak kurun ke-18 lagi. Bendahara Tun Habib Abdul Majid merupakan Bendahara Pahang pertama disemadikan di situ, dalam tahun 1780-an. Diikuti Bendahara Tun Koris dalam tahun 1806 dan Bendahara Wan Ali dalam tahun 1856.

Ahad, 1 September 2013

GABENOR HARRY ORD ATUR PERDAMAIAN ANTARA SULTAN ABU BAKAR JOHOR DAN WAN AHMAD PAHANG


Pada 1 September 1868, Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Harry Ord menyaksikan satu perjanjian damai yang ditandatangani di antara Temenggung Abu Bakar (Johor) dengan Bendahara Wan Ahmad (Pahang). Perjanjian tersebut berlangsung di Singapura, yang diatur sendiri oleh Harry Ord.


Peristiwa yang membawa kepada perjanjian tersebut berpunca daripada tindakan Bendahara Wan Ahmad yang menuntut semula daerah Pahang yang diserahkan oleh Bendahara Wan Mutahir kepada Sultan Abu Bakar pada 1863. Bendahara Wan Ahmad yang menang ‘Perang Saudara Pahang’ pada Jun 1863 mengugut akan menyerang Johor sekiranya tuntutannya tidak ditunaikan.

Gabenor Harry Ord telah mengambil daya usaha mengatur perjanjian damai itu, bagi mengelakkan peperangan.

Khamis, 14 Mac 2013

TOK JEBEK BIN AKIL, PAHLAWAN SULTAN AHMAD AL-MU’AZZAM SHAH

Tok Jebek bin Akil tidak terkenal seperti Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan lain-lain pahlawan Pahang, sewaktu menentang Inggeris dalam ‘Pemberontakan Pahang (1891-1895)’. Namun beliau adalah salah seorang pahlawan yang disayangi oleh Sultan Ahmad kerana jasa dan pengorbanannya membantu baginda dalam  ‘Perang Saudara Pahang (1857-1863)’.

Sebagai mengenang jasanya, beliau telah dianugerahkan sehelai bendera, sehelai kain destar dan bengkung hitam. Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah juga telah mengurniakan gelaran Orang Besar Pahang, yang menguasai kawasan Bohor, sebuah kampung di dalam daerah Bera.

Menurut sejarah, Tok Jebek telah dilahirkan di Kampung Bohor dalam tahun 1842 dan meninggal dunia di Mekah dalam tahun 1916. Keturunan Tok Jebek masih terdapat di Kampung Bohor, pada masa sekarang.

Rabu, 13 Mac 2013

SEJARAH BATU NISAN PECAH DI MAKAM CHONDONG


Pada suatu hari di dalam tahun 1906, sekumpulan gajah sedang melintasi sebuah tanah perkuburan lama yang terletak di Kampung Mengkasar, Pekan. Tiba-tiba seekor daripada gajah-gajah itu telah naik minyak dan menyondol batu-batu nisan yang terdapat di makan itu, menyebabkan ia condong dan pecah.



Menurut cerita orang-orang tua, kejadian itu berlaku sewaktu gajah-gajah itu sedang menarik kayu-kayu untuk dibawa ke tapak istana Tengku Besar Mahmud. Pada masa itu, kerja-kerja membina istana Tengku besar Mahmud sedang rancak dijalankan dan memerlukan banyak gajah untuk menarik kayu-kayu tersebut.



Disebabkan batu nisan itu pecah dan condong, lalu makam itu dinamakan Makam Chondong. Makam ini terletak kira-kira 2 kilometer dari Bandar Pekan. Ia merupakan makamj diraja paling tua di negeri Pahang, selain Makam Sultan Muhammad Syah di Dusun Pinang, Pahang Tua dan Makam Diraja Kampung Marhum.