"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 8 April 2018

TENGKU PANGLIMA PERANG JUSOH


Tengku Jusoh merupakan putera kelapan kepada Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah. Almarhum diputerakan di Istana Rupa, Pekan Lama di dalam tahun 1885.

Almarhum merupakan salah seorang putera Sultan Ahmad yang paling menyerlah dan sangat berkebolehan, serta tinggi budi pekertinya. Atas sifat-sifatnya yang baik itu, Tengku Jusoh telah diberikan gelaran Tengku Panglima Perang Pahang yang pertama oleh ayahandanya.

Tengku Jusoh hidup di dalam zaman 4 orang Sultan, iaitu ayahandanya Sultan Ahmad (1863-1914), 2 orang kekandanya Sultan Mahmud (1914-1917), Sultan Abdullah (1917-1932) dan anakanda saudaranya, Sultan Abu Bakar (1932-1974).


Tengku Panglima Perang Tengku Jusoh telah mangkat di dalam tahun 1939 dan dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang.

Isnin, 2 April 2018

SULTAN ABDUL JALIL MANGKAT DI KUALA PAHANG

Menurut Sejarah Pahang dari kajian Dr. W. Linehan, Sultan Abdul Jalil ibni Bendahara Tun Habib Abdul Majid yang dihantar ke Pahang telah dibunuh sewaktu baginda sedang bersembahyang Subuh di dalam perahu di Kuala Pahang, di dalam tahun 1720.

Menurut cerita, baginda dibunuh oleh Laksamana Cek Sekam, atas sebab membalas dendam.


Jenazah Sultan Abdul Jalil telah dibawa ke satu tempat bernama Tanjung Berunai dan disemadikan di situ. Disebabkan adanya Makam baginda di situ, tempat tersebut kemudiannya dipanggil Kampung Marhum.

Sultan Abdul Jalil merupakan putera sulung kepada Bendahara Johor ke-19, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid.


* Gambar Makam Sultan Abdul Jalil di atas diambil pada 12.02.2011