"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 18 Februari 2018

TENGKU ABDULLAH TOLAK JAWATAN SULTAN

Apabila Sultan Mahmud mangkat di Rumah Rehat Kuala Pahang pada 19 Jun 1917, Keluarga Diraja Pahang telah mengadakan mesyuarat dengan pembesar-pembesar istana, untuk membincangkan pengganti sultan yang baharu.

Disebabkan Sultan Mahmud tidak meninggalkan zuriat dan mangkat secara mengejut tanpa sempat melantik Raja Muda, adinda baginda, Tengku Abdullah telah dicadangkan sebagai pengganti. Cadangan tersebut telah diterima oleh semua pihak, atas alasan Tengku Abdullah merupakan putera Almarhum Sultan Ahmad yang paling tua masih hidup pada masa itu.

Tengku Abdullah yang dimaklumkan, telah menolak tawaran dijadikan Sultan dengan alasan tidak bersedia dan tidak cukup berpengalaman. Tengku Abdullah sebaliknya mencadangkan jawatan tersebut diberikan kepada waris yang lebih layak. Bagaimanapun, setelah kerajaan Inggeris sendiri bersetuju dengan lantikan itu, Tengku Abdullah akhirnya menerima untuk dilantik menjadi Sultan.

Tengku Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang oleh Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang, di hadapan jenazah Almarhum Sultan Mahmud di dalam Balai Penghadapan, Istana Seri Terentang pada 20 Jun 1917.

Setelah selesai upacara permasyhuran, jenazah Sultan Mahmud diletakkan di atas Pengusungan Diraja dan dibawa dengan sampan diraja, untuk disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum yang terletak di tebing kanan Sungai Pahang.

Sabtu, 17 Februari 2018

PERTALIAN KELUARGA SULTAN MAHMUD DENGAN SULTAN IBRAHIM JOHOR

Sultan Pahang ke-2, Sultan Mahmud ibni Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah ialah kekanda ipar kepada Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur ibni Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah, Sultan Johor.
Pertalian keluarga ini terjalin berikutan perkahwinan Sultan Mahmud dengan puteri sulung Sultan Abu Bakar iaitu Tunku Mariam, kekanda kepada Sultan Ibrahim. Perkahwinan tersebut berlangsung di Istana Johor pada 14 September 1897. Ketika itu Sultan Mahmud bergelar Tengku Besar Pahang. Sewaktu berkahwin, Tengku Besar Mahmud berusia 27 tahun dan Tunku Mariam berusia 26 tahun.
Walaubagaimanapun, perkahwinan yang bahagia itu tidak dikurniakan zuriat, sehinggalah Sultan Mahmud mangkat di Rumah Rehat Kuala Pahang pada 19 Jun 1917 dan disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Sultan Ibrahim tiba dari Johor Bahru di saat akhir dan sempat menatap wajah kekanda ipar baginda itu sebelum jenazah Sultan Mahmud disemadikan.

Menurut cerita, Sultan Mahmud dan Sultan Ibrahim mempunyai hubungan yang rapat dan saling kunjung-mengunjungi di antara mereka.

BATU NISAN PERMATANG PASIR

Kedatangan Islam di Pahang dibuktikan dengan penemuan sebuah batu nisan lama di Teluk Che Munah, Kampung Permatang Pasir, Pulau Tambun, Pekan, pada Jun 1953. Batu nisan itu berukuran 30cm panjang, 21cm lebar dan 73.5cm tinggi.

Ia menunjukkan kemungkinan pertapakan agama Islam telah berlaku lama di Pahang iaitu hampir 300 tahun sebelum kewujudan Kerajaan Islam di Melaka. Batu nisan tersebut dihiasi dengan ayat Al-Quran dan syair Arab dengan menggunakan seni khat halus. Terdapat juga tarikh yang menunjukkan bahawa si mati meninggal pada subuh hari Rabu, 14 Rabi’ul Awal tahun 419 Hijrah (1028M).

Hal ini bermakna batu nisan tersebut adalah lebih awal daripada kewujudan Batu Bersurat Terengganu, yang bertarikh 1303 Masihi.