Majlis Daerah Pekan (MDP) kini telah pun dinaiktaraf dan dimasyhurkan sebagai
Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja (MPP). Majlis Pemasyhuran Majlis
Perbandaran Pekan telah berlangsung pada 21 Oktober 2023, di Perkarangan
Pejabat Majlis Perbandaran Pekan.
Ahad, 29 Oktober 2023
MAJLIS DAERAH PEKAN DIMASYHURKAN SEBAGAI MAJLIS PERBANDARAN PEKAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan berangkat
menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja, serta Perasmian Bangunan Majlis Perbandaran Pekan. Turut
berangkat ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja
Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim
Alam Shah, serta Yang Amat Mulia Paduka-Paduka Anakanda.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Yang Amat
Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri
Pembangunan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Nga Kor Ming; dan barisan
pentadbiran Kerajaan negeri Pahang.
Sejarah Pekan dikatakan telah wujud sejak abad ke-17. Sebelum ia menjadi
sebuah daerah pada tahun 1889. Pekan kemudiannya menjadi ibu negeri Pahang,
dari tahun 1889 hingga 1898. Ibu Negeri Pahang kemudiannya bertukar ke Kuala
Lipis di dalam tahun 1898 dan Kuantan pada tahun 1957.
Sejarah Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja dikatakan bermula pada
tahun 1924, di mana Majlis Bandar Pekan telah ditubuhkan. Pada 1 November 1968,
Lembaga Bandaran Pekan (Town Board) telah ditubuhkan,bagi menggantikan
Majlis Bandar Pekan.
Selepas itu, pada 1 Julai 1988, Lembaga Bandaran Pekan telah
dinaiktarafkan menjadi Majlis Daerah Pekan (MDP). Encik Hashim bin Abdul Wahab
merupakan Yang Dipertua MDP yang pertama. Perisytiharan secara rasmi Majlis
Daerah Pekan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota
Pahang, Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (ketika
itu), pada 3 November 1990. Keluasan kawasan MDP adalah kawasan pentadbiran
MDP, telah diperluaskan melalui warta no. PW 3542 dengan kawasan keseluruhannya
ialah 2351.8KM persegi.
Kini setelah 35 tahun berlalu, pada 30 Julai 2023 yang juga merupakan
tarikh hari keputeraan ke-64 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah,
akhirnya Majlis Daerah Pekan telah diwartakan sebagai Majlis Perbandaran Pekan.
Sabtu, 28 Oktober 2023
3 PADUKA ANAKANDA AL-SULTAN ABDULLAH DIPAKAIKAN PANGKAT TENTERA DARAT
Tiga orang putera kepada
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah
Maimunah Iskandariah, telah dipakaikan pangkat Tentera Darat Diraja Malaysia,
di dalam suatu majlis yang berlangsung di Istana Negara, pada petang 27 Oktober
2023.
KDYMM Seri Paduka Baginda
Yang Dipertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah
berkenan untuk berangkat dan seterusnya berkenan menyempurnakan sendiri Majlis
Pemakaian Pangkat kepada Paduka-Paduka Anakanda Baginda berdua.
Yang Amat Mulia Tengku Panglima
Raja Tengku Amir Nassser Ibrahim Shah telah dipakaikan pangkat Brigedier
Jeneral Komander Rejimen 505 Askar Wataniah.
Manakala, Yang Amat Mulia
Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dipakaikan pangkat
Leftenan Muda dan ditempatkan sebagai Ketua Platun di Rejimen 505 Askar
Wataniah.
Yang Amat Mulia Tengku
Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah pula dipakaikan pangkat
Leftenan Muda, dan ditempatkan di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja. YAM Tengku
Panglima Perang sebelum ini telah ditauliahkan sebagai Pegawai Kadet Angkatan Tentera
Malaysia, pada 7 Jun 2022. YAM Tengku kemudiannya menghadiri Commissioning
Course di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, bermula 22 Ogos
2022 sehingga 18 Ogos 2023.
Turut berangkat ke Majlis
Pemakaian Pangkat ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang,
Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Panglima Tentera Darat,
Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan juga turut hadir pada majlis
tersebut.
Jumaat, 27 Oktober 2023
SULTAN JOHOR DIPILIH YANG DIPERTUAN AGONG KE-17
KENYATAAN YANG DIKELUARKAN
OLEH PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA BERKENAAN DENGAN PEMILIHAN SERI PADUKA
BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII DAN TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG
Menjunjung titah, saya memaklumkan bahawa Majlis Raja-raja dalam Mesyuaratnya Yang Ke-263 (Khas), diadakan di lstana Negara, pada hari Jumaat, 27 Oktober 2023 telah bersetuju mengisytiharkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan lbrahim, Sultan Johor Darul Ta'zim telah dipilih menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVll, selama tempoh lima (5) tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.
2. Majlis Raja-Raja juga
bersetuju mengisytiharkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin
Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan
Agong, selama tempoh lima (5) tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.
3. Mesyuarat Khas Majlis
Raja-raja yang berlangsung hari ini, telah dipengerusikan oleh Kebawah Duli
Yang Maha Mulla Sultan Terengganu Darul lman dan dihadiri oleh semua Duli Yang
Maha Mulia Raja-raja kecuali Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis dan Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Sultan Kelantan.
4. Menurut peruntukan
Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis
Raja-raja ini telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen. YAB Perdana
Menteri juga telah dimaklumkan.
Yang menjunjung titah,
Tan Sri Syed Danial
Penyimpan Mohor Besar
Raja-Raja
Pejabat Penyimpan Mohor
Besar Raja-Raja
Kuala Lumpur
27 Oktober 2023 / 11
Rabiulakhir 1445
Sabtu, 21 Oktober 2023
PEMANGKU RAJA PAHANG DIMASYHURKAN SEBAGAI PRO-CANSELOR UMPSA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang,Tengku Mahkota Tengku
Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah telah dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan
mengurniakan Warkah Pemasyhuran Pro-Canselor UMPSA kepada Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Pemangku Raja, di dalam Istiadat Konvokesyen ke-18 UMPSA. Istiadat
Pemasyhuran ini berlangsung di Kompleks Suka UMPSA Kampus Gambang, pada 21
Oktober 2023.
Pada Istiadat Konvokesyen pada hari yang sama, turut diadakan ialah
Istiadat Pemasyhuran Nama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. KDYMM
Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah berkenan agar namaSeri Paduka
Baginda diabadikan pada universiti ini, yang sebelum ini dikenali dengan nama
Universiti Malaysia Pahang.
Turut mengiringi keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan
Agong ke istiadat ini ialah paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja, Kolonel Tengku Amir Nasser
Ibrahim Shah. Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh barisan
pengurusan tertinggi UMPSA.
Istiadat konvokesyen kali ini akan berlangsung pada 21 hingga 24 Oktober 2023, yang akan melibatkan seramai 4854 orang graduan.
Ia meliputi 70 penerima anugerah Ijazah Doktor Falsafah, 161 penerima Ijazah Sarjana,
2181 penerima Ijazah Sarjana Muda, 34 penerima Ijazah berkembar dan 91 menerima
Diploma. Turut menerima ialah 1447 orang graduan program Pembelajaran Sepanjang
Hayat UMP Advanced.
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah mula ditubuhkan pada 16
Februari 2002. Ketika itu dikenali dengan nama Kolej Universiti
Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM). Sebelum itu, di dalam tahun
1999, ia bermula dengan Universiti Teknologi Malaysia Kampus Cawangan Pahang (UTM-KCP), yang beroperasi di sebuah
kampus yang terletak di Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Penubuhan universiti
ini adalah hasil daripada cetusan idea Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun
Haji Abdul Razak, yang ketika itu
merupakan Menteri Pendidikan Malaysia.
Pada 1 Februari 2007, Kolej Universiti
Kejuruteraan & Teknologi Malaysia ditukarkan namanya kepada Universiti
Malaysia Pahang (UMP). Universiti Malaysia Pahang kemudiannya telah
ditukar namanya kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA),
pada 30 Julai 2023 yang juga merupakan Hari Keputeraan ke-64 Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Al-Sultan Abdullah.
Langgan:
Catatan (Atom)