"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 6 Januari 2026

PERMAINAN HENCANG BUAH KERAS BERUSIA 300 TAHUN

Permainan Hencang Buah Keras merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Pahang sejak ratusan tahun yang lampau. Ia menjadi permainan tradisi Masyarakat Melayu Pahang dan berusia lebih 300 tahun. Ia diasaskan oleh Bangsawan Bugis dari keturunan Makassar.

Permainan tradisional Hencang Buah Keras terkenal semasa pemerintahan Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah ibni Almarhum Bendahara Tun Ali (1863-1914), sehinggalah ke zaman pemerintahan Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah (1917-1932). Malah, pada akhir tahun 1960-an, permainan ini masih dimainkan di sesetengah kampung di Pahang.

Permainan ini dibawa masuk ke negeri Pahang oleh Keraing Aji Tok Tuan atau nama sebenarnya Kraeng Agang Jene Muhammad Naziruddin. Beliau merupakan seorang Bangsawan dan pahlawan Bugis dari Makassar, Sulawesi, Indonesia.

Pada tahun 1669, setelah Belanda menyerang dan menawan Makassar, orang-orang Bugis telah berhijrah ke Pahang. Keraing Aji yang juga dikenali dengan gelaran Tok Tuan menentang keras kemasukan Belanda dan turut berperang menghalau penjajah. Oleh kerana penentangannya, beliau telah ditangkap oleh kerajaan Belanda bersama-sama pengikutnya dan dihukum buang negeri ke Capetown, Afrika Selatan. Di dalam pelayaran ke Capetown, beliau dapat melarikan diri sehingga ke Muar, Johor. Dari Muar, beliau berpindah dan menetap di Kota Tinggi, Johor. Tidak lama di Kota Tinggi, beliau belayar ke Endau, Johor untuk mengambil bekalan air bersih dan meneruskan pelayaran ke Telok Kandang, Pulau Jawa, Pekan, Pahang. Beliau menetap di situ selama 10 tahun.

Pada tahun 1722, beliau berpindah dan membuka penempatan baharu yang diberi nama Kampung Mengkasar, di Pekan. Penghijrahan orang-orang Bugis membawa pengaruh kebudayaan dan kesenian dalam kehidupan masyarakat di negeri Pahang. Tok Tuan telah memperkenalkan permainan Hencang Buah keras.

Pada asalnya, permainan tradisional Hencang Buah Keras ini hanya dimainkan oleh golongan istana. Ia kemudiannya diturunkan kepada golongan rakyat biasa sebagai permainan rakyat. Permainan ini turut dipersembahkan dengan pelbagai jenis tarian dan gendang Silat. Dalam permainan ini, tiga alat penting yang diperlukan iaitu buah keras, alat pengapit dan pelapik.

Permainan ini adalah permainan kegemaran Pahlawan Mat Kilau dan beliau sangat handal bermain. Setelah remaja, beliau mengambil bahagian dalam permainan Hencang Buah Keras. Kudratnya muda dan kuat, Mat Kilau dijadikan orang tukang hencang. Mengikut apa yang diketahui, Mat Kilau tidak pernah menghencang tidak pecah. Mat Kilau menjadi lebih terkenal sebagai penghencang buah keras apabila Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah (Sultan Pahang ketika itu) berangkat dan bersemayam di Pulau Tawar.