"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Sabtu, 24 September 2022

PEMANGKU RAJA PAHANG MERASMIKAN TUGU PERINGATAN FORCE 136

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mencemar duli merasmikan Tugu Peringatan Force 136 di Batalion Ketiga Rejimen 505 Askar Wataniah, Kem Puncak Mas, Raub.

 

Majlis perasmian ini berlangsung pada 24 September 2022. Turut berangkat ke majlis perasmian ini ialah Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja, Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut hadir ialah para pegawai serta anggota Force 136, dan waris-waris kepada Wira-Wira Force 136.
 

Di Tugu Peringatan ini diabadikan nama 244 orang pejuang yang terdiri daripada anak-anak watan Negeri Pahang, yang terdiri daripada 27 orang Pegawai dan 217 orang Lain-lain Pangkat, yang diketuai oleh Yeop Mahidin bin Mohd Sharif, Abdul Razak Hussain, Ghazali Shafie dan Rahman Ismail.
 

Force 136 ditubuhkan pada 16 Mac 1944. Ia merupakan nama samaran kepada operasi sulit yang bertujuan melakukan perisikan dan sabotaj terhadap tentera Jepun. Ia kemudiannya dibubarkan pada 1 Disember 1945, setelah tentera Jepun menyerahkan kalah dan anggota Force 136 dikekalkan sebagai Askar Wataniah. Leftenan Kolonel Yeop Mahidin dilantik sebagai Pegawai Pemerintah, manakala Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah sebagai Kolonel Kehormat.
 

Pasukan Force 136 ini juga bertanggungjawab melindungi Almarhum Sultan Sir Abu Bakar ketika serangan Jepun, pada suatu ketika dahulu. Idea penubuhan Tugu Peringatan Force 136 ini adalah cetusan idea Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.









Foto Perasmian: YAM Tengku Panglima Raja

TUANKU MUHAMMAD SHAH RAJA TERMUDA DI DURBAR 1897

Sewaktu menghadiri Persidangan Raja-Raja Negeri Negeri Melayu Bersekutu (DURBAR) yang pertama di Kuala Kangsar, Perak di dalam tahun 1897, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni Yamtuan Antah baru berusia 32 tahun.

 
Baginda merupakan raja yang paling muda di kalangan empat Raja-Raja Melayu yang menghadiri persidangan tersebut. Selain Tuanku Muhammad yang mewakili Negeri Sembilan, Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad ketika itu berusia 93 tahun. Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azzam Shah berusia 46 tahun dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah berusia 62 tahun.
 

Persidangan DURBAR tersebut berlangsung di Istana Negara, Bukit Chandan, Perak dari 13 hingga 17 Julai 1897. Persidangan tersebut buat pertama kalinya berjaya menemukan empat orang Raja-Raja Negeri Melayu Yang Bersekutu.
 
Sepanjang berada di Kuala Kangsar, Tuanku Muhammad melantik adinda baginda, Tunku Besar Burhanuddin menjalankan segala urusan pentadbiran negeri di Seri Menanti.

Sabtu, 17 September 2022

TUANKU ABDUL RAHMAN BERANGKAT KE KENABOI

Pada tahun 1935, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-8, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad telah mencemar duli berangkat ke Kediaman Rasmi Undang Luak Jelebu ke-12, Dato’ Abdullah bin Panglima Muda Lok, di Kenaboi, Jelebu.

 
Perjalanan menaiki motokar daripada Seri Menanti itu turut diiringi oleh Tunku Besar Burhanuddin dan pembesar-pembesar Istana Negeri Sembilan.
 

Keberangkatan Tuanku Abdul Rahman dan rombongan baginda ke Kenaboi adalah bagi menyaksikan Dato’ Undang Abdullah menerima bintang C.B.E. yang disampaikan oleh Sir Shenton Thomas, Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, yang mewakili King George V, Raja England.

RUANG REHAT TUANKU MUHAMMAD SHAH

Di Istana Lama Seri Menanti, terdapat sebuah bilik kecil yang terletak di tingkat 3 istana tersebut. Menurut sejarahnya, bilik ini menjadi tempat berehat yang amat disukai oleh Almarhum Tuanku Muhammad ibni Almarhum Tuanku Antah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-7.



Baginda dikatakan selalu menghabiskan masa lapang baginda duduk di beranda bilik ini, di atas sebuah kerusi kayu, sambil melihat pemandangan gunung yang luas terbentang di hadapan istana Baginda. Menurut cerita orang-orang tua, tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan masuk dan bermain-main di bilik rehat ini, termasuk putera-putera Baginda sendiri.
 

Walaupun setelah berpindah ke Istana Besar Seri Menanti di dalam tahun 1931, Tuanku Muhammad masih lagi kerap berangkat dan berehat di bilik ini.

43 ORANG PUTERA DAN PUTERI SULTAN ALA’EDDIN SULAIMAN SHAH

Sultan Sir Ala’eddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa merupakan Sultan Selangor ke-5. Baginda memerintah dari tahun 1898 sehingga 31 Mac 1938.

 
Sewaktu hayat Baginda (1863 – 1938), Sultan Ala’eddin Sulaiman telah berkahwin sebanyak lima kali. Dari perkahwinan tersebut, Baginda telah dikurniakan seramai 43 orang putera dan puteri. Baginda merupakan Raja di Tanah Melayu yang mempunyai zuriat kedua teramai, iaitu selepas Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-26, yang mempunyai seramai 49 orang putera dan puteri.
 

Kelima-lima permaisuri Baginda ialah Tunku Maharum binti Tunku Zhiauddin yang Baginda kahwini dalam tahun 1892, Hasnah binti Pilong (1895), Raja Puan Zabedah binti Sultan Abdul Jalil (1910), Maimunah binti Abdullah (1913) dan Raja Fatimah binti Sultan Idris Mursyidul Shah (1921).
 
Daripada 43 orang putera dan puteri Baginda itu, 2 orang putera Baginda menjadi Sultan Selangor iaitu putera sulung Baginda, Sultan Musa Ghiatuddin dan putera kelima Baginda, Sultan Hishamuddin. Manakala itu, 2 orang puteri Baginda menjadi Permaisuri. Iaitu Tengku Zaharah, yang menjadi Permaisuri Langkat dan Tengku Raihani yang menjadi Permaisuri Brunei.

Jumaat, 16 September 2022

TENGKU RAIHANI, TENGKU AMPUAN BRUNEI

Tengku Raihani binti Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah diputerikan pada 11 Oktober 1911, di Istana Bandar Temasya, Jugra, Kuala Langat. Baginda merupakan puteri kepada Sultan Selangor ke-5, Sultan Ala’eddin Sulaiman ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Cik Puan Anjong Negara Maimunah binti Abdullah.

 

Tengku Raihani berkahwin dengan Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien ibni Sultan Sir Muhammad Jamalul Alam II, Sultan Brunei ke-27. Perkahwinan diraja itu berlangsung pada 30 April 1934, di Istana Negara, Kelang, mengikut adat istiadat diraja Selangor dan Brunei. Tengku Raihani kemudiannya ditabalkan sebagai Tengku Ampuan Brunei pada 17 Mac 1940. Tengku Ampuan Raihani merupakan puteri kedua Sultan Ala’eddin Sulaiman yang bergelar Permaisuri. Kekanda Baginda, Tengku Zaharah yang berkahwin dengan Sultan Langkat, Sultan Abdul Aziz Abdul Jalil Rahmad Shah, dan bergelar Tengku Permaisuri Langkat di dalam tahun 1920.
 

Perkahwinan Tengku Ampuan Raihani dengan Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddin dikurniakan seorang puteri, Pengiran Anak Puteri Hajjah Noor Ehsani. Tengku Ampuan Raihani mangkat pada 22 September 1993, kerana barah ginjal dan dimakamkan di dalam Bangunan Makam Tengku Ampuan, Makam Diraja Selangor, Kelang.

Jumaat, 9 September 2022

RATU ELIZABETH II MANGKAT

Pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden, Ratu Elizabeth II menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari (waktu tempatan) Khamis, 8 September 2022. Menurut kenyataan Istana Buckingham, Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland.

 

Ratu Elizabeth II atau Elizabeth Alexandra Mary dilahirkan di 17, Bruton St., London, pada 21 April 1926. Baginda menjadi Ratu United Kingdom pada 6 Februari 1952 dan dimahkotakan pada 2 Jun 1953.
 

Ratu Elizabeth adalah Ratu pemerintah kepada 15 negara termasuk United Kingdom, Australia, Kanada, New Zealand, Jamaica, Antigua & Barbuda, Bahamas, Belize, Grenada, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, Saint Kitts & Nevis, Saint Lucia, Saint Vincent & The Grenadines dan Tuvalu.
 

Susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, putera Baginda Putera Charles menaiki tahta sebagai Raja United Kingdom dan 14 Negara-negara Kesatuan Komanwel yang lain, dengan gelaran Raja Charles III.
 

Bagi menzahirkan penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II, Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan KDYMM Sultan Pahang, telah menitahkan agar bendera Negeri Pahang dikibarkan separuh tiang selama 3 hari berturut-turut mulai Sabtu, 10 September 2022.


Setelah kemangkatan Ratu Elizabeth II, Sultan Brunei ke-29, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, yang menaiki tahta pada 5 Oktober 1967 kini menjadi pemerintah yang paling lama di atas tahta pada masa kini.




Ahad, 4 September 2022

TUNKU KURSHIAH TUNKU AMPUAN NEGERI SEMBILAN TERMUDA

Tunku Kurshiah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin merupakan permaisuri kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-8, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad. Baginda diputerikan pada 16 Mei 1911, di Istana Baroh, Seri Menanti.

 
Ayahanda baginda ialah Tunku Besar Burhanuddin ibni Almarhum Tuanku Antah. Bonda baginda ialah Sharifah Alawiyah binti Sayyid Abdul Hamid. Tunku Kurshiah ditabalkan sebagai Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada 21 April 1934, sewaktu baginda berusia 23 tahun. Sekaligus menjadi Tunku Ampuan termuda dalam sejarah beraja di Negeri Sembilan, sejak tahun 1773.
 

Sebagai puteri sulung kepada pewaris tahta kedua Negeri Sembilan, Tunku Kurshiah membesar sebagai seorang puteri raja dan mendapat asuhan yang sempurna daripada ayahanda dan bonda baginda.
 
Tunku Kurshiah bertemu jodoh dengan Tuanku Abdul Rahman, di dalam tahun 1929, ketika berusia 18 tahun. Ketika itu, Tuanku Abdul Rahman bergelar Tunku Muda Serting. Perkahwinan baginda berdua dikurniakan 2 orang puteri, iaitu Tunku Bahiyah (Sultanah Bahiyah Kedah) dan Tunku Shahariah.
 

Tunku Puan Besar Kurshiah telah mangkat pada 2 Februari 1999, jam 4.50 petang dan dimakamkan di Makam Diraja Sei Menanti.

Sabtu, 3 September 2022

TUANKU ABDUL RAHMAN DISERANG SAKIT JANTUNG DI ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR

Kira-kira jam 5 pagi, 1 April 1960, Yang Dipertuan Agong Pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad telah mengejutkan permaisuri Baginda, Tuanku Kursiah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Baginda mengadu sakit dada.

 
Raja Permaisuri Agong Tuanku Kursiah segera memanggil pembantu istana dan menghantar Baginda ke sebuah hospital di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, Baginda mangkat sewaktu di dalam perjalanan. Doktor yang memeriksa mengesahkan Baginda mangkat kerana diserang sakit jantung.
 

Berita kemangkatan Baginda telah diumumkan oleh Perdana Menteri Pertama, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Berita kemangkatan Baginda ini telah menggemparkan seluruh negara dan mendapat liputan besar-besaran di dada-dada akhbar.
 
Tuanku Abdul Rahman mangkat 2 tahun 8 bulan setelah ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong yang pertama. Usia Baginda pada hari kemangkatan Baginda ialah 64 tahun 8 bulan. Jenazah Almarhum Tuanku Abdul Rahman telah dimandi dan disembahyangkan di Istana Negara. Istiadat Penghormatan Terakhir berlangsung di Dewan Jamuan Istana Negara.
 

Pada 2 April 1960, perarakan mengiringi jenazah Baginda telah diadakan di Kuala Lumpur, di mana jenazah Baginda telah dibawa dengan keretapi ke Seremban, kemudiannya ke Istana Besar Seri Menanti. Jenazah Baginda kemudiannya dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti, selepas Asar 5 April 1960.
 
Semua Raja-Raja Melayu dan wakil masing-masing telah hadir di Istiadat Pemakaman Yang Dipertuan Agong Pertama itu. Putera sulung Baginda, Tuanku Munawir telah diangkat sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, bagi menggantikan Baginda.