"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 19 November 2018

TENGKU BESAR SULAIMAN MENYAMBUT BINTANG C.M.G.

Yang Teramat Mulia Tengku Besar Sulaiman ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah merupakan Tengku Besar Pahang II.

Di dalam tahun 1928, DYMM King George V, dari England telah berkenan mengurniakan Bintang Kehormatan Companion of the Order of St Michael and St George (C.M.G.) kepada YTM Tengku Besar Sulaiman. Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Hugh Clifford telah datang dari Singapura ke Pahang, kerana menyampaikan bintang itu di dalam suatu majlis  istiadat menyambut bintang yang diadakan di sebuah balai khas di Padang Kelab Kerajaan Pekan, pada petang 17 Jun 1928.

Majlis tersebut dihadiri oleh dif-dif yang terdiri daripada pegawai-pegawai tinggi dan orang-orang besar, termasuk keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah. Di dalam majlis itu di tengah khalayak yang ramai, TYT Hugh Clifford telah menyematkan bintang kehormatan C.M.G. ke dada YTM Tengku Besar Sulaiman.


Majlis tersebut kemudiannya diikuti dengan ucapan bagi pihak kerajaan. Ucapan tahniah daripada segala lapisan dan berbagai bangsa telah disampaikan kepada YTM Tengku Besar Sulaiman di dalam majlis tersebut.

Sabtu, 10 November 2018

ISTANA LEBAN TUNGGAL SEMAKIN USANG

Istana Leban Tunggal adalah istana milik Almarhum Tengku Besar Sulaiman ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, Tengku Besar Pahang II. Istana ini terletak di Jalan Tengku Besar Sulaiman, Kampung Parit Tengah, Pekan.


Istana ini mula dibina pada bulan Mei 1935 dan siap sepenuhnya di dalam tahun 1937 / 1938. Kos untuk membina istana ini pada waktu itu adalah berjumlah kira-kira $16,000.00. Istana Leban Tunggal bukan sahaja indah pada namanya, malah unik pada rekabentuknya. Bangunan ini dibina daripada kayu-kayan, batu-bata dan konkrit. Bercirikan unsur-unsur kemelayuan dan sedikit pengaruh istana pada zaman dahulu.


Almarhum Tengku Besar Sulaiman mendiami istana ini sehingga ke akhir hayat Almarhum. Selepas kemangkatan Almarhum Tengku Besar Sulaiman di dalam tahun 1962, istana ini didiami oleh waris-waris Almarhum. Istana ini kemudiannya dijadikan sebagai Perpustakaan Daerah Pekan, sekitar awal 1990-an sehingga bulan Mac 2011. Istana Leban Tunggal kemudiannya diserahkan di bawah Jabatan Warisan Negara.


Malangnya kini, Istana Leban Tunggal terbiar dan semakin usang tanpa sebarang penjagaan dan pemuliharaan. Adalah menjadi suatu kerugian yang amat besar kepada penduduk daerah Pekan, khususnya; sebuah istana yang begitu cantik dan unik rekabentuknya, yang pernah menyimpan 1001 sejarah dan begitu gah di zaman kegemilangannya serta menjadi bangunan warisan di dalam daerah Pekan terbiar begitu sahaja dan tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya dari pihak yang berkenaan.


Ahad, 4 November 2018

SULTAN ABU BAKAR DIHADIAHKAN ROLLS ROYCE OLEH KERAJAAN ENGLAND

Almarhum Sultan Abu Bakar telah dianugerahkan dengan anugerah tertinggi kerajaan England, Knight Grand Cross of the Order of St Michael & St George (GCMG), yang membawa gelaran Sir, pada 1 Jun 1953.

Sebelum itu, Almarhum telahpun dianugerahkan dengan Companion of the Order of St Michael & St George (CMG) pada 2 Januari 1933 dan Knight Commander of the Order of St Michael & St George (K.C.M.G.) pada 3 Jun 1935. Selain daripada Pingat Jubli Perak King George V (1935), Pingat Kemahkotaan King George VI (1937), dan Pingat Kemahkotaan Queen Elizabeth II (1952).

Bersempena dengan penganugerahan GCMG tersebut, Almarhum juga dihadiahkan dengan sebuah motokar jenama Rolls Royce Silver Wraith 1953.

Malangnya, pada masa ini motokar Rolls Royce yang bersejarah tersebut berada di garaj Istana Abu Bakar, di dalam keadaan terbiar dan tanpa penjagaan.