"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 13 Disember 2015

J.P. RODGER AJAR TENGKU MAHMUD MEMERINTAH NEGERI

J.P. Rodger datang ke Pahang sebagai Residen British pertama, dalam tahun 1884. Beliau disediakan sebuah rumah kediaman yang berdekatan dengan istana Sultan Ahmad di Pekan.

Kebetulan pada masa itu, Sultan Ahmad sedang mempersiapkan putera sulung baginda sebagai Bakal Sultan. Kehadiran J.P. Rodger ibarat bulan jatuh ke riba. Rodger telah diminta oleh Sultan Ahmad supaya dapat mengajar putera baginda itu tentang cara-cara menjalankan pentadbiran negeri. Menurut ceritanya, Rodger telah dibayar elaun khas sepanjang menjalankan tugas tidak rasmi itu.

Tunjuk ajar yang diterima oleh Tengku Mahmud yang baru berusia 16 tahun ketika itu, benar-benar memberi faedah yang besar kepada Sultan Ahmad. Apabila baginda melantik Tengku Mahmud menjadi Pemangku Raja dalam tahun 1888, Tengku Mahmud telah dapat mentadbir dengan baik dan mendapat keyakinan penuh daripada Residen dan pembesar-pembesar negeri.

Menjelang tahun 1900, Tengku Besar Mahmud menjalankan pentadbiran negeri sepenuhnya, kerana Sultan Ahmad sering uzur dan perlu berehat di istana.

Sabtu, 12 Disember 2015

PERKAHWINAN TENGKU MAHMUD DAN TENGKU MARIAM DAMAIKAN PAHANG – JOHOR

Perang Saudara Pahang yang melibatkan 2 orang putera Bendahara Tun Ali pada awal tahun 1856 telah merenggangkan perhubungan di antara negeri Pahang dan Johor.

Ia berpunca dari tindakan Sultan Abu Bakar Johor yang telah menyebelahi Tun Mutahir, Bendahara Pahang yang ditentang oleh Wan Ahmad. Sultan Abu Bakar mempunyai alasan yang kuat untuk membantu kerana baginda merupakan menantu Bendahara Tun Mutahir.

Apabila Wan Ahmad dapat mengalahkan kekandanya dan menjadi Bendahara Pahang dalam tahun 1863, perhubungan Baginda dengan Sultan Abu Bakar Johor semaikin tegang.

Bagaimanapun, perkahwinan putera sulung baginda, Tengku Besar Mahmud dengan puteri sulung Sultan Abu Bakar, Tengku Mariam yang berlangsung di Istana Johor pada 14 September 1897, telah dapat merapatkan kembali perhubungan di antara kedua-dua negeri tersebut.

Menurut ceritanya, Sultan Ahmad sering tinggal dan bermalam di Istana Johor sewaktu berurusan dengan Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat di Singapura atau sewaktu beralih angin.

Demikian juga Sultan Ibrahim, putera Sultan Abu Bakar. Baginda sering melawat Sultan Ahmad di Pekan, sekiranya ada masa kelapangan.

BENDAHARA WAN ALI DIGELAR MARHUM LAMIR

Selepas Wan Ahmad diputerakan dalam tahun 1836, Bendahara Sriwa Raja Wan Ali meninggalkan Tiang Bendera (Pulau Maulana) dan berpindah ke satu tempat yang terletak di Pahang Tua, Pekan, yang bernama Lamir.

Baginda bersemayam di situ sehinggalah mangkat dalam tahun 1857 dan disemadikan bersebelahan makam ayahanda baginda, Bendahara Tun Koris di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Disebabkan baginda mangkat sewaktu berada di Lamir, baginda digelar ‘Marhum Lamir’.

Lamir yang ada pada hari ini merupakan salah sebuah kampung yang terbesar di dalam mukim Pahang Tua, dalam daerah Pekan.

Ahad, 6 Disember 2015

SULTAN ABU BAKAR MENYAMAR DI BANDAR PEKAN PADA WAKTU MALAM

Setelah ditabalkan sebagai Sultan Pahang pada 28 Mei 1933, Sultan Abu Bakar telah melakukan banyak perubahan.

Salah satu daripadanya, Baginda suka menyamar sebagai orang biasa pada waktu malam, untuk memerhatikan hal keadaan rakyat jelata, terutama sekali orang-orang muda yang selalu berkeliaran pada waktu malam di bandar Pekan.

Penyamaran yang dilakukan oleh Sultan Abu Bakar telah dapat membanteras banyak kejadian buruk yang dilakukan oleh pemuda-pemudi di Bandar Diraja Pekan pada masa itu.