"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Jumaat, 22 Februari 2019

AHLI JUMAAH PEMANGKU RAJA PAHANG


Pengerusi
YAM Tengku Muda Pahang
Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah
(15 Februari 2019 - 15 Disember 2019)

Ahli-Ahli
YAM Tengku Arif Temenggong Pahang
Tengku Fahd Mu'adzam ibni Sultan Haji Ahmad Shah
(15 Februari 2019 - 15 Julai 2019)

YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang
Tengku Tan Sri Hajah Meriam binti Sultan Haji Ahmad Shah
(15 Februari 2019 - 15 April 2019)

YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang
Tengku Puan Sri Hajah Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah
(16 April 2019 - 16 Jun 2019)

YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang
Tengku Hajah Aishah binti Sultan Haji Ahmad Shah
(17 Jun 2019 - 17 Ogos 2019)

YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang
Tengku Hajah Nong Fatimah binti Sultan Haji Ahmad Shah
(18 Ogos 2019 - 18 Oktober 2019)

YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang
Tengku Hajah Shahariah binti Sultan Haji Ahmad Shah
(18 Oktober 2019 - 15 Disember 2019)

TENGKU MUDA PAHANG DILANTIK PENGERUSI JUMAAH PEMANGKU RAJA PAHANG

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan melantik Ahli-ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang di dalam Majlis Pengurniaan Suratcara Pelantikan yang diadakan di Bilik Mengadap Besar, Istana Abu Bakar. Pekan pada 22 Februari 2019.

Ahli-ahli Jumaah Pemangku Raja akan menjalankan tugas-tugas KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah, yang kini sedang belajar di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom sehingga 15 Disember 2019.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah sebagai Pengerusi Jumaah Pemangku Raja Pahang bermula 15 Februari 2019 sehingga 15 Disember 2019.

Pelantikan ini diadakan mengikut Fasal 1(a), Perkara 18 (Bahagian Pertama) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, iaitu ‘Jika sekiranya Raja Pemerintah dipilih memegang jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka Raja Pemerintah boleh melantik Pemangku Raja atau Jumaah Pemangku Raja bagi menunaikan tugas-tugas diraja sehingga sampai masanya baginda berhenti menjalankan tugas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong’.

Sementara itu, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam ibni Sultan Haji Ahmad Shah pula dilantik menjadi Ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang bagi tempoh 15 Februari 2019 sehingga 15 Julai 2019.

Lima lagi Ahli Jumaah Pemangku Raja yang dilantik akan menjalankan tugas secara bergilir-gilir, mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Mereka ialah YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajah Meriam binti Sultan Haji Ahmad Shah (15 Februari hingga 15 April 2019); YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Puan Sri Hajah Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah (16 April hingga 16 Jun 2019); YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Hajah Aishah binti Sultan Haji Ahmad Shah (17 Jun hingga 17 Ogos 2019); YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Hajah Nong Fatimah binti Sultan Haji Ahmad Shah (18 Ogos hingga 18 Oktober 2019); dan YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang, Tengku Hajah Shahariah binti Sultan Haji Ahmad Shah (18 Oktober hingga 15 Disember 2019).

Rabu, 13 Februari 2019

PERISTIWA KEMANGKATAN ALMARHUM SULTAN ABDULLAH

Tidak lama selepas berakhirnya Persidangan Raja-Raja Empat Buah Negeri Bersekutu, di Pekan di dalam tahun 1932, Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah telah jatuh gering. Sebagai raja yang berpegang kuat kepada adat memakai dukun dan pawang, beberapa orang dukun dan pawang telah dipanggil dari seluruh negeri dan juga dari luar untuk mengubati kegeringan yang dikatakan oleh pawang-pawang itu sebagai 'gering raja'. Tetapi semua ikhtiar itu kecewa, tidak mendatangkan sembuh. Doktor-doktor kerajaan daripada Kuala Lumpur yang telah datang memeriksa kegeringan baginda itu telah mendapati yang baginda menghidap penyakit kencing manis.

Kegeringan baginda itu telah menjadikan suatu senario yang luar biasa, di mana beratus-ratus dan adakalanya sehingga beribu-ribu hamba rakyat telah hadir berjaga-jaga di dalam kota istana pada setiap malam, menunjukkan tanda kasih kepada Raja mereka. Manakala, putera puteri baginda dan sekalian saudara baginda penuh berhimpun di dalam istana.


Sultan Perak, Sultan Iskandar Shah yang merupakan adinda ipar dan juga besan baginda, yang ketika itu bersemayam di Pekan yang menyaksikan peristiwa itu telah memuji akan perasaan taat dan kasih rakyat negeri Pahang kepada Rajanya. Sultan Iskandar Shah bertitah mengatakan yang baginda tidak akan dapati keadaan seumpama itu di negeri Perak. Sultan Iskandar Shah telah berangkat pulang ke Perak, beberapa hari sebelum Sultan Abdullah mangkat.

Kegeringan Sultan Abdullah semakin berat dan pada hari Rabu, 22 Jun 1932, jam 8.25 malam, Sultan Abdullah menghembuskan nafas yang terakhir di hadapan sekalian putera puteri, saudara mara dan Orang-orang Besar Negeri, di Istana Terentang, Pekan.


Jenazah baginda dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Baginda digantikan oleh putera baginda, Tengku Mahkota Abu Bakar.

Ahad, 10 Februari 2019

PERISTIWA DATO’ UNDANG JELEBU MENYURUH PEGAWAI INGGERIS MENGIKAT TALI KASUTNYA

Dalam satu mesyuarat di Kediaman Pegawai Daerah Jelebu di dalam tahun 1920-an, Undang Luak Jelebu ke-12, Dato’ Abdullah bin Panglima Muda telah ditegur kerana tali kasutnya tidak diikat dengan betul.

Pegawai Kanan Inggeris yang menegur Dato’ Abdullah itu ialah Andrew Caldecott, yang berkhidmat di Seremban. Menurut ceritanya, Dato’ Abdullah naik berang dan menyergah orang putih itu, “ Kalau begitu, awak sahajalah ikatkan tali kasut kawan”, sambil Dato’ Abdullah menudingkan jari ke arah kasutnya.

Caldecott tergamam dan gementar. Tanpa berlengah lagi, beliau menundukkan badan untuk mengikat tali kasut Dato’ Abdullah. Semua yang hadir termasuk Pegawai Daerah tidak dapat berkata apa-apa. Semenjak kejadian itu, Dato’ Abdullah sentiasa dihormati. Semua orang berhati-hati apabila hendak berkata-kata dengan Dato’ Abdullah.


Beberapa tahun selepas kejadian itu, iaitu di dalam tahun 1931, Andrew Caldecott telah dilantik menjadi Ketua Setiausaha Tanah Melayu. Barangkali sehingga ke akhir hayat beliau, Caldecott pasti tidak akan dapat melupakan  kejadian yang dialaminya itu.

Dato’ Undang Abdullah telah meninggal dunia di Kampun Jelin, Kuala Klawang pada 10 Ogos 1945, ketika berusia 74 tahun.