"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 6 November 2016

HUKUM KANUN PAHANG

Hukum Kanun Pahang atau Qanun Pahang merupakan sebuah Qanun atau Undang-undang yang digunakan semasa pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah pada tahun 1592 Masihi sehingga 1614 Masihi.

Hukum Kanun Pahang merupakan Hukum Kanun yang tertua selepas Undang-undang Melaka atau Qanun Melaka yang menampakkan perubahan dan penambahan terutamanya yang berkaitan dengan aspek keislaman. Hal ini dapat dilihat melalui peruntukan yang terkandung di dalam Hukum Kanun Pahang iaitu tentang kedudukan raja sebagai khalifah, kedudukannya dalam mentadbir negeri seperti kedudukan nabi mentadbir umat, menjalankan amar makruf nahi mungkar serta bertanggunjawab terhadap rakyatnya. Kedudukan raja atau Sultan ini diperkukuhkan dengan nas Quran dan Hadis. Malahan ada pendapat mengatakan bahawa manuskrip ini merupakan terjemahan dan cedokan dari kitab-kitab fiqah menurut mazhab syafei.

Hukum Kanun Pahang ini telah digunakan di negeri Pahang, Johor, dan Perak. Ianya meliputi undang-undang jenayah, Undang-undang Sivil, Undang-Undang Acara dan Keterangan, Undang-Undang Keagamaan, Undang-undang Antarabangsa, Undang-undang percukaian, dan Undang-undang Laut dan Perdagangan. Semua Undang-Undang ini adalah bercorak keislaman sama ada dari sudut sumber, dan perincian undang-undangnya. Undang-undang ini akan ditadbir oleh pegawai-pegawai yang dilantik oleh Sultan mengikut bidang tugas mereka masing-masing yang terdiri daripada Faqih dan Menteri, Penghulu Bendahari, Temenggung, Hulubalang dan hamba raja.

Selama 22 tahun pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah, baginda telah membina kekuatan pertahanan, ekonomi dan mengukuhkan kedudukan undang-undang negeri berteraskan islam bagi tujuan keadilan dalam pentadbiran negeri yang diperintahnya.

Sejarah Perkembangan Hukum Kanun Pahang
Perkembangan Hukum Kanun Pahang di negeri Pahang merupakan kesinambungan daripada Hukum Kanun Melaka, ianya disebabkan oleh Kerajaan Kesultanan Melayu  Melaka telah menguasai negeri Pahang pada 1470 Masihi.  Raja pertama dari raja Melaka iaitu Sultan Muhammad Shah (1470-1475 M) telah bertukar ganti sehinggalah kepada Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah (1592-1614 M) yang merupakan keturunan raja Melaka yang kedua belas.

Dalam mentadbir negeri Pahang, Baginda telah membuat penambahbaikan terhadap Undang-undang Pahang yand diwarisi dari Kanun Melaka. Baginda menamakannya sebagai “Hukum Kanun Pahang” dengan cara memperkemaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada, yang sesuai dan menambahkan undang-undang baru mengikut keperluan setempat dan semasa.

Pembaharuan yang dilakukan ini melibatkan elemen-elemen syariah dan mengurangkan  elemen-elemen adat yang terdapat dalam Kanun Melaka yang menjadi asas dalam Undang-undang Pahang sebelum ini. Baginda telah menambah peruntukan-peruntukan baru yang berasaskan undang-undang Islam, manakala Sultan kedudukannya sebagai Khalifah yang menjalankan tugas amar makruf dan nahi mungkar seperti tugas nabi.

Berdasarkan catatan teks Qanun Pahang yang disimpan di Muzium Pahang dan di Perpustakaan Negara menyatakan Kanun Pahang ini dikuatkuasakan di Pahang dan Johor, manakala yang tersimpan di Royal Asiatic Society menyatakan ianya dikuatkuasakan di Pahang, Johor, dan Perak.

Berdasarkan maklumat itu dapatlah dianggap bahawa undang-undang yang dikuatkuasakan di Pahang dan Johor dianggap sebagai peringkat pertama dalam pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar dan peringkat kedua dikuatkuasakan di Pahang, Johor, dan Perak kerana terdapat penambahan dan susunan bahasa lebih baik dan tidak terlalu klasik seperti teks yang disimpan di Muzium Pahang dan Perpustakaan Negara.

Intipati Hukum Kanun Pahang secara umum
Hukum Kanun Pahang mengandungi pelbagai jenis undang-undang iaitu berkaitan dengan pemerintahan dan pentadbiran Sultan, Undang-Undang Jenayah, Undang-Undang Sivil, Undang-undang Acara dan Keterangan, Undang-undang Keagamaan, Undang-undang Antarabangsa dan Undang-undang Percukaian dan Undang-undang Laut.

Undang-undang Pemerintahan dan Pentadbiran (perlembagaan) menyatakan Kedudukan Sultan sebagai Ketua Negeri, hubungannya dengan pegawai-pegawai yang dilantik, hubungan dengan rakyat awam, dan kawasan berkuatkuasanya undang-undang dan pemerintahan.

Undang-undang Jenayah. Menyatakan tentang Hak istimewa Raja yang tidak boleh dicabuli, Hukum orang yang menceroboh tanah atau kampung, hukum pembunuhan dan Qisas Kecederaan, Hukum Hudud: minum arak, mencuri, menyamun, murtad, berzina, tuduhan zina dan durhaka kepada raja.

Undang-undang Muamalat menyatakan tentang perniagaan, jual beli dan aib, hukum berhutang dan bergadai, memberi hutang dan pinjaman barang, hukum orang muflis, hukum tentang hamba dan berkaitan, hukum menaruh amanah dan barang amanah, dan hukum sewaan dan upah pekerja, hukum terjumpa barang hilang, hukum denda dan diyat, hukum bapa dan nenek mengambil pemberian anak-anak (hibah), hukum pembukaan tanah, dan tanah, serta hukum wakaf.

Undang-undang acara dan keterangan menyatakan tentang hukum membuat sesuatu tuntutan, prosedur membuat tuntutan di mahkamah, hukum tentang saksi dan sumpah, prosedur perbicaraan dalam mahkamah, dan hukum  hakim menerima rasuah. Undang-undang Keagamaan pula menyatakan tentang hukum mengenai murtad, hukum mengenai menunaikan solat, dan hukum tidak membayar zakat.

Undang-undang Antarabangsa menyatakan tentang hukum perang sabil, hukum orang tawanan, hukum jenayah antara muslim dan bukan muslim, hukum jenayah antara bukan muslim dengan bukan muslim, dan hukum hubungan antara negara.

Undang-undang percukaian menyatakan tentang jenis-jenis barang yang dikenakan cukai, kadar bayaran yang ditetapkan bagi setiap barangan, ketetapan cukai berdasarkan kawasan, ketetapan kadar minimum barang yang dikenakan cukai dan kadar cukai kapal masuk ke pelabuhan.

Undang-undang Laut pula menggunakan hukum Kanun Laut Melaka yang meliputi kuasa dilaut, nakhoda dan awak-awak, perahu serta undang-undang yang dikuatkuasakan seperti jenayah hudud, sivil, hukum kapal masuk pelabuhan dan sebagainya.

Pembaharuan dalam Hukum Kanun Pahang.
Pembaharuan yang dilakukan dalam Hukum Kanun Pahang ialah dengan mengukuhkan kedudukan pemerintahan dan pentadbiran, dimana raja mempunyai autoriti penuh bagi melantik pegawai-pegawainya seperti mangkubumi, menteri, penghulu bendahari, temenggong, hulubalang, shahbandar dan hamba raja. Setiap daripada mereka  telah ditetapkan syarat-syarat kelayakan dan tugas masing-masing.

Oleh itu, bagi mengukuhkan kerajaan dan pentadbiran negeri, para pegawai yang dilantik harusnya memiliki syarat-syarat atau kelulusan seperti berikut , iaitu bagi perlantikan jawatan seorang Faqih perlulah mengamalkan tujuh syarat, yang pertama syukur kepada kurniaan Allah dan Rasulnya, keduanya didahulukan kebaktian kepada Allah daripada kebaktian kepada raja, ketiga hendaklah sentiasa cita-citanya menyempurnakan pekerjaan rajanya dengan perbuatan yang adil dan disegerakan segala hukum hamba Allah yang mengadu hal kepadanya. Keempat hendaklah jangan bersalahan sesuatu pekerjaanya dengan dalil dan hadis dan jangan lupa titah rajanya; hendaklah nyawanya, hatinya dan anggotanya menumpukan tugasnya. Kelima, redhalah ia dengan keadaanya itu, kerana kesabaran mengalami kesakitan ujian Allah itu akan diangkat martabatnya, dan dimuliakan dengan kemuliaan yang sempurna, keenam hendaklah dipenjarakan nafsunya daripada segala perangai keji. Ketujuh hendaklah ia sentiasa hadir pagi dan petang di balai raja.

Bagi pelantikan Pengulu Bendahari hendaklah memenuhi Sembilan syarat iaitu yang pertama bercakap benar, ia boleh membina kemesraan dan menyingkirkan kejahatan dari dirinya. Kedua memahami sikap rajanya.Ketiga menjaga hamba raja yang diserah kepadanya supaya kasih dan redha kepada pekerjanya. Keempat membawa barang kepada raja seperti yang dikehendakinya kecuali raja tiada di dalam negara. Kelima mengasihi perempuan hamba raja yang karib.Keenam dimasukkan isterinya itu sama seperti kelakuan hamba raja di dalam istana. Ketujuh hendaklah sentiasa menatap segala urusan yang diserahkan kepadanya. Kelapan jangan disegerakan barang yang ada padanya. Kesembilan hendaklah sentiasa cita-citanya memenuhi perbendaharaan tuanya, dan meneliti kesukaan tuanya.

Manakala bagi Temenggung pula hendaklah mengamalkan tujuh syarat iaitu yang pertama menaruh perajurit dan memelihara dirinya, kedua jaga, ketiga jauh penglihatan dan pendengaranya dan sentiasa memeriksa keadaan orang yang dihukum. Keempat jangan bermuka-muka supaya terhasil pekerjaan yang dititahkan. Kelima hendaklah mencari hubungan kerapatan yang baik kerana pekerjaan ini amat sukar. Keenam hendaklah sabra kepada kata-kata kerana orang yang memiliki perintah tuanya itu sentiasa diumpat dan dikata.

Bagi hulubalang hendaklah mengamalkan empat syarat iaitu yang pertama mesti pemurah, menjaga keluarga, mempunyai teknik peperangan dan keempat mahir dalam menggunakan pelbagai senjata.

Shahbandar pula hendaklah menepati lima syarat iaitu bekerjasama dengan Penghulu bendahari dalam mengira hasil kerajaan. Kedua hendaklah menjaga golongan pedagang kerana mereka merupakan penyumbang kepada kemakmuran negeri. Ketiga jika golongan pedagang itu dianiayai perlulah membawa kes ini kepada pihak berkuasa. Keempat mendapatkan maklumat tentang negeri-negeri lain. Kelima mesti memeriksa perahu yang keluar masuk dan menyediakan kelengkapan yang diperlukan.

Bagi hamba raja yang karib mestilah mempunyai enam syarat iaitu yang pertama hendaklah sentiasa menyiasat perkara-perkara yang boleh mendatangkan kecelaan kepada tuanya dan haruslah disampaikan kepada raja. Kedua jangan cemburu sesama islam. Ketiga hendaklah berani  datang sembah pada ketikanya. Keempat jangan ada perasaan bermegah terhadap kurniaan raja. Kelima hendaklah menyimpan rahsia raja.

Sumber-sumber Hukum Kanun Pahang
Hukum-hukum yang terdapat di dalam hukum Kanun Pahang diperkukuhkan dengan sandaran nas Quran dan Hadis, contohnya peruntukan tentang Khalifah, peruntukan tentang ketaatan  kepada pemerintah dan peruntukan tentang tanggungjawab pemimpin.

Selain itu terdapat kesalahan-kesalahan jenayah yang jelas peruntukannya dalam Quran dan Sunnah seperti Hudup, Qisas, Riba dan lain-lain. Kesalahan-kesalahan jenayah yang terdapat dalam hukum Kanun Pahang adalah berasaskan kepada Mazhab Syafei terutamanya  berkaitan jenayah Huduh.

Hal ini menunjukkan bahawa undang-undang yang terkandung dalam Hukum Kanun Pahang mestilah dipatuhi, dan bagi sesiapa yang melanggarnya merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman  mengikut kadar kesalahanya, sama ada dikenakan hukuman bunuh, dera, atau denda.

Selain menggunakan Nas Quran dan Hadis, sumber Hukum Kanun Pahang juga diambil berdasarkan perintah raja dan adat sebagaimana contoh  yang terdapat dalam Qanun Pahang ini menyatakan “maka diperbuatnya oleh raja itu sebagai pegawainya dindingnya dan tiang kerajaannya, maka diserahkan segala pekerjaanya masing-masing pada tanggunganya supaya dapat ia istirehat atas kerajaanya”. Kenyataan ini menunjukkan bahawa raja mempunyai kuasa yang boleh menentukana pegawai-pegawai dan rakyatnya.

Dari segi adat terdapat contoh yang dijadikan sumber dalam Hukum Kanun Pahang seperti “yang pertama pada menyatakan segala yang dilarang Raja Melayu pada zaman dahulu kala segala kekuningan jangan kamu ambil”.

Kesimpulan
Hukum Kanun Pahang yang merupakan serpihan ataupun kesinambungan daripada Hukum Kanun Melaka telah di reformasikan oleh Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah menjadi sebuah Qanun atau Undang-undang yang lebih Islamik berbanding dengan Hukum Kanun yang asal (Hukum Kanun Melaka).


Pembaharuan atau reformasi yang dilakukan oleh Sultan Abdul Ghaffar adalah dengan menyerapkan elemen-elemen islam yang meliputi  bidang pemerintahan dan pentadbiran, bidang undang-undang jenayah, hudud, Qisas, perdagangan, acara dan keterangan, percukaian serta adab hakim. Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa dengan adanya hukum Kanun ini telah membolehkan ianya menjamin keamanan dan keselamatan dalam negeri  Pahang semasa pemerintahan  Sultan Abdul Ghaffar melalui pelaksanaanya yang menepati ciri-ciri islam.

Disini dapat juga dilihat bahawa undang-undang atau Hukum Kanun ini yang telah digunapakai sejak berabad lepas masih lagi mempunyai kerelevenannya dalam sesetengah aspek untuk diketengahkan dalam sistem perundangan masa kini. Malahan ada sesetengah peraturan yang termaktub dalam sistem ini lebih baik daripada sistem yang digunapakai sekarang, terutamanya yang berkaitan dengan islam dan orang Melayu.

Sabtu, 5 November 2016

KEPUTUSAN PEMILIHAN AJK BADAN KEBAJIKAN KERABAT-KERABAT NEGERI PAHANG, 2016 - 2019

Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang (BKKP) telah mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan di Hotel Ancasa Royale, Pekan, pada 05 November 2016. Pada Mesyuarat Agong Tahunan tersebut, telah diadakan pemilihan Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang, bagi sesi 2016-2019.

Keputusan pemilihan AJK Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang 2016-2019, adalah seperti berikut:

YANG DIPERTUA
KDYTM Tengku Mahkota Pahang
Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah

TIMBALAN YANG DIPERTUA
YAM Tengku Besar Pahang
Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah
 
NAIB YG DIPERTUA
YAM Tengku Dato’ Sri Sulaiman Ibni Sultan Abu Bakar

SETIAUSAHA KEHORMAT
YH.Dato Setia Perkasa
YM.Tengku Dato’ Sri Zulkifly bin Tengku Arif Temenggong Ahmad

BENDAHARI KEHORMAT
YH.Tok Muda Tengku. Dato’ Abdul Manan bin Tengku Arif Temenggong Abdul.Aziz

AHLI JAWATANKUASA.
1. YM Tengku Dato' Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Tengku Mahkota Abdullah
2. YDH. Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato Sri Haji Wan Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan
3. YM.Tengku Azharudin Shah bin Tengku Dato’ Bahaznan Shah
4. YH. Tok Muda Tengku Haji Rohanim bin Tengku Dato’ Haji Abdul Hamid
5. YM Tengku Suraya binti Tengku Dato’ Bahaznan Shah
6. YM Tengku Dato’ Rohsita binti Tengku Dato’ Haji Abdul Hamid
7. YM Tengku Intan Safinas binti Tengku Dato’ Haji Ibrahim
8. YM Tengku Ferozdin bin Tengku Dato’ Haji Abdul Rahim

PEMEGANG AMANAH
1. YH. Tok Muda Tengku Dato’ Razman Shah bin Tengku Arif Temenggong
Ahmad
2. YH. Tok Muda Tengku Dato’ Haji Mustafa bin Tengku Dato’ Haji Ibrahim
3. YH. Tok Muda Tengku Dato’ Ahmad Ainayatullah bin Tengku Besar Abdul Jalil

JURUAUDIT DALAM
1. YM Tengku Jamil Ikhlil bin Tengku Dato’ Haji Hussain
2. YBhg. Professor Dato’ Mohd. Dali Bin Isa