"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 12 Februari 2017

ISTANA MANGGA TUNGGAL

Istana Mangga Tunggal, Pekan dibina dalam tahun 1920, di zaman pemerintahan Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah. Istana satu tingkat yang diperbuat daripada kayu dan beralaskan tiang batu ini masih wujud pada hari ini dan terletak berdekatan dengan Istana Abu Bakar.

Tengku Mahkota (kemudiannya Sultan) Abu Bakar pernah bersemayam di Istana Mangga Tunggal ini sewaktu baginda bergelar Tengku Mahkota Pahang dari tahun 1920 sehingga 1932. Tengku (kemudiannya Sultan) Ahmad Shah sewaktu bergelar Tengku Mahkota Pahang juga bersemayam di Istana Mangga Tunggal ini dari tahun 1944 sehingga 1974.
Istana Mangga Tunggal ini menyimpan banyak sejarah silam. Salah satu darinya, di sinilah Tengku Ahmad Shah diputerakan oleh bondanya, Raja Fatimah pada 24 Oktober 1930.

Selain dari itu, kekanda dan adinda Tengku Ahmad Shah juga diputera dan diputerikan di istana ini, termasuk putera dan puteri baginda juga membesar di istana ini.

RUMAH REHAT PEKAN, TEMPAT MENGINAP TETAMU DIRAJA

Rumah Rehat Pekan atau lebih dikenali dengan nama ‘Chief’s Rest House’ telah dibina dalam tahun 1929, iaitu di dalam zaman pemerintahan Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah (1917-1932).

Rumah rehat ini terletak tidak jauh dari Istana Seri Terentang, istana tempat bersemayam Sultan Abdullah pada masa itu dan berhampiran dengan Istana Mangga Tunggal, iaitu istana tempat bersemayam Tengku Mahkota Abu Bakar.
Menurut sejarah, rumah rehat ini sangat terkenal di Pekan pada masa itu. Ia menjadi tempat penginapan kerabat-kerabat diraja yang menghadiri majlis-majlis rasmi di istana. Selain itu, Pegawai-Pegawai British yang berurusan dengan Sultan Abdullah juga sering menginap di rumah rehat ini.

Rumah Rehat Pekan terus memainkan peranan penting pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah (1932-1974). Menurut cerita, sewaktu upacara pertabalan baginda berlangsung pada 28 Mei 1933, ramai tetamu terhormat menginap di rumah rehat yang bersejarah ini.

LALUAN UTAMA KE ISTANA SULTAN AHMAD


Laluan utama ke istana Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah ialah melalui alur Sungai Pahang yang mengalir masuk ke Pekan.

Setelah ditabalkan sebagai Bendahara Sriwa Raja dalam tahun 1863, Bendahara Wan Ahmad telah berpindah ke Pekan dan meninggalkan istana baginda yang terletak di Pulau Maulana.

Atas nasihat Orang-Orang Besar, baginda telah mendirikan sebuah istana yang terletak di tebing Sungai Pahang, di mana terdapat satu alur sungai. Istana tersebut dinamakan Istana Pantai, kerana ia terletak berhampiran dengan sungai. Di istana inilah baginda mangkat pada 4 Mei 1914.
Menurut cerita orang-orang tua di Pekan, pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad, alur Sungai Pahang ini disebut ‘Tambatan Raja’, kerana bahtera kenaikan baginda ditambat di tebing sungai ini.

Di sini juga jenazah Sultan Ahmad diturunkan sewaktu hendak dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang yang terletak di tebing kanan Sungai Pahang.

Sabtu, 11 Februari 2017

PERHIASAN KAKI GAJAH KEPUNYAAN SULTAN ABDULLAH

Sewaktu hayatnya, Almarhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah gemar menyimpan pelbagai perhiasan, sama ada yang dibeli atau yang dihadiahkan kepada baginda.

Antaranya ialah perhiasan kaki gajah, yang diwarisi daripada Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah. Perhiasan kaki gajah ini dihadiahkan oleh Residen British Pahahg kepada Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah pada tahun 1888.

KOLEKSI SENAPANG MILIK ALMARHUM SULTAN AHMAD AL-MU’AZZAM SHAH

Salah satu dari kegemaran Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah sewaktu hayat baginda ialah berburu binatang buas di hutan belantara.

Setiap kali ada kelapangan, baginda akan keluar berburu selama beberapa hari sambil diiringi oleh pengiring-pengiring baginda di hutan-hutan berdekatan Pekan, Pulau Ganchong dan Pulau Maulana.

Menurut sejarah, sebelum tahun1888, kaedah pemburuan baginda ialah secara tradisional. Bagaimanapun, setelah kedatangan Residen British, J.P. Rodger dalam tahun 1888, bgainda telah dihadiahkan dengan senapang patah buatang England.

HUGH CLIFFORD NYARIS DITIKAM MAT KILAU DI RUMAH RESIDEN, KUALA LIPIS

Nasib menyebelahi Hugh Clifford kerana tujuan kedatangan Tok Gajah bersama anaknya, Mat Kilau untuk membunuhnya pada bulan Ogos 1891, telah diberitahu oleh seorang tukang masaknya yang bernama Umat.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Clifford telah menyediakan pengawal-pengawalnya di pintu masuk kediamannya di Kuala Lipis.
Tok Gajah dan Mat Kilau dipersilakan masuk ke kediaman Clifford. Tok Gajah duduk berhadapan dengan Clifford. Manakala Mat Kilau duduk di sebelah kiri, sambil tangannya memegang hulu keris. Clifford telah memberikan kata-kata nasihat kepada Tok Gajah sehingga menyebabkan pahlawan Pahang itu tidak jadi meneruskan niat yang telah dirancangnya.
Mat Kilau yang menunggu isyarat dari Tok Gajah untuk menikam Clifford, tidak jadi hendak melakukannya, setelah dilarang oleh Tok Gajah yang mengajaknya pulang ke Pulau Tawar.

Jumaat, 10 Februari 2017

DETIK TERAKHIR SEBELUM KEMANGKATAN TUANKU MUHAMMAD SHAH, NEGERI SEMBILAN

Dua hari sebelum kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah, iaitu pada 30 Julai 1933, baginda telah mengalami sakit perut yang amat sangat, menyebabkan baginda sukar hendak membuang air.

Walaupun pelbagai ikhtiar telah dilakukan menerusi rawatan dukun, pawang dan dijampi dengan air, tetapi penyakit baginda tidak berkurangan; sebaliknya semakin teruk. Doktor dari Hospital Besar Seremban telah dipanggil dan setelah diperiksa, doktor mendapati penyakit baginda sangat kronik dan perlu dibedah.

Pada jam 0930 pagi 31 Julai 1933, iaitu 29 jam sebelum mangkat, Tuanku Muhammad Shah telah dibawa ke Seremban dan diputuskan untuk dibedah, tetapi baginda menolak kerana tidak yakin dan mahu berangkat pulang ke Istana Seri Menanti.


Jam 9 pagi 01 Ogos 1933, iaitu 6 jam sebelum mangkat, baginda telah dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti dan tiba kira-kira jam 12 tengahari.

Jam 2 petang 01 Ogos 1933, kira-kira 45 minit sebelum mangkat, baginda meminta cermin mata. Setelah memakainya, baginda melihat sepuas-puasnya kepada putera-putera dan kaum kerabat baginda.

Jam 0240 petang, iaitu kira-kira lima minit sebelum baginda mangkat, baginda memeluk Tuanku Abdul Rahman, Tunku Laksamana Nasir dan anakanda bongsu baginda, Tunku Muhammad Alam Shah.

Beberapa saat kemudian, baginda menghembuskan nafas yang terakhir.