"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 11 Disember 2018

BERMULANYA PEMAKAIAN GELARAN SULTAN DI NEGERI PAHANG

Memang asalnya pemerintahan negeri Pahang adalah secara pemerintahan beraja, dengan keturunan Raja-Raja Melaka yang paling lama berkuasa; lebih 200 tahun iaitu sejak Sultan Muhammad Shah (1469 – 1475), hinggalah kepada Sultan Mahmud Shah yang terkenal dalam sejarah sebagai ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’ (pada tahun 1699).

Selepas itu, pemerintahan negeri berpindah kepada keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana Johor, dengan pemerintah memakai gelaran Bendahara sejak daripada itu (kecuali semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil). Selepas Bendahara Tun Habib Abdul Majid ialah Sultan Abdul Jalil, kemudiannya Bendahara-bendahara lain seperti Bendahara Abas, Bendahara Abdul Majid, Bendahara Koris, Bendahara Ali, Bendahara Tun Mutahir dan Bendahara Siwa Raja, atau asalnya bernama  Tun Ahmad (Wan Ahmad), adinda kepada Tun Mutahir.

Bendahara Siwa Raja kemudiannya menukarkan gelaran kepada Sultan, dengan mengambil nama Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, Sultan Pahang I. Sejak itu, bermulalah pemerintahan negeri dengan ketua pemerintahnya menggunakan gelaran Sultan, hinggalah ke hari ini. Menurut buku ‘Singgahsana Negeri Pahang Darul Makmur’, pertukaran gelaran daripada Bendahara kepada Sultan berasal daripada cadangan Yang Mulia Sultan Abu Bakar Johor kepada Bendahara Siwa Raja, semasa Dato’ Bendahara itu berkunjung ke Johor.

“Yang Mulia Sultan Abu Bakar telah mencadangkan kepada Dato’ Bendahara itu supaya memakai gelaran Sultan ganti gelaran Bendahara, dengan alasan yang negeri Pahang itu tidak lagi berhubung dan takluk ke Daik bagaimana dahulu. Tambahan pula negeri itu telah diperintah oleh kerajaan Belanda. Dato’ Bendahara telah bersenda kepada Sultan Johor itu mengatakan Orang Besar Pahang telahpun memajukan cadangan itu kepadanya dahulu, tetapi belum dibulatkan lagi persetujuan itu. Sultan Johor yang mendengar senda itu telah menguatkan lagi cadangan dan menasihatkan Dato’ Bendahara itu supaya menurut akan persetujuan Orang-Orang Besar Pahang itu.”

“Setelah balik Dato’ Bendahara itu ke Pahang daripada perangkatan ke Johor itu, maka di dalam satu majlis pengadapan Orang Besar Negeri Pahang yang kanan dan berkuasa telah mendatangkan sembah memohon Dato’ Bendahara itu memakai gelaran Yang Maha Mulia Sultan. Persembahan itu telah diterima. Maka di dalam suatu istiadat, Dato’ Bendahara itu digelarlah oleh Orang Besarnya dengan nama Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah dan isterinya Cik Puan Bongsu diberi gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan. Manakala, putera-putera dan puteri-puteri yang memakai gelaran Tun diganti kepada gelaran Tengku”.

Ahad, 9 Disember 2018

MENTERI BESAR DI BAWAH PEMERINTAHAN SULTAN HAJI AHMAD SHAH

Seramai 8 orang Menteri Besar Pahang yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan KDYMM Sultan Pahang ke-5, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, sehingga kini.

Dato’ Kurnia Bistari Haji Abdul Aziz bin Ahmad
Menteri Besar Pahang ke-8 (1 September 1972 – 31 Ogos 1974)

Dato’ Seri Mohamad bin Jusoh
Menteri Besar Pahang ke-9 (1 September 1974 – 18 Julai 1978)

Dato’ Abdul Rahim bin Abu Bakar
Menteri Besar Pahang ke-10 (19 Julai 1978 – 17 November 1981)

Dato’ Abdul Rashid bin Abdul Rahman
Menteri Besar Pahang ke-11 (17 November 1981 – 4 Mei 1982)

Orang Kaya Indera Shahbandar, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Menteri Besar Pahang ke-12 (5 Mei 1982 – 13 Ogos 1986)

Tan Sri Mohd Khalil bin Yaakob
Menteri Besar Pahang ke-13 (14 Ogos 1986 – 25 Mei 1999)

Dato’ Seri Diraja Adnan bin Yaakob
Menteri Besar Pahang ke-14 (22 Mei 1999 – 14 Mei 2018)

Dato’ Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang ke-15 (15 Mei 2018 – sekarang)

Ahad, 2 Disember 2018

DATO’ ABDUL RAZAK, DATO’ SETIA SELANGOR

Dato’ Abdul Razak bin Haji Abdul Ghani adalah Dato’ Setia Selangor. Beliau dilahirkan di Singapura pada tahun 1869 dan mendapat pendidikan awal di Raffles School, Singapura. Beliau kemudiannya berpindah ke Sabak Bernam, Selangor, di mana beliau menjadi ‘Mata-Mata Laut’ (Polis Marin).

Pada ketika itu, Sultan Selangor ialah Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa. Baginda berkenan akan Dato’ Abdul Razak dan menitahkan beliau datang ke Bandar Diraja Klang. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Peribadi Tuanku Sultan Selangor di dalam tahun 1907, pada usia 39 tahun.

Beliau berkhidmat sebagai Penghulu dan menjadi Majistret Melayu pertama di negeri Selangor dan juga Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada ketika itu. Kemudiannya, Dato’ Abdul Razak dianugerahkan gelaran Dato’ Setia Selangor.

Dato’ Abdul Razak berkahwin dengan Datin Saleha Yaacob dan dikurniakan dengan 15 orang cahaya mata, iaitu 10 lelaki dan 5 perempuan. Antara anak beliau ialah Dr. Abdul Latiff, Doktor Melayu Pertama dan Dato’ Yahya, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Kuala Lumpur.

Dato’ Abdul Razak disahkan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Di penghujung hayat, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah telah mencemar duli berangkat menziarahi beliau. Walaupun di dalam keuzuran, beliau cuba bangkit dan menyambut keberangkatan tiba Tuanku Sultan dan berkata, “Tuanku, patik nak ambil cuti panjang”. Tuanku Sultan Alaeddin sangat tersentuh dan kemudiannya bertitah, “Setia sampai sudah”.

Dato’ Abdul Razak meninggal dunia di dalam tahun 1938, pada usia 69 tahun.

* Seperti mana yang pernah diceritakan oleh Allahyarham Idham Mustafa (1961-2014), Cicit Allahyarham Dato’ Setia Abdul Razak