"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Rabu, 26 September 2018

SENI KARANGAN TANJAK

Tanjak adalah hiasan kepala, bermaksud tanah dipijak. Tanjak yang dipakai pula membawa maksud kepada si pemakai bahawa mereka mengakui Tanah Melayu ini memang tempat asal usul orang Melayu.

Bentuk kainnya wajib empat segi yang dilipat menjadi tiga segi sebagai simbol ‘gunungan’. Tanjak hanya dipakai oleh lelaki dan juga disebut sebagai tengkolok atau destar.

Tanjak dihasilkan menggunakan bahan daripada kain dan wajib mempunyai bahagian simpul, tapak, bengkung dan karangan atau solekan.

Antara fungsi dan kegunaan tanjak ialah:
-       Simbol bangsa, keturunan atau kerajaan
-       Taraf dan kuasa
-       Hiasan kepala
-       Mengemaskan kedudukan rambut yang panjang
-       Adat istiadat
-       Ritual
-       Menghalang peluh dari dahi menitis ke mata
-       Pelengkap busana
-       Identiti si pemakai

Khamis, 20 September 2018

SIAPAKAH TENGKU ALI?

Ramai yang terkejut dengan tuntutan seorang insan bernama Tengku Ali ke atas Kesultanan Terengganu, kira-kira 3 dekad yang lalu. Ramai yang meragui kesahihan dakwaan beliau dan tidak kurang pula yang mempercayainya.

Namun, memang ramai yang tidak tahu tentang Tengku Ali ini. Siapakah Tengku Ali yang berani menggegarkan Kesultanan Terengganu? Benarkah beliau seorang Tengku? Apakah tujuan di sebalik tuntutan beliau ini?

Tengku Ali dilahirkan pada tahun 1914, di Istana Tepi Bukit, berhampiran Bukit Puteri. Beliau merupakan putera sulung Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Sultan Terengganu ke-13. Bondanya ialah Tengku Ampuan Mariam, puteri Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, Sultan Pahang.


Selain Tengku Ali, Almarhum Sultan Sulaiman mempunyai tiga orang putera dan empat orang puteri lagi. Mereka ialah Tengku Azizah, Tengku Asma’ (Sultanah Kedah), Tengku Abdul Rashid, Tengku Atikah, Tengku Mariam, Tengku Abdul Aziz dan Tengku Abdul Rahman.

Tengku Ali mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Sulaiman, salah sebuah sekolah yang terawal di Kuala Terengganu. Sewaktu berusia 15 tahun, beliau dihantar pula menuntut di Andrew School, England. Selepas itu ke Universiti Oxford, mengambil jurusan Ilmu Alam, selama 5 tahun. Bagaimanapun, beliau tidak sempat memperolehi Degree. Seperkara yang menarik tentang Tengku Ali ialah sewaktu sampai di England, beliau tidak tahu berbahasa Inggeris walaupun sepatah. Tetapi atas daya usaha sendiri, akhirnya beliau dapat juga menguasai bahasa tersebut sedikit demi sedikit. Di England, beliau terpaksa menaiki basikal sejauh 10 kilometer seriap hari untuk ke universiti.

Pada tahun 1934, beliau kembali semula ke tanah air dan dihantar oleh ayahandanya ke Kemaman, yang pada masa itu masih merupakan sebuah pekan yang dilitupi hutan belantara. Di sana, beliau disuruh belajar dan berlatih bekerja dengan Mubin Sheppard.


Selepas itu beliau dihantar pula ke Kuala Lumpur dan kemudiannya ke Kuala Selangor. Di Kuala Selangor beliau bekerja tanpa gaji bersama-sama Raja Uda dan Residen British pada waktu itu.

Pada tahun 1937, beliau kembali semula ke Terengganu. Di negerinya sendiri, Tengku Ali berkesempatan melakukan berbagai-bagai kerja seperti menjadi Penguasa Polis dan Kastam. Pada tahun 1942, Tengku Ali menjadi pegawai pelatih di pejabat Mahkamah Besar Kuala Terengganu. Semasa di mahkamah inilah Tengku Ali berpeluang mendalami Undang-Undang Keterangan, Undang-Undang Peraturan Jenayah, Undang-Undang Jenayah dan Undang-Undang Peraturan Mal.

Tengku Ali kemudiannya mengahwini Tengku Ainon Jamal, puteri Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang. Dengan perkahwinan ini bermakna beliau telah mengeratkan lagi hubungan silaturrahim Terengganu-Pahang, kerana sebelum ini nendanya, Almarhum Sultan Zainal Abidin III telah mengahwini Tengku Long puteri Sultan Ahmad. Manakala bonda Tengku Ali, Tengku Mariam juga adalah puteri Sultan Pahang.


Perkahwinan dengan Tengku Ainon Jamal dianugerahkan Allah tiga cahaya mata, iaitu Tengku Besar, Tengku Afzam dan Tengku Iskandar Abu Bakar. Perkahwinan tersebut sebenarnya merupakan perkahwinan ketiga Tengku Ali. Sebelum itu Tengku Ali telah pun beristerikan Che’ Fatimah dan dianugerahkan seorang putera, Tengku Abdul Halim. Perkahwinan kedua Tengku Ali ialah dengan Tuan Nik Sharifah Aminah dan perkahwinan ini telah dianugerahkan Allah dengan tujuh orang putera dan puteri, iaitu Tengku Puteri, Tengku Fatimah, Tengku Badli Shah, Tengku Kechik, Tengku Jaafar, Tengku Mohamad Muhiddin dan Tengku Khadijah.

Semasa Tengku Ali dilantik menjadi Sultan Terengganu, Tengku Ainon Jamal telah dilantik sebagai Tengku Ampuan. Perlantikan tersebut telah digazetkan di dalam Warta Kerajaan Terengganu Bil. 18 yang bertarikh 16.09.2603 (tahun Jepun). Walaupun demikian, jodohnya dengan Tengku Ainon Jamal tidak panjang. Mereka berpisah setelah Tengku Ali diturunkan daripada tahta kesultanan Terengganu.

Selain mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Kerabat Diraja Pahang, Tengku Ali juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Kerabat Diraja Kedah. Hubungan ini bermula apabila adinda Tengku Ali, Sultanah Asma’ berkahwin dengan Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah yang ke-27. Putera Sultanah Asma’, Sultan Mahmud Sallehuddin merupakan Sultan Kedah ke-29. Seorang lagi adinda Tengku Ali, Tengku Abdul Aziz berkahwin dengan Tunku Hamidah, puteri Sultan Badlishah. Tengku Abdul Aziz merupakan bekas Juruiring Sultan Kedah.


Berdasarkan bukti-bukti sejarah, Tengku Ali memang pernah menjadi Sultan Terengganu ke-14, dari tahun 1942-1945. Iaitu sebelum Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin memerintah Terengganu. Tengku Ali dilantik menjadi Sultan Terengganu oleh jemaah menteri, bagi menggantikan Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, ayahandanya yang mangkat pada 25 September 1942.


Tengku Ali mangkat pada hari Jumaat, 17 Mei 1996, di usia 82 tahun dan dimakamkan di dalam kawasan Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

Rabu, 19 September 2018

PERISTIWA PENURUNAN TENGKU ALI DARI TAHTA TERENGGANU

Peristiwa yang berlaku di dalam tahun 1945 mencatatkan sejarah hitam dalam sejarah kesultanan Terengganu yang berkesudahan dengan pemecatan Tengku Ali sebagai Sultan Terengganu. Baginda terpaksa diturunkan daripada tahta semata-mata kerana mempertahankan prinsip dan tidak sependapat dengan pemerintah ketika itu. Penurunan baginda juga dikaitkan dengan politik istana dan kesalahan perilaku sebagai sultan.

Walau apa pun yang berlaku, peristiwa penurunan Tengku Ali lebih 70 tahun lalu wajar dilihat daripada perspektif yang tersendiri. Baginda merupakan sultan pertama yang diturunkan daripada tahta dan hidup merempat. Itulah nasib yang menimpa Almarhum Tengku Ali ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tengku Ali yang diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu yang ke-14 pada tahun 1942 dan memerintah sehingga tahun 1945. Namun, baginda hidup sebagai rakyat biasa sehingga ke akhir hayat baginda; kehidupan yang amat mengharukan dan bukan kehidupan yang patut dilalui oleh bekas seorang sultan.


Apa yang menyedihkan ialah kehadiran Tengku Ali seolah-olah tidak disedari atau dihiraukan oleh banyak pihak. Lebih memilukan lagi, Tengku Ali terpaksa berpindah-randah dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain untuk tinggal bersama anak-anaknya, kerana baginda tidak mempunyai rumah. Sebagai bekas seorang Sultan, Tengku Ali berhak menerima elaun dan kemudahan lain kerana hak itu termaktub dalam Undang-Undang Diri Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurut Almarhum Tengku Ali, 2-3 tahun selepas baginda diturunkan tahta, memang ada usaha untuk mengembalikan haknya dan begitu juga di sekitar tahun 1950-an. Walau bagaimanpun, pada masa itu British begitu berkuasa. Kerabat Diraja dan Ahli-ahli Jemaah Pangkuan Negeri pun tidak menyebelahi baginda. Mereka takut dan Tengku Ali juga menyatakan baginda takut, walaupun mahkota dan tahta itu sememangnya hak baginda. Sultan Terengganu ketika itu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah merupakan ayahanda saudara baginda. Bondanya, Almarhum Tengku Ampuan Mariam meminta baginda supaya banyak bersabar dan menganggap kejatuhan baginda sebagai suratan Ilahi.