"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 15 September 2025

PENGHULU PESAKA LUAK TERACHI DARI SUKU SERI LEMAK PAHANG

Luak Terachi ialah salah satu daripada lima luak yang tergolong dalam Luak Tanah Mengandung di Negeri Sembilan, yang bernaung di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Luak ini terletak di kawasan Kuala Pilah. Kewujudan Luak Terachi bermula daripada penerokaan tiga keluarga Minangkabau yang membuka tanah sawah pada sekitar kurun ke-18.

 
Luak Terachi menetapkan bahawa penyandang dari Suku Seri Lemak Pahang yang akan mewarisi pesaka Penghulu Luaknya. Perlantikan bagi jawatan Penghulu Luak dilakukan secara bergilir-gilir di dalam kalangan perut yang terlingkung dalam Suku Seri Lemak Pahang. 

Gelaran bagi Penghulu Pesaka Luak Terachi ialah Yang Mulia Dato’ Anjah Pahlawan, Orang Kaya Terachi Lela Setiawan. Manakala, jawatan pesaka YM Dato’ Andatar diwujudkan sebagai Bakal Penghulu Luak. Ini kerana apabila Penghulu Luak meninggal dunia, maka YM Dato’ Andatar akan dilantik menyandang pesaka. Apabila Dato’ Andatar menyandang pesaka Penghulu Luak, maka ‘kepala waris’ Seri Lemak Pahang yang diketuai oleh YM Dato’ Sri Amar Raja dan YM Dato’ Amar Penghulu perlu menamakan calon Dato’ Andatar yang baharu dan memaklumkan kepada semua Dato’ Lembaga Luak Terachi.

Penghulu Luak Terachi menjadi ‘pegawai’ di Istana Besar Seri Menanti. Ini kerana, Penghulu Luak Tanah Mengandung dikehendaki mengadap DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti setiap tiga tahun sekali, di dalam istiadat yang dinamakan Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli.

Penyandang terkini Penghulu Pesaka Luak Terachi ialah Yang Mulia Dato’ Anjah Pahlawan Orang Kaya Terachi Lela Setiawan, Dato’ Haji Mohamad Nasir bin Nordin, daripada Suku Seri Lemak Pahang Ilir. Yang Mulia Dato’ Haji Mohamad Nasir merupakan Penghulu Luak Terachi ke-16, dan telah ‘dikerjankan’ pada 19 Mei 1990.

Penyandang terkini jawatan Yang Mulia Dato’ Andatar, bakal Penghulu Pesaka Luak Terachi ialah YM Dato' Andatar, Haji Kamarudin bin Karim, daripada Suku Seri Lemak Pahang Ulu.


Bersama YM Dato' Menteri Maharaja Luak Terachi, Haji Sulaiman bin Kasim
Suku Tiga Nenek