"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 2 September 2025

AL-SULTAN ABDULLAH TERIMA ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DOKTOR FALSAFAH DARI UNIVERSITI TSUKUBA, JEPUN

Pada 2 September 2025, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menghadiri Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat oleh Universiti Tsukuba, Jepun. Majlis ini telah berlangsung di Amari Hotel, Kuala Lumpur.

Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah telah dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Doctor Honoris Causa), sebagai pengiktirafan Paduka Baginda terhadap sumbangan cemerlang dalam pendidikan, diplomasi antarabangsa dan pembangunan masyarakat.

Berangkat sama mengiringi adalah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj. Turut mengiring ialah YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan Paduka Baginda disambut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Noriyuki Shikata; Presiden Universiti Tsukuba, Dr. Kyosuke Nagata; serta Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Encik Khozo Tashima. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.

Universiti Tsukuba merupakan universiti penyelidikan kebangsaan terkemuka di Jepun yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1973, dengan sejarah akademik yang bermula sejak 1872 dan kini menempatkan puluhan ribu pelajar di kampus utamanya di Tsukuba Science City. Malaysia menjadi lokasi pertama penubuhan kampus luar negara universiti tersebut menerusi pembukaan University of Tsukuba Malaysia (UTMy) di Kuala Lumpur, pada tahun 2024.

Pembukaan UTMy juga melakar sejarah baharu kedua-dua negara, apabila buat julung-julung kalinya, Jepun membuka cawangan universitinya di luar negara. Ia mencerminkan hubungan persahabatan serta kepercayaan yang kukuh antara Malaysia dan Jepun. UTMy menawarkan program ijazah Jepun berteraskan pendekatan transdisiplin dan kurikulum setara dengan kampus induk di Jepun.