Tuanku Munawir ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman merupakan Yang Dipertuan
Besar Negeri Sembilan yang ke-9. Baginda diputerakan pada 29 Mac 1922, di Kuala
Pilah, Negeri Sembilan. Baginda menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
dari 5 April 1960 sehingga 14 April 1967.
Tuanku Munawir merupakan putera sulung Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni
Almarhum Tuanku Muhammad Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-8. Tuanku
Munawir telah mangkat kerana penyakit kencing manis di Istana Hinggap,
Seremban, pada petang 14 April 1967. Kemangkatan Baginda pada usia 45 tahun,
amat memeranjatkan seluruh rakyat jelata.
Jenazah Baginda telah dibawa pulang ke Seri Menanti, untuk diberikan
penghormatan terakhir dan disemadikan pada 18 April 1967, di Makam Diraja Seri
Menanti bersebelahan dengan Makam Ayahandanya, Almarhum Tuanku Abdul Rahman.