"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 30 Jun 2022

RAJA AZLAN SHAH, PUTERA RAJA PERTAMA MENJADI HAKIM

Raja Azlan Shah ibni Raja Yussuff Shah diputerakan pada 19 April 1928, di Kampung Manggis,Batu Gajah, Perak. Merupakan putera kedua kepada Raja Bendahara Yussuff (kemudiannya Sultan Yussuff Izzuddin Shah) dan Toh Puan Besar Hatijah binti Toh Indera Wangsa Ahmad.
 
Raja Azlan Shah telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 1965, ketika berusia 37 tahun. Pelantikan ini menjadikan Baginda sebagai putera raja pertama yang bergelar hakim. Baginda juga merupakan hakim termuda dalam sejarah Kehakiman Komanwel. Bagaimanapun, Ayahandanya tidak sempat menyaksikan kejayaan dan pencapaian Raja Azlan Shah itu, kerana Ayahandanya, Sultan Yussuf Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Nasiruddin Muhtaram Shah telah dahulu mangkat pada 4 Januari 1963.
 
Raja Azlan Shah telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Batu Gajah dan Sekolah Anderson, Ipoh, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham, England dalam Jurusan Undang-Undang.
 
Selepas dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya di dalam tahun 1965, Raja Azlan Shah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan di dalam tahun 1973 dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, di dalam tahun 1979.
 

Kemudiannya, pada 12 November 1982, Raja Azlan Shah telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, bagi menggantikan Tun Mohamad Suffian Hashim, yang bersara. Raja Azlan Shah memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara dari 12 November 1982 sehingga 2 Februari 1984. Raja Azlan Shah kemudiannya dimasyhurkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34, pada 3 Februari 1984. Ianya bagi menggantikan Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah, yang mangkat pada 31 Januari 1984.
 

Raja Azlan Shah menggunakan gelaran Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah. Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah mangkat pada 28 Mei 2014, di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur, di usia 86 tahun.