"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Jumaat, 22 Julai 2022

DATO’ UNDANG ABDULLAH MENEGUR TUANKU MUHAMMAD DI ISTANA SERI MENANTI

Dato’ Undang Luak Jelebu ke-12, Dato’ Abdullah bin Panglima Muda Lok memang terkenal dengan sifatnya yang tegas dan ditakuti oleh sesiapa sahaja, kerana kegerunan yang ada pada dirinya.
 
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-7, Tuanku Sir Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah yang terkenal dengan sifat garangnya juga dikatakan tidak sanggup berhadapan dengan Dato’ Undang Luak Jelebu ke-12 itu.
 
Tuanku Ampuan Halijah binti Tunku Muda Chik

Pernah diceritakan bahawa sewaktu kemangkatan Permaisuri Tuanku Muhammad Shah, Tuanku Ampuan Halijah binti Tunku Muda Chik di Istana Ampang Tinggi, Kuala Pilah pada 26 Mei 1921, dikatakan Dato’ Undang Abdullah menegur Tuanku Muhammad kerana membiarkan orang ramai menunggu terlalu lama di bawah terik matahari, pada hari permakaman Tuanku Ampuan Halijah, di Istana Seri Menanti.
 
Tuanku Muhammad Shah sekadar mendiamkan diri, sementara ayahanda mertua Baginda, Tunku Muda Chik Aminullah ibni Yamtuan Raden yang juga terkenal dengan sifat tegasnya juga tidak berani membantah. Baginda hanya memandang sambil tersenyum tawar.
 
Ketegasan Dato’ Undang Abdullah memang diakui oleh semua orang, termasuk Residen British di Negeri Sembilan, yang menggelarkannya ‘The Lion Of Jelebu’. Dato’ Undang Abdullah meninggal dunia pada bulan Ogos 1945.