"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 7 Julai 2022

FOTO RASMI TERAKHIR SULTAN ABDUL SAMAD

 
Sultan Sir Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah merupakan Sultan Selangor ke-4. Baginda telah diputerakan di dalam tahun 1804 di Bukit Melawati, Kuala Selangor. Ayahanda Baginda ialah Raja Abdullah ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah. Bonda baginda bernama Che’ Lipah.
 
Baginda menaiki tahta sebagai Sultan Selangor ke-4 di dalam tahun 1857, setelah berlakunya beberapa pertelingkahan untuk melantik pengganti Sultan. Sultan Selangor ke-3, Sultan Muhammad Shah ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah mangkat tanpa melantik pewaris tahta.
 
Semasa Baginda hendak berangkat ke Kuala Kangsar untuk menghadiri Persidangan Raja-Raja Melayu (DURBAR) yang pertama, yang diadakan pada 13 sehingga 17 Julai 1897 di Istana Negara, Kuala Kangsar Perak, Sultan berusia 93 tahun dan sedang gering. Walau bagaimanapun, Baginda tetap berkeras untuk berangkat, walaupun Raja Muda Selangor, Raja Sulaiman ibni Almarhum Raja Muda Musa menawarkan diri untuk mewakili Baginda ke Persidangan DURBAR tersebut.
 
Sepanjang seminggu berada di Bukit Chandan, Sultan Abdul Samad lebih banyak berehat di dalam kamar khas yang disediakan oleh Sultan Idris Perak, di Istana Negara Kuala Kangsar. Baginda mewakilkan Raja Muda Selangor, Raja Sulaiman sepanjang Persidangan DURBAR berlangsung.
 
Enam bulan setelah pulang dari Kuala Kangsar, Baginda jatuh gering dan mangkat di Istana Bandar Temasya, Jugra, Kuala Langat pada jam 10.45 pagi, 6 Februari 1898 dan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Jugra, selepas solat Asar.
 
Gambar ramai yang dirakamkan sewaktu Persidangan DURBAR yang pertama, pada Julai 1857 itu merupakan foto rasmi terakhir Almarhum Sultan Sir Abdul Samad.