"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 6 Januari 2026

PERMAINAN HENCANG BUAH KERAS BERUSIA 300 TAHUN

Permainan Hencang Buah Keras merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Pahang sejak ratusan tahun yang lampau. Ia menjadi permainan tradisi Masyarakat Melayu Pahang dan berusia lebih 300 tahun. Ia diasaskan oleh Bangsawan Bugis dari keturunan Makassar.

Permainan tradisional Hencang Buah Keras terkenal semasa pemerintahan Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah ibni Almarhum Bendahara Tun Ali (1863-1914), sehinggalah ke zaman pemerintahan Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah (1917-1932). Malah, pada akhir tahun 1960-an, permainan ini masih dimainkan di sesetengah kampung di Pahang.

Permainan ini dibawa masuk ke negeri Pahang oleh Keraing Aji Tok Tuan atau nama sebenarnya Kraeng Agang Jene Muhammad Naziruddin. Beliau merupakan seorang Bangsawan dan pahlawan Bugis dari Makassar, Sulawesi, Indonesia.

Pada tahun 1669, setelah Belanda menyerang dan menawan Makassar, orang-orang Bugis telah berhijrah ke Pahang. Keraing Aji yang juga dikenali dengan gelaran Tok Tuan menentang keras kemasukan Belanda dan turut berperang menghalau penjajah. Oleh kerana penentangannya, beliau telah ditangkap oleh kerajaan Belanda bersama-sama pengikutnya dan dihukum buang negeri ke Capetown, Afrika Selatan. Di dalam pelayaran ke Capetown, beliau dapat melarikan diri sehingga ke Muar, Johor. Dari Muar, beliau berpindah dan menetap di Kota Tinggi, Johor. Tidak lama di Kota Tinggi, beliau belayar ke Endau, Johor untuk mengambil bekalan air bersih dan meneruskan pelayaran ke Telok Kandang, Pulau Jawa, Pekan, Pahang. Beliau menetap di situ selama 10 tahun.

Pada tahun 1722, beliau berpindah dan membuka penempatan baharu yang diberi nama Kampung Mengkasar, di Pekan. Penghijrahan orang-orang Bugis membawa pengaruh kebudayaan dan kesenian dalam kehidupan masyarakat di negeri Pahang. Tok Tuan telah memperkenalkan permainan Hencang Buah keras.

Pada asalnya, permainan tradisional Hencang Buah Keras ini hanya dimainkan oleh golongan istana. Ia kemudiannya diturunkan kepada golongan rakyat biasa sebagai permainan rakyat. Permainan ini turut dipersembahkan dengan pelbagai jenis tarian dan gendang Silat. Dalam permainan ini, tiga alat penting yang diperlukan iaitu buah keras, alat pengapit dan pelapik.

Permainan ini adalah permainan kegemaran Pahlawan Mat Kilau dan beliau sangat handal bermain. Setelah remaja, beliau mengambil bahagian dalam permainan Hencang Buah Keras. Kudratnya muda dan kuat, Mat Kilau dijadikan orang tukang hencang. Mengikut apa yang diketahui, Mat Kilau tidak pernah menghencang tidak pecah. Mat Kilau menjadi lebih terkenal sebagai penghencang buah keras apabila Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah (Sultan Pahang ketika itu) berangkat dan bersemayam di Pulau Tawar.


Jumaat, 2 Januari 2026

TENGKU MAHKOTA PAHANG BERANGKAT KE MAJLIS RESEPSI PACAL DIDIK KETUA MENTERI MELAKA

Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Resepsi Cik Laili Nur Laila binti Ab Rauf dan pasangannya, Encik Muhamad Faiz bin Juhari. Cik Laili Nur Laila merupakan pacal didik kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh.

Majlis Resepsi ini berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada 1 Januari 2026. Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada jam 12.05 tengahari disambut sendiri oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh dan isteri, Datin Sri Utama Datuk Wira Zuriyah binti Abd Aziz.

Majlis resepsi ini turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka; dan Yang Amat Berbahagia, Toh Puan Datuk Wira (Dr). Hajah Asmah binti Ab Rahman. Turut berangkat hadir ialah Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin, Kolonel (Kehormat) Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Hadir sama ialah Yang Amat Berbahagia Tun Datuk Seri Utama Dr. Haji Mohd Khalil bin Yaakob, Mantan Yang Dipertua Negeri Melaka ke-6. Turut hadir, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah binti Khamis; Menteri-Menteri Kabinet; serta pemimpin-pemimpin masyarakat.























PELANTIKAN ORANG-ORANG BESAR NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR YANG BAHARU, 1 JANUARI 2026

Istana Pahang dengan ini memaklumkan bahawa Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah mengampuni limpah perkenan berkenan melantik Orang-Orang Besar Negeri Pahang Darul Makmur yang baharu, bermula pada 1 Januari 2026 seperti berikut:

 

Orang Besar Berlapan

1. YHM Dato Setia Amar Segara Tengku Dato’ Haji Mustaffa bin Tengku Dato Haji Ibrahim

2. YH Dato Setia Perkasa Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail

3. YH Dato Setia Lela Dato’ Indera Wan Abu Bakar bin Wan Mohamed

 

Orang Besar Raja

1. YH Dato Setia Jaya Dato Ahmad Farid bin Abd Jalal

 

Orang Besar Enam Belas (Bergelar YH Tok Muda)

1. YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal bin Haji Ab. Rahman

2. YH Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain

3. YH Lt. Kol Dato’ Haji Nor Hashim bin Abdul Aziz (B)

4. YH Encik Wan Nizamuddin bin Dato Wan Ibrahim

 

Orang Besar Istana

1. YH Panglima Dalam Encik Ahmad Faisal bin Dato Mohd Taib

2. YH Penghulu Balai Encik Wan Samsul Effendi bin Wan Mahmud

Khamis, 1 Januari 2026

SURI YAM TENGKU ARIF BENDAHARA DIKURNIAKAN GELARAN TENGKU PUAN BENDAHARA

Istana Pahang dengan ini mengisytiharkan bahawa Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah mengampuni limpah perkenan berkenan mengurniakan gelaran Yang Hormat Mulia Tengku Puan Bendahara ke atas tubuh Yang Hormat Mulia Tengku Natasya Puteri binti Tengku Adnan, selaku suri kepada Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara, berkuat kuasa mulai tanggal 1 haribulan Januari 2026 bersamaan 11 Rejab 1447 Hijrah.

Ahad, 12 Oktober 2025

PINDAAN LAGU NEGERI PAHANG

Menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melalui Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Darul Makmur kali ke-16, lagu negeri Pahang telah diperkenankan untuk dipinda dengan tajuk baharu 'Allah Rahmatkan Raja Kami'.

Titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang tersebut dimaklumkan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Sri Nazri Abu Bakar, pada 11 Oktober 2025. Penggunaan lagu baharu ini di dalam majlis atau program rasmi jabatan di negeri Pahang adalah berkuatkuasa serta merta.

Lagu Negeri Pahang sebelum ini dikenali dengan nama ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’. Ia telah dikarang oleh Miss Dorothy Lilian Sworder pada tahun 1924 dan dimainkan secara rasmi buat pertama kalinya oleh State Band Council pada tahun 1925, di Kuala Lumpur. (https://almuazzamshah.blogspot.com/2019/04/lagu-negeri-pahang-berusia-94-tahun.html)

Khamis, 2 Oktober 2025

KONSORT DYTM RAJA MUDA SELANGOR DIKURNIAKAN S.P.M.S.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj telah selamat diijabkabulkan dengan Cik Afzaa Fadini binti Dato' Abdul Aziz, pada 2 Oktober 2025 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

Usai Istiadat Akad Nikah Diraja, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj telah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) kepada Cik Afzaa Fadini. Darjah ini membawa gelaran "Dato' Seri" bagi penerima lelaki; dan "Datin Paduka Seri" bagi penerima wanita.

Sehubungan dengan pengurniaan ini, gelaran rasmi bagi Konsort kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor adalah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz.


Isnin, 15 September 2025

PENGHULU PESAKA LUAK TERACHI DARI SUKU SERI LEMAK PAHANG

Luak Terachi ialah salah satu daripada lima luak yang tergolong dalam Luak Tanah Mengandung di Negeri Sembilan, yang bernaung di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Luak ini terletak di kawasan Kuala Pilah. Kewujudan Luak Terachi bermula daripada penerokaan tiga keluarga Minangkabau yang membuka tanah sawah pada sekitar kurun ke-18.

 
Luak Terachi menetapkan bahawa penyandang dari Suku Seri Lemak Pahang yang akan mewarisi pesaka Penghulu Luaknya. Perlantikan bagi jawatan Penghulu Luak dilakukan secara bergilir-gilir di dalam kalangan perut yang terlingkung dalam Suku Seri Lemak Pahang. 

Gelaran bagi Penghulu Pesaka Luak Terachi ialah Yang Mulia Dato’ Anjah Pahlawan, Orang Kaya Terachi Lela Setiawan. Manakala, jawatan pesaka YM Dato’ Andatar diwujudkan sebagai Bakal Penghulu Luak. Ini kerana apabila Penghulu Luak meninggal dunia, maka YM Dato’ Andatar akan dilantik menyandang pesaka. Apabila Dato’ Andatar menyandang pesaka Penghulu Luak, maka ‘kepala waris’ Seri Lemak Pahang yang diketuai oleh YM Dato’ Sri Amar Raja dan YM Dato’ Amar Penghulu perlu menamakan calon Dato’ Andatar yang baharu dan memaklumkan kepada semua Dato’ Lembaga Luak Terachi.

Penghulu Luak Terachi menjadi ‘pegawai’ di Istana Besar Seri Menanti. Ini kerana, Penghulu Luak Tanah Mengandung dikehendaki mengadap DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti setiap tiga tahun sekali, di dalam istiadat yang dinamakan Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli.

Penyandang terkini Penghulu Pesaka Luak Terachi ialah Yang Mulia Dato’ Anjah Pahlawan Orang Kaya Terachi Lela Setiawan, Dato’ Haji Mohamad Nasir bin Nordin, daripada Suku Seri Lemak Pahang Ilir. Yang Mulia Dato’ Haji Mohamad Nasir merupakan Penghulu Luak Terachi ke-16, dan telah ‘dikerjankan’ pada 19 Mei 1990.

Penyandang terkini jawatan Yang Mulia Dato’ Andatar, bakal Penghulu Pesaka Luak Terachi ialah YM Dato' Andatar, Haji Kamarudin bin Karim, daripada Suku Seri Lemak Pahang Ulu.


Bersama YM Dato' Menteri Maharaja Luak Terachi, Haji Sulaiman bin Kasim
Suku Tiga Nenek