"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 1 Ogos 2022

TENGKU AHMAD ISMAIL DIKURNIAKAN GELARAN TENGKU PANGLIMA PERANG

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang telah berkenan mengurniakan gelaran baharu, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang kepada anakanda Baginda, Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah. 
 
Gelaran baharu itu diumumkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur, Sempena Memuliakan Ulangtahun Hari Keputeraan ke-63 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan, pada hari Isnin, 1 Ogos 2022.
 

Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah merupakan cicinda kepada Tengku Panglima Perang Pahang ke-2, iaitu Almarhum Tengku Muhammad ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, yang menjadi Tengku Panglima Panglima Perang daripada tahun 1940 sehingga kemangkatannya pada 8 Januari 1957.

"Berdasarkan sejarah, YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Muhammad pernah memegang jawatan sebagai Pelatih Pegawai Melayu bagi Negeri Pahang pada tahun 1918, Penolong Pesuruhjaya Polis Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1920, Juruiring Khas kepada Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu pada tahun 1924, Penolong Pesuruhjaya Polis Terengganu pada tahun 1925, Setiausaha Melayu pada tahun 1934, Ahli Mesyuarat Negeri Pahang pada tahun 1937, Menteri Besar Terengganu pada tahun 1948 dan Menteri Besar Pahang pada tahun 1951.”
 

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mendoakan, semoga dengan kurniaan ini, Paduka Adinda yang bergelar YAM Tengku Panglima Perang akan mencontohi Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang telah banyak berjasa kepada negara dan negeri Pahang khususnya.
 
Pengurniaan gelaran  tersebut berkuatkuasa pada 1 Ogos 2022. Sebelum ini, Tengku Ahmad Ismail telah dikurniakan gelaran YAM Tengku Panglima Muda pada 15 Ogos 2019.

Sabtu, 30 Julai 2022

SEMBAH TAHNIAH SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN KE-63 KDYMM SULTAN PAHANG

Merafak Sembah & Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah Ke Sisi

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah
Sempena Memuliakan Ulangtahun Hari Keputeraan yang ke-63
 
Semuga Allah Lanjutkan Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Tuanku
 
Keris Panjang Lambang Kuasa
Tengkolok Bertatah Intan Permata
Mendoakan Tuanku Dilanjutkan Usia
Berkat Berdaulat Di Singgahsana Takhta.
 
اَللّٰهُ أَكْبَر‎
DAULAT TUANKU
DIRGAHAYU TUANKU

Ahad, 24 Julai 2022

PERKAHWINAN TUNKU MUNAWIR DENGAN TUNKU DURAH DI ISTANA BAROH

Perkahwinan di antara Tunku Munawir ibni Tuanku Abdul Rahman dengan Tunku Duratun Nafisah Azibah binti Tunku Besar Burhanuddin berlangsung di Istana Baroh, Seri Menanti pada 1 Januari 1940. Ayahanda Tunku Durah, Tunku Besar Burhanuddin menikahkan pasangan diraja tersebut di hadapan kaum kerabat kedua-dua belah pihak.
 
Tunku Munawir yang ketika itu bergelar Tunku Laksamana Negeri Sembilan merupakan putera sulung Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Ampuan Maharum binti Tunku Mambang. Manakala Tunku Durah merupakan puteri kelima Tunku Besar Burhanuddin ibni Almarhum Tuanku Antah. Bonda Tunku Durah ialah Che’ Puan Sharifah Alawiyah binti Sayyid Abdul Hamid.
 
Kedua-dua pasangan diraja ini berusia 18 tahun ketika itu. Pasangan diraja yang mempunyai hubungan pertalian kekeluargaan yang rapat ini dijodohkan atas pilihan keluarga masing-masing. Istiadat persandingan diraja ini berlangsung di dalam suasana yang sederhana tetapi meriah. Bonda kedua-dua pasangan pengantin diraja ini memulakan istiadat menepung tawar, diikuti oleh kedua-dua ayahanda pasangan pengantin diraja.
 
Selepas persandingan diraja tersebut, kedua pasangan pengantin diraja ini berpindah dan bersemayam di Istana Hinggap, Seremban. Kedua pasangan diraja ini dikurniakan dengan 6 orang putera dan puteri. Putera sulung, Tunku Muhriz menaiki tahta sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, pada 29 Disember 2008. Ia bagi menggantikan Almarhum Tuanku Ja’afar yang mangkat pada 27 Disember 2008.

Sabtu, 23 Julai 2022

TAPAK ASAL ISTANA AMPANG TINGGI

Istana Ampang Tinggi ialah istana Yamtuan Ulin, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-5 (1861 - 1869). Yamtuan Ulin juga dikenali dengan gelaran Yamtuan Imam. Istana Ampang Tinggi dibina di dalam tahum 1861, sebaik sahaja Yamtuan Imam ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, menggantikan kekandanya Yamtuan Radin.
 
Istana ini siap dibina pada tahun 1865. Tapak asal istana ini terletak di atas permatang yang menghala ke kawasan sawah padi yang luas, di Kampung Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Ia dinamakan Istana Ampang Tinggi, mengambil sempena  nama tempat di mana ia dibina. Ampang Tinggi terletak di pertengahan jalan di antara Tanjung Ipoh dan Kuala Pilah.
 

Bangunan istana ini diukir oleh beberapa tukang ukir Melayu. Ukiran ‘awan berarak’ terdapat pada dinding pemisah ruang serambi dengan ruang tengah, sepanjang 914 cm dan tinggi 305 cm. Ukiran-ukiran lain terdapat pada pintu, tingkap, tangga, bendul, tupai tupai, dinding bilik dan serambi.
 
Istana Ampang Tinggi siap dibina dan diduduki oleh Yamtuan Ulin pada tahun 1865. Kemudiannya, istana ini dihadiahkannya kepada puteri baginda yang bernama Tunku Cindai yang berkahwin dengan Tunku Muda Cik, putera kepada Yamtuan Radin (1824-1861). Setelah kemangkatan Yamtuan Ulin pada tahun 1869, Tunku Muda Cik dan isterinya mendiami istana ini.
 

Seterusnya istana ini menjadi milik puteri Tunku Muda Cik yang bernama Tunku Halijah. Tunku Halijah berkahwin dengan Tuanku Muhammad Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-7 (1898 hingga tahun 1937). Selepas kemangkatan Tunku Halijah pada tahun 1921, istana ini didiami oleh kaum keluarga Tunku Muda Cik.
 
Pada tahun 1953, Istana Ampang Tinggi yang semakin usang telah dirobohkan dan dibina semula di Seremban. Bangunan istana yang dipindahkan itu ialah komponen rumah ibu dan rumah tengah. Istana ini siap dibina semula pada tahun 1954 dan dijadikan Muzium Negeri oleh Jeneral Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British, pada masa itu.
 

Apabila Kompleks Budaya Negeri Sembilan siap pembinaannya, Istana Ampang Tinggi dipindahkan ke kompleks tersebut. Istana Ampang Tinggi merupakan istana Raja-raja Melayu yang dianggap tertua yang masih dikekalkan. Bangunan istana ini dijadikan sebagai tempat mempamerkan pelbagai khazanah budaya Melayu Negeri Sembilan dan merupakan sebahagian daripada Muzium Negeri Sembilan.

Jumaat, 22 Julai 2022

DATO’ UNDANG ABDULLAH MENEGUR TUANKU MUHAMMAD DI ISTANA SERI MENANTI

Dato’ Undang Luak Jelebu ke-12, Dato’ Abdullah bin Panglima Muda Lok memang terkenal dengan sifatnya yang tegas dan ditakuti oleh sesiapa sahaja, kerana kegerunan yang ada pada dirinya.
 
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-7, Tuanku Sir Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah yang terkenal dengan sifat garangnya juga dikatakan tidak sanggup berhadapan dengan Dato’ Undang Luak Jelebu ke-12 itu.
 
Tuanku Ampuan Halijah binti Tunku Muda Chik

Pernah diceritakan bahawa sewaktu kemangkatan Permaisuri Tuanku Muhammad Shah, Tuanku Ampuan Halijah binti Tunku Muda Chik di Istana Ampang Tinggi, Kuala Pilah pada 26 Mei 1921, dikatakan Dato’ Undang Abdullah menegur Tuanku Muhammad kerana membiarkan orang ramai menunggu terlalu lama di bawah terik matahari, pada hari permakaman Tuanku Ampuan Halijah, di Istana Seri Menanti.
 
Tuanku Muhammad Shah sekadar mendiamkan diri, sementara ayahanda mertua Baginda, Tunku Muda Chik Aminullah ibni Yamtuan Raden yang juga terkenal dengan sifat tegasnya juga tidak berani membantah. Baginda hanya memandang sambil tersenyum tawar.
 
Ketegasan Dato’ Undang Abdullah memang diakui oleh semua orang, termasuk Residen British di Negeri Sembilan, yang menggelarkannya ‘The Lion Of Jelebu’. Dato’ Undang Abdullah meninggal dunia pada bulan Ogos 1945.

Selasa, 19 Julai 2022

SERI PADUKA BAGINDA BERANGKAT KE MAJLIS GRADUASI PADUKA ANAKANDA

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan untuk berangkat menghadiri Majlis Graduasi Paduka Anakanda Seri Paduka Baginda berdua, di Kampus Royal Holloway, University of London, Egham, Surrey, United Kingdom.
 

Majlis Graduasi ini berlangsung pada 18 Julai 2022, jam 11 pagi waktu tempatan. Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains Kriminologi dan Sosiologi.
 

Manakala, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah pula telah dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan dan Perakaunan.
 

Turut berangkat ke majlis graduasi tersebut ialah Paduka Anakanda-Anakanda Seri Paduka Baginda berdua, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
 

Royal Holloway, University of London diasaskan oleh seorang usahawan dan dermawan Victoria, Thomas Holloway di dalam 1879 dan dibuka secara rasminya oleh Baginda Ratu Victoria pada 30 Jun 1886. Pada 2021, ia tersenarai dalam 25 universiti terbaik di United Kingdom.

(Kredit foto: Istana Negara)

Ahad, 17 Julai 2022

AL-FATIHAH

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

Telah kembalinya ke Rahmatullah bapa saudara saya, Amirudin bin Mohamad Ali, pada jam 9.20 malam 16 Julai 2022 di Hospital Pantai, Sungai Petani, Kedah, akibat sakit jantung. Jenazah telah dibawa pulang ke kediaman Allahyarham di Taman Melor, Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah dan akan dikebumikan selepas solat Zohor 17 Julai 2022.
 
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
 
الفاتحة

بِسْمِ  ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞آمين
 
Amirudin bin Mohamad Ali bin Jusoh bin Long bin Pengiran Ibrahim bin Pengiran Sura Negara Bagauddin ibni Sultan Muhammad Kanzul Alam (Sultan Brunei ke-21, 1807-1826)


Updated 17.07.2022, 1600hrs.