"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 23 November 2023

ISTIADAT ULANGAN PENGHULU LUAK TANAH MENGANDUNG MENGADAP MENJUNJUNG DULI

Umum telah mengetahui bahawa Sistem Beraja di Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih, di mana Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dipilih melalui sistem pemilihan ala demokrasi oleh Undang Yang Empat, iaitu Penghulu yang mentadbir Luak masing-masing.

Namun, selain Undang Yang Empat, pentadbiran Luak-luak lain di Negeri Sembilan juga diketuai oleh Penghulu Luak. Selain daripada empat Luak, iaitu di Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol, terdapat satu wilayah, terdiri di dalamnya lima Luak atau Jajahan Kecil yang secara umumnya digelar Luak Tanah Mengandung. Ini menjelaskan bahawa Negeri Sembilan adalah gabungan wilayah-wilayah atau 'negeri' di mana pembesar dari empat Luak ditambah dengan lima Penghulu Luak dari Luak Tanah Mengandung, menjadikan sembilan 'negeri' di dalam Negeri Sembilan.

Lima 'Kerajaan Kecil' di dalam Luak Tanah Mengandung ini ialah Luak Inas, Luak Jempol, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir dan Luak Terachi. Selain Luak Tanah Mengandung yang lima, ada dua lagi Luak Kecil yang juga diketuai oleh Penghulu Luak, iaitu Luak Gemencheh dan Luak Pesaka Air Kuning.

Ketujuh-tujuh Luak kecil ini berada di dalam 'air kaki lingkungan' DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, yang asalnya di Seri Menanti. Dan setiap tujuh Luak-luak kecil ini menumpahkan taat setianya kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Penghulu Luak iaitu ketua bagi setiap Luak-luak ini pula suatu ketika dahulu akan datang mengadap DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dalam 'Istiadat Menabal'.

Ia kemudiannya ditukar nama kepada 'Istiadat Ulangan Penghulu Luak Mengadap dan Menjunjung Duli', seperti yang dikenali sehingga hari ini. Ia bagi mengelak salah faham penggunaan perkataan 'tabal' yang disifatkan hanya sesuai untuk Istiadat Pertabalan Raja.

'Istiadat Menabal' atau kini dikenali sebagai 'Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap Menjunjung Duli' ini bertujuan memperbaharui sumpah ikrar taat setia Luak Tanah Mengandung dan Luak-luak kecil, kepada DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Ia juga suatu ketika dahulu berfungsi sebagai wadah penyampaian khabar dari setiap Luak ke sisi DYMM Baginda Tuanku selaku Yamtuan Besar ketika itu. Setiap urusan dan pemakluman tentang hal ehwal pentadbiran Luak, kutipan cukai, perkembangan setiap Luak, termasuk jika ada peristiwa-peristiwa penting berlangsung di Luak masing-masing yang perlu dipersembahkan kepada Baginda Tuanku. Penghulu Luak yang turut digelar sebagai ‘Tiang Seri Istana’, akan menyokong, selain berfungsi sebagai ‘tangan’, juga 'mengkerajaankan' Baginda di atas titah Tuanku sebagai Yamtuan Besar, di Luak masing-masing.

Istiadat Ulangan Penghulu Luak Mengadap Menjunjung Duli ini dipersetujui untuk diadakan oleh Dato’-Dato’ Penghulu Luak bermula pada zaman pemerintahan Almarhum Tuanku Muhamad ibni Almarhum Tuanku Antah (1888-1933). Pada 29 April 1898, hasil persepakatan Luak-luak Berundang, istiadat ini dipersetujui dan diputuskan untuk diadakan sekali dalam setiap tempoh tiga tahun seseorang Datuk itu memegang jawatan sebagai Penghulu Luak, atau seperti mana yang dititahkan oleh DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Istiadat ditentukan  dengan titah DYMM Yang Dipertuan Besar, yang disampaikan oleh salah seorang Putera Yang Empat kepada Anak-Anak Raja Bergelar, Dato’-Dato’ Penghulu Luak berserta Tiang Balai dan Dato’-Dato’ Lembaga Luak, di dalam satu pertemuan khas. Istiadat yang memakan masa sehingga tiga hari ini mempunyai tiga peringkat, iaitu Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran, Istiadat Bersiram dan Istiadat Mengadap. Setiap peringkat akan mengambil masa selama sehari dari mula hingga tamat aturcara istiadat.
 

1. Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran Diraja

Semasa Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran, setiap alat kebesaran diraja akan dibawa keluar, dan akan diperiksa oleh DYMM Yang Dipertuan Besar, atau Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, yang mewakili DYMM Baginda Tuanku. Alat kebesaran akan dipersembah, diperiksa, dan diperaga sambil diperhatikan oleh Penghulu-penghulu Luak yang terlibat, bersama Dato’-Dato’ Lembaga masing-masing.

 
Alat kebesaran yang selesai diperiksa akan kemudiannya dibawa oleh Pegawai 99 Istana ke perkarangan Istana Besar Seri Menanti untuk dipasang dan diperaga.

Sebaik sahaja kesemua payung kuning kebesaran dikembangakan, 3 das tembakan meriam akan dilepaskan sebagai menandakan bermula istiadat dengan rasminya. Hari pertama upacara itu selesai apabila alat kebesaran yang terdiri lapan payung kuning, lapan keris panjang, lapan pedang panjang, empat panji-panji kuning, dua panji-panji merah, dua panji-panji hitam dan lapan tombak berambu selesai dipasang selama tiga hari istiadat berlangsung.
 

2. Istiadat Bersiram

Peringkat Kedua ialah Istiadat Bersiram. Seawal pagi hari kedua, DYMM Yang Dipertuan Besar bersama DYMM Tuanku Ampuan Besar akan berangkat keluar dari kamar peraduan di Istana Besar Seri Menanti untuk menaiki pedati khas yang dinamakan 'Takhta Rencana', yang akan dihela oleh Pegawai 99 Istana. Turut mengiringi ialah YAM Tunku Besar Seri Menanti  dan Putera Yang Empat, Anak Raja Bergelar, Kerabat Diraja, Dato’ Penghulu Luak, Dato’ Adat Istana, Dato’ Lembaga Luak, dan Pegawai 99 Istana yang membawa Alat Kebesaran Diraja dan Cepu Bedak Limau, dengan diiringi dengan pukulan rebana dan disambut oleh lapan das tembakan meriam di permulaan perarakan.

Di atas Takhta Rencana pula, Tuanku berdua bersemayam dengan diapit di kiri dan kanan oleh Dato’ Laksamana yang memegang Pedang Sebarau Bujang dan Dato’ Kanda Maharaja yang memegang Keris Sanawi. Datuk Mangku pula akan memegang Payung Kuning manakala Datuk Bentara Perempuan membawa Kipas Keemasan.

Perarakan yang bermula pada awal pagi itu, didahului kumpulan rebana sambil berselawat, kemudian diikuti oleh Pegawai 99 Istana yang membawa alat kebesaran diraja serta dituruti pembawa Cepu Bedak Limau oleh Dato’ Raja Penghulu bersama Datuk Menti Laksamana.

Pedati Takhta Rencana yang membawa Baginda Tuanku berdua ini akan menuju ke tempat bersiram yang dinamakan 'Panca Persada' yang terletak lebih kurang 400 meter dari Istana Besar Seri Menanti. Sesampainya Takhta Rencana di Panca Persada, DYMM Yang Dipertuan Besar bersama DYMM Tuanku Ampuan Besar akan bersemayam di atas Panca Persada. Upacara Bersiram akan dimulakan dengan Dato’ Raja Penghulu yang membawa Cepu Bedak Limau menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di atas meja di hadapan DYMM Yang Dipertuan Besar dan DYMM Tuanku Ampuan Besar.

Orang Empat Istana kemudian memulakan tujuh pusingan sambil membawa Cepu Bedak Limau, dengan mengelilingi DYMM Baginda Tuanku berdua. Selesai pusingan itu, Cepu Bedak Limau dipersembahkan kepada Baginda Tuanku berdua, dimulai oleh Dato’ Seri Amar Diraja, diikuti oleh Dato’ Raja Diwangsa, Dato’ Penghulu Dagang dan Dato’ Akhir Zaman, secara bergilir-gilir. DYMM Baginda Tuanku berdua mencelup tangan ke dalam cepu setiap kali dipersembahkan, dan menyapu air tangan ke muka masing-masing. Ianya sebagai simbolik persiraman persediaan untuk menyambut tetamu yang akan berkunjung.

Istiadat diakhiri dengan persembahan yang bersesuaian dengan Adat Istiadat Diraja. Setelah selesai Istiadat Bersiram, Baginda Tuanku berdua akan dihela semula di atas Takhta Rencana, untuk berangkat pulang ke Istana Besar Seri Menanti, dengan diiringi dengan lapan das tembakan  meriam.


3. Istiadat Mengadap Menjunjung Duli

Peringkat ketiga adalah peringkat paling penting dalam keseluruhan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap, iaitu Istiadat Mengadap dan Menjunjung Duli.

Istiadat ini dijalankan secara tertutup di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti. YM Dato’-Dato’ Penghulu Luak akan mengambil tempat masing-masing, di atas Seri Raja Di Muda, yang disediakan berhadapan tepat dengan Singgahsana. Istiadat ini akan dimulakan apabila DYMM Yang Dipertuan Besar dan DYMM Tuanku Ampuan Besar berangkat masuk ke Balairong Seri, dengan iringan irama Raja Berangkat yang dimainkan oleh Kumpulan Cak Lempong, dan disambut dengan tembakan meriam sebanyak 11 das.

Turut mengiringi keberangkatan masuk DYMM Baginda Tuanku berdua ke dalam Balairong Seri ialah Yang Amat Mulia Putera Yang Empat, iaitu YAM Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Laxamana, YAM Tunku Muda Serting dan YAM Tunku Panglima Besar. DYMM Baginda Tuanku berdua akan duduk bersemayam di atas Singgahsana, dengan diapit oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti dan YAM Tunku Muda Serting duduk di sebelah kanan. Manakala YAM Tunku Laxamana dan YAM Tunku Panglima Besar akan duduk di sebelah kiri.
 
Istiadat ini dimulakan dengan nyanyian lagu negeri ‘Berkatlah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan’. Selesai lagu kebesaran negeri, Dato' Bentara Dalam akan menyeru Dato’ Seri Amar Diraja untuk Haluan Sembah istiadat. Setelah selesai Haluan Sembah, Dato’ Seri Amar Diraja akan mengisytiharkan bahawa Istiadat Penghulu Luak Mengadap akan dizahirkan. Setelah itu, Dato’ Bentara Dalam menyeru YB Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, untuk bacaan doa.

Usai bacaan doa, Dato’ Bentara Dalam kemudiannya menyeru dan memanggil mengadap bagi menjunjung duli dan lafaz taat setia  YM Dato’-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung, dengan dimulai oleh Penghulu Luak paling kanan iaitu YM Dato’ Bendahara Setia Maharaja Lela Pahlawan, Penghulu Luak Ulu Muar bersama Dato’ Lembaganya. Ia akan dituruti dengan YM Dato’ Lela Putra Setiawan, Penghulu Luak Jempol; YM Dato’ Anjah Pahlawan, Penghulu Luak Terachi; YM Dato’ Orang Kaya Mempasir Setiawan, Penghulu Luak Gunung Pasir; dan akhir sekali ialah YM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh, Penghulu Luak Inas, bersama dengan Dato’-Dato Lembaga Luak masing-masing.
 
Di dalam istiadat ini, YM Penghulu Luak yang diseru akan melaungkan ‘Daulat Tuanku’ dan akan tampil ke hadapan Baginda, dari bawah Singgahsana. YM Penghulu Luak akan memulakan tatacara 'Langkah Tujuh', melalui tujuh anak tangga Singgahsana.

Setiap Penghulu Luak akan bersimpuh, kemudian merangkak tiga kali untuk kemudiannya kembali duduk bersimpuh di hadapan DYMM Baginda Tuanku, dibuat di setiap mata tangga dalam tujuh ulangan setiap satunya. Setiap kalinya, Penghulu Luak dan Dato’-Dato Lembaga mereka akan mengangkat tangan menyembah sekali kepada DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, di hadapannya. Tangan untuk menyembah akan digilirkan dari sisi kanan dan kiri sebelum dirapatkan pada batang hidung pada setiap kali angkat sembah dilakukan.

Sembah terakhir akan diakhiri dengan ungkapan ‘Menjunjung kasih Tuanku’. Kemudian, Penghulu Luak akan kembali tunduk dan mencium belakang tangan Baginda Tuanku sebagai tanda kasih dan taat setia Penghulu Luak serta seluruh isi Luaknya di atas kekuasaan DYMM Baginda Tuanku. Perbuatan mencium dan mengangkat sembah terakhir ini akan dibuat sebanyak tiga kali ulangan setiap satunya. Usai mencium belakang tangan Baginda Tuanku, Penghulu Luak akan merangkak menuruni anak tangga Singgahsana, dengan cara yang sama seperti mana ketika mereka menaiki anak tangga Singgahsana sebelumnya.

Setelah sampai di bawah Singgahsana, Penghulu Luak akan duduk bersila dan mengangkat sembah sebanyak tiga kali. Selepas itu, Penghulu Luak akan melafazkan ikrar taat setia bagi mewakili Dato’-Dato’ Lembaga Luak dan seluruh isi Luak. Lafaz ikrar taat setia bagi setiap Penghulu Luak adalah berbeza bagi setiap Luak Tanah Mengandung. Usai melafazkan ikrar taat setia, Penghulu Luak dan Lembaga masing-masing akan mengangkat sembah sebanyak tiga kali dan mengundur juga dengan cara sama mereka hadir ke hadapan untuk mengadap tadi, sebelum mengakhiri upacara mengadap.
 

Setelah selesai kesemua lima orang Dato’-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung mengadap menjunjung duli dan menyembahkan ikrar taat setia, Dato’ Bentara Dalam memaklumkan bahawa DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berkenan untuk bertitah. Usai titah ucapan DYMM Baginda Tuanku, Dato’ Bentara Dalam menyembah maklum bahawa aturcara istiadat telah sempurna dijalankan. Seterusnya, Dato’ Bentara Dalam menyeru Dato’ Seri Amar Diraja mengadap untuk menutup istiadat. Setelah selesai Dato’ Seri Amar Diraja menyembahkan kepada DYMM Baginda Tuanku untuk menutup istiadat, Dato’ Seri Amar Diraja kemudiannya mengisytiharkan bahawa istiadat tersebut telah selamat disempurnakan dan istiadat ditutup. Setelah itu, DYMM Yang Dipertuan Besar dan DYMM Tuanku Ampuan Besar, diiringi oleh YAM Putera Yang Empat berangkat keluar dari Balairong Seri.

Upacara terakhir di dalam istiadat ini, iaitu kebiasaannya pada sebelah petang hari ketiga ialah Istiadat Menurun dan Meyimpan Alat Kebesaran. di mana setiap alat kebesaran diraja yang dipasang pada hari pertama akan diturunkan untuk disimpan semula. Apabila kuncupnya payung kuning kebesaran, bermakna tamatlah sudah Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli. Istiadat Menyimpan Alat Kebesaran ini disaksikan oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti dan tiga das tembakan meriam akan dilepaskan, sebagai pelengkap istiadat.

Kali terakhir istiadat ini diadakan secara rutin tiga tahun sekali ialah ketika zaman pemerintahan Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (1967-2008). Ketika pemerintahan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli pertama kali diadakan di dalam tahun 2009, bersempena dengan Istiadat Pertabalan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.

Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli ini kemudiannya diadakan pada tahun 2014, bermula pada 16 Mei 2014 sehingga 18 Mei 2014. Kemudiannya pada tahun 2019, istiadat ini diadakan pada 15 November 2019 sehingga 17 November 2019. Pada tahun 2023, istiadat ini diadakan pada 17 November 2023 sehingga 19 November 2023.

Pada Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli Tahun 2023, Yang Amat Mulia Tunku Muda Serting, Tunku Imran ibni Almarhum Tuanku Jaafar tidak dapat berangkat hadir ke Istiadat tersebut, Penyandang-penyandang lain bagi gelaran Putera Yang Empat pada masa kini ialah Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhaudin ibni Tuanku Muhriz; Yang Amat Mulia Tunku Laxamana, Tunku Naqiuddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar; dan Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar, Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar.

Sabtu, 18 November 2023

TAKHTA RENCANA

Takhta Rencana merupakan kenderaan yang digunakan di dalam adat istiadat yang melibatkan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Kenderaan ini digunakan di dalam Istiadat Pertabalan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Takhta Rencana juga digunakan ketika Istiadat Bersiram sewaktu Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli. Selain itu, Takhta Rencana juga digunakan ketika Istiadat Kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Di dalam Istiadat Bersiram, DYMM Yang Dipertuan Besar dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan akan bersemayam di atas Takhta Rencana dan akan diarak dari Istana Besar Seri Menanti sehingga ke Panca Persada, yang terletak 400 meter dari Istana Besar Seri Menanti. Takhta Rencana ini akan dihela oleh Pegawai 99 Istana. Perarakan Tahta Rencana akan diiringi oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti  dan Putera Yang Empat, YAM Anak Raja Bergelar, Kerabat Diraja, Dato’ Penghulu Luak, Dato’ Adat Istana, Dato’ Lembaga Luak, dan Pegawai 99 Istana yang membawa Alat Kebesaran Diraja dan Cepu Bedak Limau, dengan diiringi dengan pukulan rebana dan lapan das tembakan meriam.

Takhta Rencana ini terdiri daripada 60% kayu dan 40% besi, dan terhasil sepenuhnya dengan buatan tangan daripada tukang yang mahir. Asas binaannya diperbuat daripada kayu dengan sokongan 4 buah tayar dan gandar bagi menampung keseluruhan berat Takhta Rencana tersebut.

Ia mula digunakan sewaktu Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad Shah, di dalam tahun 1933. Takhta Rencana telah mendapat pengiktirafan sebagai Warisan oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2015, di bawah Objek Ketara.

Ahad, 29 Oktober 2023

MAJLIS DAERAH PEKAN DIMASYHURKAN SEBAGAI MAJLIS PERBANDARAN PEKAN

Majlis Daerah Pekan (MDP) kini telah pun dinaiktaraf dan dimasyhurkan sebagai Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja (MPP). Majlis Pemasyhuran Majlis Perbandaran Pekan telah berlangsung pada 21 Oktober 2023, di Perkarangan Pejabat Majlis Perbandaran Pekan.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja, serta Perasmian Bangunan Majlis Perbandaran Pekan. Turut berangkat ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, serta Yang Amat Mulia Paduka-Paduka Anakanda.
 

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Nga Kor Ming; dan barisan pentadbiran Kerajaan negeri Pahang.
 

Sejarah Pekan dikatakan telah wujud sejak abad ke-17. Sebelum ia menjadi sebuah daerah pada tahun 1889. Pekan kemudiannya menjadi ibu negeri Pahang, dari tahun 1889 hingga 1898. Ibu Negeri Pahang kemudiannya bertukar ke Kuala Lipis di dalam tahun 1898 dan Kuantan pada tahun 1957.
 

Sejarah Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja dikatakan bermula pada tahun 1924, di mana Majlis Bandar Pekan telah ditubuhkan. Pada 1 November 1968, Lembaga Bandaran Pekan (Town Board) telah ditubuhkan,bagi menggantikan Majlis Bandar Pekan.
 

Selepas itu, pada 1 Julai 1988, Lembaga Bandaran Pekan telah dinaiktarafkan menjadi Majlis Daerah Pekan (MDP). Encik Hashim bin Abdul Wahab merupakan Yang Dipertua MDP yang pertama. Perisytiharan secara rasmi Majlis Daerah Pekan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (ketika itu), pada 3 November 1990. Keluasan kawasan MDP adalah kawasan pentadbiran MDP, telah diperluaskan melalui warta no. PW 3542 dengan kawasan keseluruhannya ialah 2351.8KM persegi.
 

Kini setelah 35 tahun berlalu, pada 30 Julai 2023 yang juga merupakan tarikh hari keputeraan ke-64 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah, akhirnya Majlis Daerah Pekan telah diwartakan sebagai Majlis Perbandaran Pekan.





Sabtu, 28 Oktober 2023

3 PADUKA ANAKANDA AL-SULTAN ABDULLAH DIPAKAIKAN PANGKAT TENTERA DARAT

Tiga orang putera kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, telah dipakaikan pangkat Tentera Darat Diraja Malaysia, di dalam suatu majlis yang berlangsung di Istana Negara, pada petang 27 Oktober 2023.
 

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan untuk berangkat dan seterusnya berkenan menyempurnakan sendiri Majlis Pemakaian Pangkat kepada Paduka-Paduka Anakanda Baginda berdua.
 

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nassser Ibrahim Shah telah dipakaikan pangkat Brigedier Jeneral Komander Rejimen 505 Askar Wataniah.
 

Manakala, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dipakaikan pangkat Leftenan Muda dan ditempatkan sebagai Ketua Platun di Rejimen 505 Askar Wataniah.
 

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah pula dipakaikan pangkat Leftenan Muda, dan ditempatkan di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja. YAM Tengku Panglima Perang sebelum ini telah ditauliahkan sebagai Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia, pada 7 Jun 2022. YAM Tengku kemudiannya menghadiri Commissioning Course di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, bermula 22 Ogos 2022 sehingga 18 Ogos 2023.
 

Turut berangkat ke Majlis Pemakaian Pangkat ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan juga turut hadir pada majlis tersebut.




(Kredit foto: Istana Negara)

Jumaat, 27 Oktober 2023

SULTAN JOHOR DIPILIH YANG DIPERTUAN AGONG KE-17

KENYATAAN YANG DIKELUARKAN OLEH PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA BERKENAAN DENGAN PEMILIHAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII DAN TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG

 

Menjunjung titah, saya memaklumkan bahawa Majlis Raja-raja dalam Mesyuaratnya Yang Ke-263 (Khas), diadakan di lstana Negara, pada hari Jumaat, 27 Oktober 2023 telah bersetuju mengisytiharkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan lbrahim, Sultan Johor Darul Ta'zim telah dipilih menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVll, selama tempoh lima (5) tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.

 
2. Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama tempoh lima (5) tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.
 
3. Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang berlangsung hari ini, telah dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulla Sultan Terengganu Darul lman dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja kecuali Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan.
 
4. Menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-raja ini telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen. YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan.
 

Yang menjunjung titah,

Tan Sri Syed Danial

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
Kuala Lumpur

27 Oktober 2023 / 11 Rabiulakhir 1445






Sabtu, 21 Oktober 2023

PEMANGKU RAJA PAHANG DIMASYHURKAN SEBAGAI PRO-CANSELOR UMPSA


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang,Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mengurniakan Warkah Pemasyhuran Pro-Canselor UMPSA kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, di dalam Istiadat Konvokesyen ke-18 UMPSA. Istiadat Pemasyhuran ini berlangsung di Kompleks Suka UMPSA Kampus Gambang, pada 21 Oktober 2023.
 

Pada Istiadat Konvokesyen pada hari yang sama, turut diadakan ialah Istiadat Pemasyhuran Nama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah berkenan agar namaSeri Paduka Baginda diabadikan pada universiti ini, yang sebelum ini dikenali dengan nama Universiti Malaysia Pahang.
 

Turut mengiringi keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke istiadat ini ialah paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku  Panglima Raja, Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh barisan pengurusan tertinggi UMPSA.
 

Istiadat konvokesyen kali ini akan berlangsung pada 21 hingga 24 Oktober 2023, yang akan melibatkan seramai 4854 orang graduan. Ia meliputi 70 penerima anugerah Ijazah Doktor Falsafah, 161 penerima Ijazah Sarjana, 2181 penerima Ijazah Sarjana Muda, 34 penerima Ijazah berkembar dan 91 menerima Diploma. Turut menerima ialah 1447 orang graduan program Pembelajaran Sepanjang Hayat UMP Advanced.
 

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah mula ditubuhkan pada 16 Februari 2002. Ketika itu dikenali dengan nama Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM). Sebelum itu, di dalam tahun 1999, ia bermula dengan Universiti Teknologi Malaysia Kampus Cawangan Pahang (UTM-KCP), yang beroperasi di sebuah kampus yang terletak di Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Penubuhan universiti ini adalah hasil daripada cetusan idea Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, yang  ketika itu merupakan Menteri Pendidikan Malaysia.


Pada 1 Februari 2007, Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia ditukarkan namanya kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP). Universiti Malaysia Pahang kemudiannya telah ditukar namanya kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), pada 30 Julai 2023 yang juga merupakan Hari Keputeraan ke-64 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah.