"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Sabtu, 25 Jun 2022

SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SHAH I MANGKAT DIPERCAYAI AKIBAT DIRACUN

Sultan Alauddin Riayat Shah ibni Almarhum Sultan Mansur Shah merupakan Sultan Melaka yang ketujuh. Baginda menaiki tahta selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Mansur Shah ibni Almarhum Sultan Muzaffar Shah, di dalam tahun 1477. Nama sebenar Baginda ialah Raja Hussain.
 
Dalam Sejarah Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah I dianggap sebagai Sultan Melaka yang paling cemerlang, sama ada dari segi pemerintahan, menjaga keamanan negeri dan membuat bakti kepada rakyat. Sepanjang pemerintahan Baginda sebagai Sultan Melaka ketujuh, dari tahun 1477 hingga 1488, Sultan Alauddin Riayat Shah I telah menjadikan negeri Melaka maju dan Makmur.
 
Baginda dan penasihat baginda, Hang Isap sering menyamar sebagai rakyat biasa dan meronda di Kota Melaka, pada waktu malam. Ini kerana dikatakan telah berlaku banyak kecurian di kalangan rakyat di negeri Melaka. Baginda yang diringi Hang Isap dan Hang Siak telah berjaya menangkap pencuri tersebut dan kesemua pencuri tersebut telah dihukum bunuh.
 

Bagaimanapun, kebaikan dan kebijaksanaan Sultan Alauddin Riayat Shah I telah menimbulkan rasa iri hati dan dengki, sehingga menyebabkan Baginda dikhianati oleh pembesar Baginda sendiri. Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang ada mencatatkan perihal itu.
 
Baginda telah meninggalkan Melaka pada penghujung tahun-tahun 1480-an, kerana telah kedengaran wujudnya satu komplot besar untuk menjatuhkan Baginda. Baginda mangkat di dalam tahun 1488, pada usia kira-kira 30 tahun.
 
Baginda dipercayai mangkat akibat diracun oleh pembesar baginda sendiri, yang dikatakan datang menziarahi baginda seminggu sebelum Baginda mangkat. Jenazah Sultan Alauddin Riayat Shah I dimakamkan di Kampung Raja, Pagoh, Muar, Johor.