"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Jumaat, 22 Februari 2019

TENGKU MUDA PAHANG DILANTIK PENGERUSI JUMAAH PEMANGKU RAJA PAHANG

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan melantik Ahli-ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang di dalam Majlis Pengurniaan Suratcara Pelantikan yang diadakan di Bilik Mengadap Besar, Istana Abu Bakar. Pekan pada 22 Februari 2019.

Ahli-ahli Jumaah Pemangku Raja akan menjalankan tugas-tugas KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah, yang kini sedang belajar di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom sehingga 15 Disember 2019.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah sebagai Pengerusi Jumaah Pemangku Raja Pahang bermula 15 Februari 2019 sehingga 15 Disember 2019.

Pelantikan ini diadakan mengikut Fasal 1(a), Perkara 18 (Bahagian Pertama) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, iaitu ‘Jika sekiranya Raja Pemerintah dipilih memegang jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka Raja Pemerintah boleh melantik Pemangku Raja atau Jumaah Pemangku Raja bagi menunaikan tugas-tugas diraja sehingga sampai masanya baginda berhenti menjalankan tugas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong’.

Sementara itu, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam ibni Sultan Haji Ahmad Shah pula dilantik menjadi Ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang bagi tempoh 15 Februari 2019 sehingga 15 Julai 2019.

Lima lagi Ahli Jumaah Pemangku Raja yang dilantik akan menjalankan tugas secara bergilir-gilir, mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Mereka ialah YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajah Meriam binti Sultan Haji Ahmad Shah (15 Februari hingga 15 April 2019); YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Puan Sri Hajah Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah (16 April hingga 16 Jun 2019); YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Hajah Aishah binti Sultan Haji Ahmad Shah (17 Jun hingga 17 Ogos 2019); YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Hajah Nong Fatimah binti Sultan Haji Ahmad Shah (18 Ogos hingga 18 Oktober 2019); dan YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang, Tengku Hajah Shahariah binti Sultan Haji Ahmad Shah (18 Oktober hingga 15 Disember 2019).