Tidak
lama selepas berakhirnya Persidangan Raja-Raja Empat Buah Negeri Bersekutu, di
Pekan di dalam tahun 1932, Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah telah jatuh
gering. Sebagai raja yang berpegang kuat kepada adat memakai dukun dan pawang,
beberapa orang dukun dan pawang telah dipanggil dari seluruh negeri dan juga
dari luar untuk mengubati kegeringan yang dikatakan oleh pawang-pawang itu
sebagai 'gering raja'. Tetapi semua ikhtiar itu kecewa, tidak mendatangkan
sembuh. Doktor-doktor kerajaan daripada Kuala Lumpur yang telah datang
memeriksa kegeringan baginda itu telah mendapati yang baginda menghidap penyakit
kencing manis.
Kegeringan
baginda itu telah menjadikan suatu senario yang luar biasa, di mana
beratus-ratus dan adakalanya sehingga beribu-ribu hamba rakyat telah hadir
berjaga-jaga di dalam kota istana pada setiap malam, menunjukkan tanda kasih
kepada Raja mereka. Manakala, putera puteri baginda dan sekalian saudara
baginda penuh berhimpun di dalam istana.
Sultan Perak, Sultan Iskandar Shah yang merupakan adinda ipar dan juga besan baginda, yang ketika itu bersemayam di Pekan yang menyaksikan peristiwa itu telah memuji
akan perasaan taat dan kasih rakyat negeri Pahang kepada Rajanya. Sultan
Iskandar Shah bertitah mengatakan yang baginda tidak akan dapati keadaan
seumpama itu di negeri Perak. Sultan Iskandar Shah telah berangkat pulang ke
Perak, beberapa hari sebelum Sultan Abdullah mangkat.
Kegeringan
Sultan Abdullah semakin berat dan pada hari Rabu, 22 Jun 1932, jam 8.25 malam,
Sultan Abdullah menghembuskan nafas yang terakhir di hadapan sekalian putera
puteri, saudara mara dan Orang-orang Besar Negeri, di Istana Terentang, Pekan.
Jenazah
baginda dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Baginda
digantikan oleh putera baginda, Tengku Mahkota Abu Bakar.