"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 10 Februari 2019

PERISTIWA DATO’ UNDANG JELEBU MENYURUH PEGAWAI INGGERIS MENGIKAT TALI KASUTNYA

Dalam satu mesyuarat di Kediaman Pegawai Daerah Jelebu di dalam tahun 1920-an, Undang Luak Jelebu ke-12, Dato’ Abdullah bin Panglima Muda telah ditegur kerana tali kasutnya tidak diikat dengan betul.

Pegawai Kanan Inggeris yang menegur Dato’ Abdullah itu ialah Andrew Caldecott, yang berkhidmat di Seremban. Menurut ceritanya, Dato’ Abdullah naik berang dan menyergah orang putih itu, “ Kalau begitu, awak sahajalah ikatkan tali kasut kawan”, sambil Dato’ Abdullah menudingkan jari ke arah kasutnya.

Caldecott tergamam dan gementar. Tanpa berlengah lagi, beliau menundukkan badan untuk mengikat tali kasut Dato’ Abdullah. Semua yang hadir termasuk Pegawai Daerah tidak dapat berkata apa-apa. Semenjak kejadian itu, Dato’ Abdullah sentiasa dihormati. Semua orang berhati-hati apabila hendak berkata-kata dengan Dato’ Abdullah.


Beberapa tahun selepas kejadian itu, iaitu di dalam tahun 1931, Andrew Caldecott telah dilantik menjadi Ketua Setiausaha Tanah Melayu. Barangkali sehingga ke akhir hayat beliau, Caldecott pasti tidak akan dapat melupakan  kejadian yang dialaminya itu.

Dato’ Undang Abdullah telah meninggal dunia di Kampun Jelin, Kuala Klawang pada 10 Ogos 1945, ketika berusia 74 tahun.