"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Rabu, 8 April 2015

TUN MAHATHIR MUNGKIN PERDANA MENTERI 6 TAHUN SAHAJA, JIKA TIADA DATO' SERI NAJIB

OFF TOPIC : DARI SEJARAH KE POLITIK

Ramai yang tidak mengetahui bahawa Dato’ Seri Najib telah membantu Tun Mahathir untuk mengekalkan kedudukan sebagai Presiden UMNO pada 1987. Pada 24 April 1987, Tun Mahathir telah dicabar sebagai Presiden UMNO buat pertama kalinya, selepas dipilih selama 12 tahun dalam pelbagai jawatan di dalam UMNO secara  tanpa bertanding.

Ianya sesuatu yang mencabar buat Tun Mahathir. Ini kerana pencabarnya pada waktu itu adalah Tengku Razaleigh Hamzah (bekas Menteri Kewangan), Tun Musa Hitam (Timbalan Perdana Menteri) dan Datuk Suhaimi Kamaruddin (bekas Ketua Pemuda UMNO dan Presiden Belia 4B). Pada waktu itu Dato’ Seri Najib adalah Pemangku Ketua Pemuda UMNO, apabila Anwar Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda untuk bertanding Naib Presiden UMNO.

Tun Mahathir hanya menang majoriti 43 undi sahaja. Tun Mahathir mendapat 761 undi, berbanding Tengku Razaleigh yang mendapat 718 undi. Daripada mana majoriti 43 undi itu datang? Menurut sumber orang-orang lama, undi itu datangnya daripada Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Dato’ Seri Najib pada waktu itu.

Ini bermakna, jika tidak mendapat pertolongan 43 undi tersebut, sudah tentu karier politik Mahathir sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri akan bertahan selama 6 tahun sahaja (1981–1987). UMNO berada dalam krisis yang cukup meruncing ketika Tun Mahathir menjadi Presiden.

Kini Dato’ Seri Najib sudah 6 tahun menjadi Perdana Menteri (04 April 2009 – 04 April 2015). Keadaan UMNO tidak seperti pada tahun 1987. Bandingkan situasi yang sama ketika 6 tahun Tun Mahathir menjadi Presiden UMNO. Apakah Tun Mahathir sudah lupa pertolongan Dato’ Seri Najib terhadap beliau pada 1987?

Rakyat Malaysia perlu bijak menilai teguran Tun Mahathir ini. Ada yang sudah dijawab berkali-kali pun dalam media. Tun Mahathir pun tahu perkara ini. Namun mengapa beliau sengaja buat begitu?

Dalam hal ini, perlulah kita berbalik pada pesanan Nabi Muhammad S.A.W. dan perintah Allah S.W.T. agar kita tidak terpesong dengan emosi dan terikut-ikut dengan perasaan. Antara pemimpin dan seorang negarawan. Antara menjaga negara dan mengekalkan perpaduan, atau sayang pada negarawan dan cetuskan spekulasi. Yang penting adalah mentaati pemimpin dan menjaga keadaan semasa, agar menjadi tenteram dan tiada huru hara.

Pada 12 Julai 1969, Tun Mahathir yang ketika itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO telah dipecat keahliannya, kerana menulis surat secara terbuka mengkritik cara pentadbiran Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, dan meminta supaya Tunku Abdul Rahman Putra meletak jawatan.

Siapa yang membawa semula Tun Mahathir ke dalam UMNO, sehingga beliau naik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling lama?

Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Haji Abdul Razak Dato’ Hussein, iaitu ayahanda kepada Dato’ Seri Najib yang membawa semula Tun Mahathir dalam UMNO pada 7 Mac 1972. Tun Mahathir terus dilantik sebagai Senator pada 1973. Kemudian menang tanpa bertanding sebagai Ahli Parlimen Kubang Pasu pada 1974.

Daripada bukan ahli UMNO pada 1972, Tun Mahathir terus melompat naik dan menang salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden UMNO pada 1975, dalam masa 3 tahun sahaja. Sesuatu yang sukar berlaku pada zaman sekarang, seorang ahli UMNO biasa boleh buat ‘fast come back’ dan menduduki kerusi Naib Presiden UMNO.

Diangkat dan dibawa naik oleh Tun Abdul Razak, ayahanda Dato’ Seri Najib dan kemudiannya setelah Tun Abdul Razak meninggal dunia di London dalam tahun 1976, diangkat pula oleh Tun Hussein Onn menjadi orang nombor dua, Timbalan Perdana Menteri. Semuanya berlaku dalam tempoh masa 4 tahun sahaja.

Pada pertengahan tahun 1981, Tun Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Tun Mahathir sebagai penggantinya. Pada 10 Julai 1981, Tun Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat, sehingga 31 Oktober 2003; iaitu selama 22 tahun.

Daripada bukan ahli UMNO, kemudiannya dibawa masuk dan diangkat oleh ayahanda Dato’ Seri Najib, sehinggalah menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat selama 22 tahun. Semuanya berlaku dalam tempoh masa 9 tahun sahaja.

Bertuahlah Tun Mahathir, kerana diangkat dan dibawa naik dengan begitu cepat. Belum tentu keistimewaan yang sama boleh didapati oleh mana-mana pemimpin UMNO pada hari ini.