"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 5 April 2015

TENGKU ALI, PUTERA HARAPAN SULTAN AHMAD AL-MU’AZZAM SHAH


Sultan Pahang pertama, Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah mempunyai seramai 12 orang putera dan puteri hasil dari 5 perkahwinan baginda. Di antara putera-putera baginda yang tua, Tengku Ali merupakan putera kesayangan yang menjadi harapan Sultan Ahmad.

Menurut cerita orang-orang tua di Pekan, sejak dari kecil lagi Sultan Ahmad sudah melihat tanda-tanda keistimewaan yang terdapat pada diri putera kesayangan baginda itu. Selain tingkah laku dan budi bahasa yang baik, Tengku Ali sangat taat dan memahami kehendak ayahandanya itu.

Ada cerita yang mengatakan Tengku Ali menjadi pilihan Sultan Ahmad sebagai pangganti, tetapi tidak dapat melakukannya kerana Tengku Ali bukanlah putera yang sulung. Sebelum Almarhum Sultan Ahmad mangkat dalam tahun 1914, baginda telah melantik Tengku Ali sebagai Tengku Muda Pahang, iaitu pewaris kedua Sultan Pahang.


Tengku Muda Ali telah mangkat pada 19 Julai 1915, di Istana Pantai, Pekan Lama sewaktu berusia 43 tahun. Jenazah Almarhum telah disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang.