"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Jumaat, 19 November 2010

SEJARAH KESULTANAN PAHANG DARI KESULTANAN MELAKA


Negeri Pahang merupakan sebuah negeri terbesar di Semenanjung Tanah Melayu. Kemasyuran dan kehebatan namanya itu pada masa dahulu, menjadi rebutan kerajaan sekeliling. Menurut kajian oleh ahli-ahli sejarah, terdapat banyak bekas-bekas lama yang membuktikan kepandaian orang yang telah membuka negeri ini. Pada zaman dahulu, pemerintah Pahang pernah mengadakan hubungan dan menghantar ufti bunga emas ke Negara China.

Menurut riwayat tua, pemerintahan negeri ini dijalankan dengan cara pemerintahan beraja. Keturunan Raja-Raja Melaka adalah yang paling lama berkuasa di Pahang iaitu selama lebih 200 tahun bermula daripada Sultan Muhammad Shah (1469-1475) hingga kepada Sultan Mahmud Shah yang termasyur di dalam sejarah 'Marhum Mangkat Dijulang' pada tahun 1699.

Sebagaimana yang terkandung dalam sejarah Pahang iaitu dalam tahun 1454, Mansur Syah, putera kepada Sultan Muzaffar Melaka telah menghantar satu pasukan perang diketuai oleh Bendahara Paduka Raja melanggar Pahang. Maharaja Dewa Sura, pemerintah Siam di Pura (Pekan) melarikan diri ke Ulu Pahang. Ia ditawan oleh Seri Bija Diraja di sebuah jeram yang dikenali sekarang dengan nama Jeram Koi, Ulu Tembeling.

“Maka datang sekarang ini jeram itu dinamai orang Jeram Kwai. Maka segala orang Melaka pun datang, maka Maharaja Dewa Sura pun tiada sempat lari berperahu. Maka oleh Seri Bija Diraja disuruh orang naik mengepung Maharaja Dewa Sura itu. Maka Maharaja Dewa Sura pun ditangkap orang, dibawa kepada Seri Bija Diraja."

Maharaja Dewa Sura danPuterinya Wanang Seri dibawa ke Melaka. Puteri Wanang Seri di Islamkan dan diberi nama Puteri Lela Wangsa yang kemudiannya dikahwinkan dengan Sultan Mansur Syah. Mereka mendapat dua orang putera, Raja Ahmad dan Raja Muhammad.

Pada suatu hari, sedang beberapa orang pemuda bermain sepak raga, Raja Muhammad yang berumur lebih kurang 15 tahun sedang menunggang kuda dikawasan berhampiran. Bola sepak raga yang disepak Tun Besar, anak kepada Bendahara, telah jatuh ke atas destar Raja Muhammad. Tanpa usul periksa, Raja Muahammad terus menghunus kerisnya, lalu membunuh Tun Besar.

Sultan Mansur Syah amat murka di atas apa yang telah dilakukan oleh putera baginda. Atas sebab itu, baginda telah menghantar Raja Muhammad sebagai Raja di Pahang. Raja Muhammad ditabal sebagai Sultan Muhammad lebih kurang dalam tahun 1470 dan mangkat pada tahun 1475.

Setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah, maka berakhirnya pemerintahan raja Melaka. Kemudian, Pahang diperintah pula oleh Sultan dari Kerajaan Johor- Riau pada tahun 1615 dengan perlantikan Raja Bujang sebagai Sultan Johor Pahang di bawah penguasaan Acheh. Tahun 1641, penguasaan Acheh atas Pahang berakhir setelah Sultan Iskandar Thani mangkat.