"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 25 Oktober 2010

PAKAIAN & ADAB DALAM MAJLIS

  1. Pakailah pakaian yang bersih dan betul mengikut yang diterangkan dalam jemputan. Yang tidak mematuhi peraturan pakaian mungkin tidak akan dibenarkan masuk ke dalam majlis.
  2. Jika pakaian majlis adalah pakaian kebangsaan bersongkok, maka songkok yang sesuai adalah dari baldu hitam atau biru gelap tanpa corak. Songkok hendaklah dipakai tegak, tidak senget ke kiri, ke kanan, ke hadapan atau ke belakang hingga nampak gigi rambut atau bertenggek kerana terlalu kecil atau bolos kerana terlalu besar.
  3. Sampin hendaklah sederhana labuh kira-kira di paras lutut. Lengan baju dilabuhkan dan tidak tersinsing. Demikian juga seluar yang mengheret ke tanah mahupun tersinsing. Baju dan seluar hendaklah sepasang sama jenis kainnya dan berkasut.
  4. Wanita Melayu, pakaian rasmi Melayu adalah baju kurung atau kebaya labuh, atau baju kurung fesyen yang memenuhi peraturan jemputan, dan tidak terdedah kerana terbuka (termasuk di bahu, belakang atau perut) atau kerana jenis kain yang jarang. Butang leher hendaklah dilekatkan. Seluar tidak dibenarkan. Hendaklah berkasut (bukan sandal atau selipar yang terbuka di belakang), berselendang sama ada diletak di bahu atau bertudung (mini telekong).
  5. Jangan meninggalkan tempat duduk, bercakap-cakap, bersila panggung, kaki diatas kaki, batuk-batuk, ketawa atau berdehem dengan sengaja. Semasa duduk dan berdiri perlu rapatkan kaki. Jangan menggoyang-goyangkan kaki. Semasa berdiri tempatkan tangan ditepi dan jangan digoyang-goyangkan.
  6. Jangan memakai cermin mata hitam dan melengak ke atas kerana ia di anggap kurang manis. Jangan memakai emas perhiasan berlebihan bagi laki-laki dan juga perempuan.
  7. Jangan merokok. Elak ketawa dengan kuat atau bising atau tidur.
  8. Gunakan perkataan yang baik bila perlu bercakap dan tidak terlalu kuat, (Contoh: Sebutan “awak”, “aku”, “kawan” sebagai gantinama tidak sesuai diucapkan, juga dianggap bukan bahasa majlis di Negeri Pahang.)
  9. Menjaga kebersihan diri, rambut, muka (termasuk misai, janggut dan jambang diharapkan  dicukur licin atau dikawal kerapian), pakaian, bau badan dan mulut tanpa wangian yang berlebihan. Makanlah sedikit sebelum menghadiri majlis supaya tidak ketara bau mulut, Sebaik-baiknya, pakai bau-bauan atau pewangi atau penahan peluh di celah lengan supaya bau badan terkawal semasa berpeluh.
  10. Berjalan dengan tegak dan tenang, tidak terburu-buru dan memandang ke kiri dan kanan.
  11. Adab dalam jamuan. Di samping menyebut Bismillah (bagi beragama Islam), jagalah adab makan yang baik, termasuk menggunakan pisau di tangan kanan dan garpu di tangan kiri atau sudu di kanan dan garpu di kiri (jika berkaitan). Jika pisau dan garpu turut dibekalkan, hanya sudu yang masuk ke mulut dan tidak garpu. Jangan mengambil lauk dengan sudu makan sendiri, gunakan sudu dalam pinggan atau mangkuk lauk.
  12. Jangan makan dengan bising, mengunyah dengan mulut terbuka atau bercakap dengan kuat atau ketawa terbahak atau terbelahak atau tersedak kuat. Berhati-hatilah.
  13. Letakkan napkin di atas riba dan letakkan semula di kiri pinggan dengan berlipat sesudah makan.
  14. Mulalah makan bersama-sama dan berhentilah makan apabila orang lain sudah selesai makan.
  15. Jangan mencungkil gigi di hadapan majlis. Kalau ada sesuatu dalam mulut yang perlu dikeluarkan, keluarkan dengan ditutup dengan napkin.
  16. Bagi majlis makan beradat ada peraturan-peraturan tertentu.