Pengalaman kehilangan putera bakal pewaris takhta pemerintahan menyebabkan DYMM Sultan dan DYMM Tengku Ampuan merasa teramat sedih lalu bernazar, sekiranya dikurnia lagi oleh Allah s.w.t putera, Baginda akan mengurniakannya kepada DYMM Sultan Perak, Paduka Sri Sultan Sir Alang Iskandar Shah II al-Kaddasullah ibni al-Marhum Sultan Sir Idris Murshid al-Azzam Rahmatullah Shah, paduka ayahanda Tengku Ampuan untuk dijadikan cucuanda angkat.
Nazar Baginda itu pun ditunaikan sebaik sahaja DYMM Tengku Ampuan melahirkan seorang putera yang dikurniakan nama Tengku Ahmad Shah. Tinggalah Tengku Ahmad Shah bersemayam di Kuala Kangsar, Perak. Semasa meningkat umur 10 tahun, Baginda memulakan persekolahannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah Clifford. Ketika berumur 12 tahun barulah Baginda dibawa pulang ke Pahang.
Selepas pemerintahan Jepun, Baginda menyambung persekolahannya di Sekolah Clifford, Kuala Lipis. Di Sekolah Clifford beliau tinggal di asrama, sama seperti murid-murid biasa. Baginda sendiri tidak mahu dilayan sebagai putera raja, sebaliknya Baginda lebih banyak bergaul dengan pelajar-pelajar dari kalangan rakyat biasa. Di sinilah bakat kepimpinan dan kesukanan Baginda mula dipupuk yang akhirnya bercambah dengan suburnya menjadi darah daging dalam kehidupan Baginda.
Pada 25 Mei 1944, Baginda dimasyhurkan menjadi Tengku Mahkota Pahang. Tidak berapa lama kemudian, Baginda dihantar semula untuk menyambung pelajaran di sekolah lama Baginda iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar.
Pada tahun 1948 atas kehendak ayahanda dan bonda, Baginda dihantar ke England, menaiki kapal laut yang bernama Andre Lebon. Pelayaran yang memakan masa selama 25 hari itu mengajar Baginda untuk pertama kalinya berjauhan dengan kaum keluarga dan kampung halaman. Baginda telah bersekolah di sekolah persendiran di Sussex sebelum memasuki Worcester College, Oxford untuk mengikuti Kursus Pentadbiran Awam. Setelah selesai pengajian di Oxford, Baginda melanjutkan pula pelajaran di University College of South West England, Exeter, Devon. Kali ini Baginda mengikuti kuliah dalam bidang Kerajaan Tempatan dan menjalankan praktikum di Urban District Council Sidmouth, Devon.
Perkahwinan Baginda dengan Yang Teramat Mulia Tengku Afzan binti Tengku Muhammad pada 24 April 1954 telah dikurniakan dua orang putera dan lima orang puteri. Putera-puteri Baginda ialah Tengku Mariam, Tengku Muhaini, Tengku Aishah, Tengku Abdullah, Tengku Abdul Rahman, Tengku Nong Fatimah dan Tengku Shahariah. Sebagai putera tertua, Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah merupakan bakal pewaris takhta Kerajaan dan bergelar Tengku Mahkota Pahang.
Kebawali Duli Yang Malia Mulia Tuanku telah dimasyhurkan sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang Darul Makmur dan jajahan takluknya pada 7 Mei 1974. Upacara pertabalan telah dijalankan kemudiannya dengan istiadat berwarna-warni dan penuh tradisi. Bandar Diraja Pekan dihiasi terang-benderang bagi memuliakan istiadat yang bersejarah dan penuh makna itu. Adat Mengaruk iaitu suatu bentuk teater terbuka yang melibatkan ratusan peserta diadakan buat pertama kali setelah ratusan tahun tidak diadakan sebagai gambaran kegembiraan hati rakyat jelata terhadap pertabalan Kebawah Duli.
Perlantikan DYMM Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ketujuh dan DYMM Tengku Ampuan Hajah Afzan sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong merupakan satu lagi detik bersejarah dalam diari kehidupan Baginda. Meskipun dengan perlantikan ini Baginda terpaksa berada di luar Negeri Pahang, aktiviti dengan rakyat jelata dan pelaksanaan program pembangunan Negeri Pahang tidak pernah hilang daripada diari Baginda.
Jodoh pertemuan dan ajal maut di tangan Tuhan. Ia telah menguji seketika kesabaran dan keimanan keluarga diraja khususnya dan rakyat jelata Pahang umumnya, dengan kemangkatan KDYMM Tengku Ampuan Hajah Afzan pada 29 Jun 1988. Takdir Ilahi ini berlaku hanya 6 hari selepas kemangkatan bonda DYMM Sultan, DYMM Tengku Ampuan Besar Fatimah.
Peristiwa ini pastinya meninggalkan kesan yang amat tragis dalam sejarah kehidupan DYMM Tuanku. Seluruh rakyat berkabung empat puluh hari di atas kemangkatan yang sangat menyayat hati ini.
Perkahwinan Baginda dengan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991 telah mengubah suasana kemasyghulan yang menyelubungi Baginda selama ini akibat kehilangan permaisuri dan bonda yang dicintai. Bagi seluruh rakyat Pahang, peristiwa ini sentiasa dipandang sebagai suatu rahmat Allah s.w.t ke atas hamba-Nya.Hasil perkahwinan Baginda dengan DYMM Sultanah Hajah Kalsom, dikurniakan seorang putera, iaitu Tengku Abdul Fahd Mu'adzam, Tengku Arif Temenggong Pahang.
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!