"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 16 Jun 2025

AL-SULTAN ABDULLAH MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT JUMAAH PANGKUAN DIRAJA NEGERI PAHANG KE-119

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali ke-119. Mesyuarat ini telah berlangsung di Hotel Grand Darulmakmur, Kuantan pada pagi Isnin 16 Jun 2025.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; serta Paduka-Paduka Kekanda dan Paduka Adinda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Tan Sri Dato' Sri Setia Hajjah Meriam binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah; Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja, Puan Sri Dato' Sri Setia Hajjah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah; dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu, Tengku Dato' Sri Setia Hajjah Shahariah binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar, Tengku Tan Sri Dato' Sri Azlan ibni Almarhum Sultan Abu Bakar; Yang Amat Mulia Tengku Seri Nila Utama, Tengku Dato' Sri Nong Soraya binti Almarhum Sultan Abu Bakar; dan Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah, serta Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang lain.

Pada mesyuarat berkenaan, Al-Sultan Abdullah bertitah menekankan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian dan antaranya ialah memperkasakan Jumaah Pangkuan Diraja, agar tidak hanya bersifat simbolik atau 'ceremony' semata-mata.

Paduka Baginda juga bertitah sedang meneliti keputusan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Jumaah Pangkuan Diraja, sebagai platform untuk memantapkan fungsi dan sumbangan Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja terhadap rakyat dan negeri. Antara bidang tugas dan tanggungjawab yang boleh dipertimbangkan termasuklah berperanan sebagai badan penasihat bebas yang menyuarakan pandangan rakyat kepada pentadbiran negeri, menyokong agenda pemuliharaan alam sekitar khususnya dalam isu kritikal serta memperkukuh jaringan sosial melalui inisiatif kebajikan dan sokongan kepada golongan kurang bernasib baik.

Titah Paduka Baginda lagi, tidak mahu melihat Ahli-ahli Jumaah Pangkuan hanya sekadar mengisi tempat duduk di dalam Balairong Seri dan dewan-dewan rasmi, tetapi sebaliknya Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja perlu menjadi pendukung dan benteng utama Negeri Pahang, yang menasihati dengan kebijaksanaan, memimpin dengan contoh dan berkhidmat dengan keikhlasan serta berintegriti. Paduka Baginda juga bertitah bahawa peranan ini bukan sahaja akan memperkukuh institusi diraja, tetapi juga memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai tempat bergantung dan suara yang didengari di dalam pentadbiran negeri.