Tengku
(Sultan) Ali ibni Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ialah Sultan Terengganu dari
tahun 1942 sehingga 1945. Baginda diturunkan dari tahta apabila British kembali
ke Tanah Melayu.
Tengku
Ali diputerakan di Istana Tepi Bukit, Kuala Terengganu pada 24 Januari 1914.
Baginda merupakan putera sulung Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan Tengku Ampuan
Mariam. Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu ke-14 pada 25
September 1942 setelah kemangkatan Ayahandanya, Sultan Sulaiman Badrul Alam
Shah.
Sultan
Ali hanya sempat bertakhta selama 2 tahun 10 bulan, sebelum diturunkan dari
takhta pada 5 November 1945. Ayahanda saudara Tengku Ali, Tengku Ismail telah
dilantik sebagai Sultan Terengganu ke-15, pada 15 Disember 1945 dan bergelar
Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Tengku
Ali telah menghabiskan sebahagian hidupnya menuntut haknya sebagai Sultan
Terengganu. Selain itu, Tengku Ali juga membuat tuntutan supaya dibayar elaun
bekas sultan dari tahun 1945, yang berjumlah RM1500 sebulan. Malangnya,
tuntutan yang mengambil masa selama beberapa tahun itu gagal, sebaliknya Tengku
Ali hanya dibayar elaun kerabat diraja sahaja.
Sejarah
malang Tengku Ali bermula pada 5 November 1945, apabila dipecat daripada
jawatan Sultan Terengganu atas alasan pelantikan baginda tidak sah kerana
dibuat dalam zaman pemerintahan Jepun (1942-1945). Sejak detik itu, baginda tidak
henti-henti menuntut hak baginda, tetapi tidak pernah berhasil.
Sehinggalah
baginda mangkat pada 17 Mei 1996 dan disemadikan di Makam Diraja Kuala
Terengganu yang terletak di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.