Ilustrasi Hang Nadim |
Laksamana
Hang Nadim adalah anak kepada Laksamana Hang Jebat yang dibesarkan oleh
Laksamana Hang Tuah. Beliau lahir melalui hasil perkahwinan Hang Jebat dan Dang
Wangi, yang juga dikenali sebagai Dang Inangsih.
Beliau
dilantik sebagai Laksamana Melaka menggantikan Laksamana Khoja Hassan, setelah
kejatuhan Kota Melaka. Beliau terlibat dalam peperangan dengan Portugis, dalam
32 kali pertempuran. Hasil perkahwinan Laksamana Hang Nadim dengan anak keempat
Hang Tuah bernama Tun Mas Jiwa, telah dikurniakan seorang anak lelaki bernama
Tun Mat Ali. Laksamana Hang Nadim berkahwin lebih dari seorang dan mempunyai
ramai anak.
Beliau
pernah mengetuai serangan sebanyak dua kali, untuk menduduki Melaka semula.
Walau bagaimanapun, serangan itu berjaya dipatahkan oleh Portugis. Laksamana
Hang Nadim telah menggunakan strategi menyekat bekalan makanan dari memasuki
Kota Melaka. Tindakan ini telah berjaya dan menyebabkan Kota Melaka mengalami
kekurangan bekalan makanan yang serius. Tekanan yang diberikan oleh Laksamana
Hang Nadim ke atas Portugis di Kota Melaka hanya terhenti apabila bantuan
ketenteraan Portugis dari Goa India tiba.
Selain
itu juga, Laksamana Hang Nadim adalah orang yang paling penting dalam menyusun
pertahanan Sultan Melaka di Kopak, Bentan. Beliau berjaya mempertahankan kubu
ini dalam jangka masa yang panjang, sehingga menimbulkan kerugian yang besar
kepada pihak Portugis, serta menjejaskan perdagangan Portugis di Melaka.
Setelah
kemangkatan Sultan Mahmud Syah Melaka di Kampar, Laksamana Hang Nadim
meneruskan khidmat baktinya di bawah pemerintahan Sultan-sultan Johor, seperti
Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Muzaffar Syah II, Sultan Abdul Jalil Syah I
dan Sultan Ali Jalla.
Walaupun
Laksamana Hang Nadim gagal menawan semula Kota Melaka sepanjang hayatnya, namun
tugas ini akhirnya berjaya dilakukan oleh Laksamana Abdul Jamil dari Johor.
Beliau akhirnya meninggal dunia dan dimakamkan di Bukit Bentan.