"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 2 Disember 2018

DATO’ ABDUL RAZAK, DATO’ SETIA SELANGOR

Dato’ Abdul Razak bin Haji Abdul Ghani adalah Dato’ Setia Selangor. Beliau dilahirkan di Singapura pada tahun 1869 dan mendapat pendidikan awal di Raffles School, Singapura. Beliau kemudiannya berpindah ke Sabak Bernam, Selangor, di mana beliau menjadi ‘Mata-Mata Laut’ (Polis Marin).

Pada ketika itu, Sultan Selangor ialah Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa. Baginda berkenan akan Dato’ Abdul Razak dan menitahkan beliau datang ke Bandar Diraja Klang. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Peribadi Tuanku Sultan Selangor di dalam tahun 1907, pada usia 39 tahun.

Beliau berkhidmat sebagai Penghulu dan menjadi Majistret Melayu pertama di negeri Selangor dan juga Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada ketika itu. Kemudiannya, Dato’ Abdul Razak dianugerahkan gelaran Dato’ Setia Selangor.

Dato’ Abdul Razak berkahwin dengan Datin Saleha Yaacob dan dikurniakan dengan 15 orang cahaya mata, iaitu 10 lelaki dan 5 perempuan. Antara anak beliau ialah Dr. Abdul Latiff, Doktor Melayu Pertama dan Dato’ Yahya, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Kuala Lumpur.

Dato’ Abdul Razak disahkan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Di penghujung hayat, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah telah mencemar duli berangkat menziarahi beliau. Walaupun di dalam keuzuran, beliau cuba bangkit dan menyambut keberangkatan tiba Tuanku Sultan dan berkata, “Tuanku, patik nak ambil cuti panjang”. Tuanku Sultan Alaeddin sangat tersentuh dan kemudiannya bertitah, “Setia sampai sudah”.

Dato’ Abdul Razak meninggal dunia di dalam tahun 1938, pada usia 69 tahun.

* Seperti mana yang pernah diceritakan oleh Allahyarham Idham Mustafa (1961-2014), Cicit Allahyarham Dato’ Setia Abdul Razak