Memang
asalnya pemerintahan negeri Pahang adalah secara pemerintahan beraja, dengan
keturunan Raja-Raja Melaka yang paling lama berkuasa; lebih 200 tahun iaitu
sejak Sultan Muhammad Shah (1469 – 1475), hinggalah kepada Sultan Mahmud Shah
yang terkenal dalam sejarah sebagai ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’ (pada
tahun 1699).
Selepas
itu, pemerintahan negeri berpindah kepada keturunan Bendahara Tun Habib Abdul
Majid, Bendahara Padang Saujana Johor, dengan pemerintah memakai gelaran
Bendahara sejak daripada itu (kecuali semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil). Selepas
Bendahara Tun Habib Abdul Majid ialah Sultan Abdul Jalil, kemudiannya
Bendahara-bendahara lain seperti Bendahara Abas, Bendahara Abdul Majid,
Bendahara Koris, Bendahara Ali, Bendahara Tun Mutahir dan Bendahara Siwa Raja,
atau asalnya bernama Tun Ahmad (Wan
Ahmad), adinda kepada Tun Mutahir.
Bendahara
Siwa Raja kemudiannya menukarkan gelaran kepada Sultan, dengan mengambil nama
Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, Sultan Pahang I. Sejak itu, bermulalah
pemerintahan negeri dengan ketua pemerintahnya menggunakan gelaran Sultan,
hinggalah ke hari ini. Menurut buku ‘Singgahsana
Negeri Pahang Darul Makmur’, pertukaran gelaran daripada Bendahara kepada
Sultan berasal daripada cadangan Yang Mulia Sultan Abu Bakar Johor kepada
Bendahara Siwa Raja, semasa Dato’ Bendahara itu berkunjung ke Johor.
“Yang
Mulia Sultan Abu Bakar telah mencadangkan kepada Dato’ Bendahara itu supaya
memakai gelaran Sultan ganti gelaran Bendahara, dengan alasan yang negeri
Pahang itu tidak lagi berhubung dan takluk ke Daik bagaimana dahulu. Tambahan
pula negeri itu telah diperintah oleh kerajaan Belanda. Dato’ Bendahara telah
bersenda kepada Sultan Johor itu mengatakan Orang Besar Pahang telahpun
memajukan cadangan itu kepadanya dahulu, tetapi belum dibulatkan lagi
persetujuan itu. Sultan Johor yang mendengar senda itu telah menguatkan lagi
cadangan dan menasihatkan Dato’ Bendahara itu supaya menurut akan persetujuan
Orang-Orang Besar Pahang itu.”
“Setelah
balik Dato’ Bendahara itu ke Pahang daripada perangkatan ke Johor itu, maka di
dalam satu majlis pengadapan Orang Besar Negeri Pahang yang kanan dan berkuasa
telah mendatangkan sembah memohon Dato’ Bendahara itu memakai gelaran Yang Maha
Mulia Sultan. Persembahan itu telah diterima. Maka di dalam suatu istiadat,
Dato’ Bendahara itu digelarlah oleh Orang Besarnya dengan nama Yang Maha Mulia
Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah dan isterinya Cik Puan Bongsu diberi gelaran Yang
Maha Mulia Tengku Ampuan. Manakala, putera-putera dan puteri-puteri yang
memakai gelaran Tun diganti kepada gelaran Tengku”.