J.P. Rodger datang ke Pahang sebagai Residen British
pertama, dalam tahun 1884. Beliau disediakan sebuah rumah kediaman yang
berdekatan dengan istana Sultan Ahmad di Pekan.
Kebetulan pada masa itu, Sultan Ahmad sedang
mempersiapkan putera sulung baginda sebagai Bakal Sultan. Kehadiran J.P. Rodger
ibarat bulan jatuh ke riba. Rodger telah diminta oleh Sultan Ahmad supaya dapat
mengajar putera baginda itu tentang cara-cara menjalankan pentadbiran negeri.
Menurut ceritanya, Rodger telah dibayar elaun khas sepanjang menjalankan tugas
tidak rasmi itu.
Tunjuk ajar yang diterima oleh Tengku Mahmud yang baru
berusia 16 tahun ketika itu, benar-benar memberi faedah yang besar kepada Sultan
Ahmad. Apabila baginda melantik Tengku Mahmud menjadi Pemangku Raja dalam tahun
1888, Tengku Mahmud telah dapat mentadbir dengan baik dan mendapat keyakinan
penuh daripada Residen dan pembesar-pembesar negeri.
Menjelang tahun 1900, Tengku Besar Mahmud menjalankan
pentadbiran negeri sepenuhnya, kerana Sultan Ahmad sering uzur dan perlu
berehat di istana.