"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Jumaat, 12 Ogos 2011

TENGKU ABDULLAH IBNI SULTAN HAJI AHMAD SHAH, TENGKU MAHKOTA PAHANG


KDYTM Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diputerakan pada hari Khamis, 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan. KDYTM Tengku Abdullah merupakan anakanda keempat pasangan KDYMM Sultan Pahang dengan KDYMM Almarhumah Tengku Ampuan Afzan binti Almarhum Tengku Panglima Perang Muhammad.

KDYTM Tengku Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan pada tahun 1970 hingga 1971 dan di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan pada tahun 1972 hingga 1974. Ketika berusia 16 tahun, KDYTM Tengku Abdullah telah dihantar menyambung pendidikannya di Aldenham School, Hertfordshire iaitu pada tahun 1975 hingga 1978 dan kemudiannya di Davies Laing and Dick (DLD) College of London pada tahun 1978 hingga 1979.

KDYTM Tengku Abdullah telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975, iaitu semasa usia Tengku Abdullah baru mencecah 15 tahun dan upacara pertabalannya telah berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan pada 23 Oktober 1977. Seterusnya pada 28 April 1979, Tengku Abdullah telah ditabalkan sebagai Pemangku Raja Pahang selepas ayahandanya dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke-7 dari 29 Mac 1979 hingga 25 April 1984. Pada ketika ini jugalah Tengku Abdullah mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, England dalam tahun 1979 hingga 1980. Di sinilah baginda berpeluang bergaul mesra dan berkenalan dengan bakal pemimpin dari seluruh dunia.

KDYTM Tengku Abdullah telah ditauliahkan oleh Ratu England, Queen Elizabeth II sebagai Leftenan Muda pada tahun 1980. Baginda kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Kehormat dalam Kor Kavalri Diraja (Kor Amor Diraja), Tentera Darat Malaysia dengan menyandang pangkat Kapten dan seterusnya pada 18 November 1987 baginda dianugerahkan pula pangkat Mejar Kehormat dalam Kor yang sama. Pada tahun 1999, baginda ditauliahkan sebagai Pegawai Sukarela berpangkat Leftenan Kolonel dan kemudiannya ke pangkat Brigadier Jeneral, dan menyandang jawatan Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah.


KDYTM Tengku Abdullah dipertemukan jodoh dengan YAM Tengku Paduka Putri Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Mahmood Iskandar Al-Haj pada 6 Mac 1986 dalam satu majlis gilang gemilang yang diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. KDYTM Tengku Abdullah dan KDYTM Tunku Azizah dikurniakan seramai 4 orang putera dan 2 orang puteri.