"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 18 Oktober 2018

SEJARAH BERTANJAK DI TANAH MELAYU

Pada tahun 750 Masihi, Sang Jaya Bangsa atau Sang Rama Dhamjaya – Maharaja Srivijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera telah menyerang kerajaan Langkasuka di bawah pemerintahan Raja Maha Bangsa. Pada tahun 775 Masihi, Srivijaya telah berjaya menakluk Langkasuka dan seluruh tanah jajahannya.

Kemasukan pengaruh budaya Melayu Srivijaya dari Sumatera, termasuklah tengkolok, tanjak dan destar dipercayai bermula pada tahun 775 Masihi. Walau bagaimanapun, pengaruh budaya Melayu Langkasuka (termasuklah Kecopong @ Ketopong) tetap kekal dominan.

Penggunaan tengkolok, tanjak dan destar secara meluas di Semenanjung Tanah Melayu dipercayai hanya bermula apabila Seri Teri Buana ditabalkan sebagai pemerintah bagi tiga buah kerajaan – Palembang-Jambi (Srivijaya-Melayu), Bintan dan Singapura Tua.

Dari segi kedudukan geografi, Kepulauan Bintan dan Kepulauan Singapura adalah sebahagian daripada Semenanjung Tanah Melayu. Ini bermakna, kemasukan tengkolok, tanjak dan destar bermula dari arah selatan menuju ke utara Semenanjung.

Serangan Majapahit ke atas tiga buah kerajaan tersebut telah memaksa pemerintah terakhirnya, Parameswara melarikan diri ke utara lalu mendirikan Kesultanan Melaka. Di bawah pengaruh empayar Melaka inilah, penggunaan tengkolok, tanjak dan destar telah berkembang ke semua negeri jajahan dan naungannya.


Sultan-sultan Melaka dan Johor-Riau-Lingga-Pahang telah menabalkan putera-putera mereka sebagai raja atau sultan di negeri Perak, Jeram (Selangor), Johor, Terengganu dan Pahang.

Ada juga di kalangan para pembesar Melaka dan Johor-Riau-Lingga-Pahang yang dilantik sebagai wakil raja di wilayah jajahan seperti Kelang (Selangor) dan Muar (Johor).

Sultan Mahmud Syah (Kedah) telah pergi ke Melaka untuk bertemu dengan Sultan Mahmud Syah (Melaka) demi memohon Nobat. Dari sinilah bermulanya sejarah tengkolok, tanjak dan destar di negeri Kedah.

Sejarah tengkolok, tanjak dan destar di negeri Kelantan bermula apabila Sultan Melaka menakluk negeri Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga di bawah pemerintahan Sultan Gombak.

Dari Kelantan, pemakaian tengkolok, tanjak dan destar masuk ke Patani apabila Patani diperintah oleh anak-anak raja dari Dinasti Kelantan I dan Dinasti Kelantan II.

Pada zaman Kerajaan Persekutuan Patani Besar, penggunaaan tengkolok, tanjak dan destar telah berkembang ke negeri Singgora (Songkhla, Phatthalung dan Satun) serta Ligor (Nakhon Si Thammarat).

Di bawah pengaruh empayar Kedah pula, penggunaaan tengkolok, tanjak dan destar telah berkembang ke Sendawa (Sadao), Setul (Satun), Terang (Trang), Ayer Kelubi (Krabi), Kuala Punga (Phang Nga), Pulau Bukit (Koh Phuket) dan Rundung (Ranong) di selatan Thailand serta Tenang Sari (Tenasserim) di selatan Myanmar.