Peristiwa
yang berlaku di dalam tahun 1945 mencatatkan sejarah hitam dalam sejarah
kesultanan Terengganu yang berkesudahan dengan pemecatan Tengku Ali sebagai
Sultan Terengganu. Baginda terpaksa diturunkan daripada tahta semata-mata
kerana mempertahankan prinsip dan tidak sependapat dengan pemerintah ketika
itu. Penurunan baginda juga dikaitkan dengan politik istana dan kesalahan
perilaku sebagai sultan.
Walau
apa pun yang berlaku, peristiwa penurunan Tengku Ali lebih 70 tahun lalu wajar
dilihat daripada perspektif yang tersendiri. Baginda merupakan sultan pertama
yang diturunkan daripada tahta dan hidup merempat. Itulah nasib yang menimpa
Almarhum Tengku Ali ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tengku Ali
yang diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu yang ke-14 pada tahun 1942 dan
memerintah sehingga tahun 1945. Namun, baginda hidup sebagai rakyat biasa
sehingga ke akhir hayat baginda; kehidupan yang amat mengharukan dan bukan
kehidupan yang patut dilalui oleh bekas seorang sultan.
Apa
yang menyedihkan ialah kehadiran Tengku Ali seolah-olah tidak disedari atau
dihiraukan oleh banyak pihak. Lebih memilukan lagi, Tengku Ali terpaksa
berpindah-randah dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain untuk tinggal
bersama anak-anaknya, kerana baginda tidak mempunyai rumah. Sebagai bekas
seorang Sultan, Tengku Ali berhak menerima elaun dan kemudahan lain kerana hak
itu termaktub dalam Undang-Undang Diri Kerajaan Negeri Terengganu.
Menurut
Almarhum Tengku Ali, 2-3 tahun selepas baginda diturunkan tahta, memang ada
usaha untuk mengembalikan haknya dan begitu juga di sekitar tahun 1950-an.
Walau bagaimanpun, pada masa itu British begitu berkuasa. Kerabat Diraja dan
Ahli-ahli Jemaah Pangkuan Negeri pun tidak menyebelahi baginda. Mereka takut
dan Tengku Ali juga menyatakan baginda takut, walaupun mahkota dan tahta itu
sememangnya hak baginda. Sultan Terengganu ketika itu, Sultan Ismail Nasiruddin
Shah merupakan ayahanda saudara baginda. Bondanya, Almarhum Tengku Ampuan
Mariam meminta baginda supaya banyak bersabar dan menganggap kejatuhan baginda
sebagai suratan Ilahi.