"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 14 Julai 2011

ISTANA LEBAN TUNGGAL



Istana Leban Tunggal dibina pada bulan Mei 1935 dan siap sepenuhnya dalam tahun 1937 / 1938. Istana ini dimiliki oleh Almarhum YAM Tengku Besar Pahang II, Tengku Sulaiman ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah.

Asal nama Istana Leban Tunggal ini ialah pada ketika itu terdapat sepohon pokok leban yang besar dihadapan di mana Istana ini dibina. Tiada pokok-pokok lain yang terdapat berdekatan istana ini melainkan pokok leban yang tunggal. Maka disitulah terciptanya nama Istana Leban Tunggal.

Pelan istana ini direka oleh seorang pereka bangunan iaitu Raja A. Nizam dengan harga RM500.00. dan kerja-kerja pembinaan ditawarkan kepada kontraktor Cina dari Bentong dan kerja-kerja keemasan kayu dsbnya kepada beberapa orang tukang kayu berbangsa Melayu yang mahir dalam kerja-kerja pertukangan. Kos yang dikeluarkan untuk membina istana ini berjumlah lebih kurang $16,000.00. Daripada sumber rujukan yang diperolehi di Arkib Negara, Almarhum Tengku Besar Sulaiman telah meminjam wang dari kerajaan Pahang sebanyak $13,000.00. Dianggarkan seramai empat belas orang pekerja terlibat dalam pembinaan istana ini.


Almarhum Tengku Besar Sulaiman telah mangkat pada tahun 1962. Sepatutnya Tengku Abdul Jalil, iaitu Tengku Besar yang baharu mendiami istana tersebut. Tetapi enggan berbuat demikian kerana telah memiliki kediaman yang lain berdekatan dengan istana tersebut dan menyerahkan kepada pewaris-pewaris yang lain untuk didiami.

Istana Leban Tunggal bukan sahaja indah pada namanya malah unik pada rekabentuknya. Terletak di Jalan Tengku Besar Sulaiman di dalam kawasan Kampung Parit Tengah, Pekan. Berdekatan dengan SMK Ahmad dan SRK Ahmad. Bangunan ini dibina daripada kayu-kayan, batu bata dan konkrit. Bercirikan unsur-unsur Kemelayuan dan sedikit pengaruh istana pada zaman dahulu. Istana Leban Tunggal yang tersergam indah di daerah Pekan ini kemudiannya menjadi sumber rujukan dan pusat gedung ilmu bagi para pencinta ilmu di Daerah Pekan.

Setelah dilakukan pemeliharaan dan pemulihan terhadap istana ini, ianya dijadikan sebagai pusat rujukan dan gedung ilmu bagi para pelajar dan pencinta ilmu. Ianya dilengkapi dengan berpuluh ribu jenis buku serta kemudahan-kemudahan lain seperti meja dan kerusi yang selesa, alat penghawa dingin untuk kemudahan para pelajar mengulangkaji pelajaran melakukan rujukan. Bangunan Istana Leban Tunggal berfungsi sebagai Perpustakaan Awam Daerah Pekan sehingga bulan Mac 2011, sebelum Perpustakaan Awam Daerah Pekan berpindah ke bangunan yang baharu. Istana Leban Tunggal kini diserahkan kepada Jabatan Warisan Negara.