"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Sabtu, 13 Ogos 2022

TENGKU ALI TUNTUT ELAUN SULTAN SEJAK TAHUN 1945

Tengku (Sultan) Ali ibni Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ialah Sultan Terengganu dari tahun 1942 sehingga 1945. Baginda diturunkan dari tahta apabila British kembali ke Tanah Melayu.
 
Tengku Ali diputerakan di Istana Tepi Bukit, Kuala Terengganu pada 24 Januari 1914. Baginda merupakan putera sulung Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan Tengku Ampuan Mariam. Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu ke-14 pada 25 September 1942 setelah kemangkatan Ayahandanya, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.
 

Sultan Ali hanya sempat bertakhta selama 2 tahun 10 bulan, sebelum diturunkan dari takhta pada 5 November 1945. Ayahanda saudara Tengku Ali, Tengku Ismail telah dilantik sebagai Sultan Terengganu ke-15, pada 15 Disember 1945 dan bergelar Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
 
Tengku Ali telah menghabiskan sebahagian hidupnya menuntut haknya sebagai Sultan Terengganu. Selain itu, Tengku Ali juga membuat tuntutan supaya dibayar elaun bekas sultan dari tahun 1945, yang berjumlah RM1500 sebulan. Malangnya, tuntutan yang mengambil masa selama beberapa tahun itu gagal, sebaliknya Tengku Ali hanya dibayar elaun kerabat diraja sahaja.
 

Sejarah malang Tengku Ali bermula pada 5 November 1945, apabila dipecat daripada jawatan Sultan Terengganu atas alasan pelantikan baginda tidak sah kerana dibuat dalam zaman pemerintahan Jepun (1942-1945). Sejak detik itu, baginda tidak henti-henti menuntut hak baginda, tetapi tidak pernah berhasil.
 
Sehinggalah baginda mangkat pada 17 Mei 1996 dan disemadikan di Makam Diraja Kuala Terengganu yang terletak di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.