"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 31 Disember 2017

ASAL USUL NAMA LAMIR

Lamir ini adalah sebuah kampung yang terbesar dalam mukim Pahang Tua, di dalam daerah Pekan. Letaknya di kiri kanan Jalan Pekan-Kuantan, di tebing Sungai Pahang Tua. Kampung Lamir ini dikatakan mendapat namanya demikian dari pokok lamir, sejenis pokok yang kulitnya boleh dibuat tali. 

Selain dari kampung terbesar dalam mukim Pahang Tua, ia adalah juga sebuah kampung yang bersejarah. Ini ialah kerana ia pernah menjadi tempat tinggal Bendahara Sewa Raja Tun Ali sehingga akhir hayatnya dalam tahun 1857.
Bila sebenarnya Bendahara Sewa Raja Tun Ali meninggalkan Pulau Maulana dan berpindah ke Lamir tidak diketahui. Tetapi tentu sekali lepas lahirnya Tun (Sultan) Ahmad di Tiang Bendera (Pulau Maulana), pada 23.5.1836.
W.Linehan di dalam Sejarah Pahang, JMBRAS, Vol.XIV, Pt. 11, May 1936 menulis berkenaan dengan perkara ini seperti berikut :-
"Bendahara Sewa Raja Ali of Pahang died in 1857. Long before his death, he had retired from active participation in the government of the country, and removed his residence to Lamir on the the river Pahang Tua where he spent his declining years."

Tiada berapa lama selepas Bendahara Sewa Raja Tun Ali mangkat, maka berlakulah pergaduhan yang dikenali sebagai ‘Perang Saudara 1857 – 1863’. Di dalam peperangan itu Tun Ahmad berjaya menewaskan kekandanya Tun Mutahir pada 10 Jun 1863. Dengan kemenangannya itu Tun Ahmad dilantik sebagai Bendahara Sewa Raja. Dia dinasihatkan supaya tinggal di sebelah kanan hilir Sungai Pahang. Sebab itu Bendahara Sewa Raja Tun Ahmad memiliki kuala Sungai Parit, yang dikenali sebagai Pekan Lama.
Dengan tindakan Bendahara Sewa Raja Tun Ahmad (Sultan Ahmad) ini, bukan sahaja Pulau Maulana bahkan Lamir tidak lagi menjadi tempat tinggal Bendahara Pahang. Sebagai mengingatkan Lamir sebagai tempat tinggal Bendahara Tun Ali, maka Almarhum yang disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum dikenali sebagai Marhum Lamir.
Sungguhpun Lamir tidak lagi menjadi tempat tinggal Bendahara Pahang, tetapi ia terus maju dan menjadi sebuah kampung yang terkenal hingga sekarang. Tambahan pula ia jadi muka sebatang jalan kampung, iaitu jalan Pahang Tua-Langgar.