"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 27 Mac 2018

BUKU SEJARAH NANING “TANAH BERKERAMAT PENGHULU BERDAULAT"

Naning merupakan sebuah wilayah yang cukup dikenali dalam sisi pandangan para pengkaji dan penggemar sejarah negara. Perkembangan sejarah Naning yang diolah oleh Belanda menyebabkan pentarikhan sejarah Naning dianggarkan wujud sekitar abad ke-17, sedangkan tarikh pembukaannya adalah sama dengan pemerintahan Sultan Muzafar Shah di Melaka.

Sejarah perkembangan kebudayaan di Naning merupakan titik permulaan kepada kelestarian Adat Perpatih dalam kalangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Kedatangan Datuk Perpatih Nan Sebatang ke Naning sekaligus telah merubah lanskap geopolitik masyarakat tempatan dan berjaya meluaskan pengaruhnya hingga ke rantauan orang.

Penulisan ini membahaskan perkembangan sejarah Naning mengikut proses zaman dan melihat hubungannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Buku ini telah ditulis secara kritis dan membahaskan maklumat-maklumat yang pernah diguna pakai sarjana terdahulu dalam mengkaji sejarah Naning kerana berlakunya masalah kurang memahami sistem kebudayaan orang Naning secara praktikal. Justeru, buku ini bakal mengisi ruang lompang dalam institusi sejarah Naning berdasarkan hasil dapatan yang telah dianalisis secara emik dan praktik.

Bagi yang berminat mendapatkan buku Sejarah Naning “Tanah Berkeramat Penghulu Berdaulat” boleh berhubung dengan penulis buku ini, DPSS Luqman Nulhakim Harzamar.

Isnin, 19 Mac 2018

SULTAN HAJI AHMAD SHAH, KETURUNAN KESEMBILAN BENDAHARA ABDUL MAJID

Sultan Haji Ahmad Shah merupakan keturunan kesembilan Bendahara Tun Habib Abdul Majid.

Nasab keturunan baginda ialah Sultan Ahmad Shah ibni Sultan Abu Bakar ibni Sultan Abdullah ibni Sultan Ahmad ibni Bendahara Ali ibni Bendahara Koris ibni Tun Abdul Majid ibni Tun Abas ibni Sultan Abdul Jalil ibni Bendahara Seri Mahajara Tun Habib Abdul Majid.

Bendahara Tun Habib Abdul Majid merupakan Bendahara Johor yang ke-19.

Ahad, 18 Mac 2018

SULTAN AHMAD SHAH MEMEGANG KUAT ADAT ISTIADAT DIRAJA

Sultan Haji Ahmad Shah merupakan Sultan Pahang yang berpegang kuat dan beramal dengan Adat Istiadat Diraja.

Setiap kali berlangsungnya adat istiadat di istana, baginda akan memberi sepenuh perhatian terhadap bagaimana ia disempurnakan oleh pihak yang diberi tanggungjawab.

Baginda juga dikenali sebagai seorang Sultan yang kuat melindungi Adat Resam Melayu, seni dan sastera.

Sabtu, 17 Mac 2018

TIGA RAJA MELAYU DITURUNKAN TAHTA SELEPAS PERANG

Sultan Musa Ghiatuddin (Selangor), Sultan Ali (Terengganu) dan Raja Syed Hamzah (Perlis) mengalami nasib yang hampir serupa. Ketiga-tiga orang Sultan ini diturunkan tahta secara paksa.


Sultan Musa Ghiatuddin dipaksa melepaskan tahta oleh British pada 14 September 1945 sewaktu Sultan Selangor ke-6 itu sedang bertahta di Istana Mahkota Puri, Klang.

Peristiwa sedih itu berlaku tidak lama selepas British mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah. Sultan Musa dituduh menentang British dan dianggap tidak layak menjadi Sultan.


Nasib serupa dialami oleh Sultan Ali ibni Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, yang dipecat daripada tahta oleh satu komplot kerabat-kerabat diraja yang disokong oleh British. Sultan Ali kehilangan tahtanya pada 5 September 1945.


Raja Perlis, Raja Syed Hamzah juga serupa nasibnya. Cuma bezanya, baginda turun daripada tahta secara sukarela. Peristiwa tersebut berlaku di Istana Arau, pada 4 Disember 1945.

Ahad, 11 Mac 2018

TENGKU ALI GAGAL MENDAPATKAN ELAUN BEKAS SULTAN TERENGGANU


Setelah diturunkan daripada tahta secara tipu muslihat di dalam tahun 1945, bekas Sultan Terengganu, Tengku Ali ibni Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah menghabiskan sebahagian besar hidup memperjuangkan hak baginda sebagai bekas seorang Sultan.


Sejak November 1945, Tengku Ali telah menuntut pengisytiharan dirinya sebagai bekas Sultan dan meminta supaya diberi elaun seumur hidup sebanyak RM1500 sebulan. Selain itu, baginda juga menuntut tunggakan dan faedah lain termasuk tempat kediaman yang sesuai baginya, daripada kerajaan Terengganu.


Malangnya, sehingga ke akhir hayatnya segala impian Tengku Ali itu tidak pernah ditunaikan. Semasa hayatnya, Tengku Ali pernah berkata, “Sayalah bekas Sultan yang paling malang sekali”.

Tengku Ali mangkat pada hari Jumaat 17 Mei 1996, pada usia 82 tahun.

Sabtu, 10 Mac 2018

TENGKU AMPUAN MARIAM MENASIHATKAN TENGKU ALI SUPAYA BERSABAR

Sewaktu Sultan Terengganu ke-14, Tengku (Sultan) Ali ibni Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1942-1945) dipaksa turun daripada tahta oleh kerajaan British pada tahun 1945, baginda telah berangkat menemui bondanya, Tengku Ampuan Mariam dan mengadu nasib yang menimpa diri baginda.
Tengku Ampuan Mariam, bekas Permaisuri Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920-1942) tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan menyuruh puteranya itu bersabar menghadapi dugaan tersebut.
Menurut cerita orang-orang yang pernah bekerja di Istana Badariah, Tengku Ampuan Mariam amat bersedih kerana tidak berdaya untuk mempertahankan tahta puteranya itu. Tengku Ampuan Mariam sedar baginda tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kerabat dan pembesar-pembesar Terengganu untuk mengembalikan Tengku Ali di atas tahta semula.
Ayahanda saudara Tengku Ali, Tengku Ismail dilantik sebagai Sultan Terengganu ke-15 pada 15 Disember 1945, menggunakan gelaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Tengku Ali mangkat pada 17 Mei 1996 dan dimakamkan di dalam kawasan Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

PERTALIAN KELUARGA SULTAN ABU BAKAR DAN SULTAN ISMAIL NASIRUDDIN SHAH

Pertalian kekeluargaan yang terjalin di antara Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah dengan Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah, telah bermula sejak zaman Sultan Zainal Abidin III Mu’azzam Shah, Sultan Terengganu ke-11 (1881-1918).
Ia bermula apabila Sultan Zainal Abidin III, iaitu ayahanda kepada Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkahwin dengan Tengku Long puteri kepada Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, iaitu bonda saudara Sultan Abu Bakar.
Di dalam tahun 1913, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah iaitu kekanda Sultan Ismail Nasiruddin Shah telah berkahwin dengan seorang lagi bonda saudara Sultan Abu Bakar, iaitu Tengku Mariam.
Dari pertalian yang terjalin, Sultan Ismail Nasiruddin Shah Shah adalah merupakan ayahanda saudara kepada Sultan Abu Bakar.

Ahad, 4 Mac 2018

AL-FATIHAH


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa Orang Besar Berlapan Pahang, Yang Hormat Dato’ Setia Pahlawan, Yang Mulia Tengku Dato’ Sri Haji Iskandar Abu Bakar bin Tengku Ali, SSAP., DSAP., DIMP., SAP., AMN., PJK., telah kembali ke Rahmatullah pada jam 11.15 pagi, 04 Mac 2018, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Jenazah Almarhum dibawa pulang ke kediamannya di No. 66, Aiman 2, Jalan Istana Permai, Pekan dan dikebumikan bersebelahan Makam Diraja Pekan selepas solat Asar.

Semuga Roh Almarhum dicucuri Rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

إنّا لله وإنّا إليهِ رَاجعُون
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ
وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ




SULTAN ABDULLAH AL-MU’TASSIM BILLAH BERSEMAYAM DI ISTANA SERI TERENTANG

Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah merupakan satu-satunya Sultan Pahang yang tidak membina istana rasmi, sepanjang baginda menjadi Sultan Pahang, dari tahun 1917 hingga 1932.

Menurut cerita, apabila baginda menaiki tahta pada 19 Jun 1917, Sultan Abdullah telah bersemayam di Istana Seri Terentang; iaitu bekas istana Sultan Mahmud yang dibina dalam tahun 1905. Selain dari Istana Seri Terentang, Sultan Abdullah juga sering bersemayam di Istana Pantai; yang merupakan bekas istana Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah.
Banyak peristiwa bersejarah yang berlangsung di Istana Seri Terentang sepanjang pemerintahan Sultan Abdullah. Antaranya ialah istiadat perkahwinan putera dan puteri baginda.

Di istana ini juga adinda baginda, Tengku Besar Sulaiman dilantik sebagai Tengku Besar Pahang, pada 14 Ogos 1920. Dan di Istana Seri Terentang ini juga Sultan Abdullah jatuh gering dan mangkat pada hari Rabu, 22 Jun 1932.
Walaubagaimanapun, Istana Seri Terentang telah dirobohkan sekitar tahun 1940-an, iaitu di dalam zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

Sabtu, 3 Mac 2018

SULTAN AHMAD SHAH DAN ALMARHUM SULTAN ISKANDAR JOHOR BERSAUDARA SEJAK 3 GENERASI

Sultan Haji Ahmad Shah Pahang dan Almarhum Sultan Iskandar Johor telah bersaudara sejak 3 generasi. Ia bermula sejak perkahwinan moyang Sultan Iskandar iaitu Sultan Abu Bakar Johor dengan puteri Bendahara Tun Mutahir, moyang saudara Sultan Haji Ahmad Shah, di dalam tahun 1862.

Ikatan kekeluargaan tersebut diteruskan lagi apabila nenda saudara Sultan Haji Ahmad Shah iaitu Sultan Mahmud (Sultan Pahang II, 1914-1917) berkahwin dengan Tengku Mariam, nenda saudara Sultan Iskandar, di Istana Besar Johor Bahru, pada 14 September 1897.

Tali persaudaraan di antara kedua-dua buah negeri ini menjadi semakin rapat berikutan perkahwinan putera Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Mahkota Abdullah dengan puteri Sultan Iskandar, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pada 6 Mac 1986.