"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 1 Ogos 2022

TENGKU AHMAD ISMAIL DIKURNIAKAN GELARAN TENGKU PANGLIMA PERANG

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang telah berkenan mengurniakan gelaran baharu, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang kepada anakanda Baginda, Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah. 
 
Gelaran baharu itu diumumkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur, Sempena Memuliakan Ulangtahun Hari Keputeraan ke-63 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan, pada hari Isnin, 1 Ogos 2022.
 

Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah merupakan cicinda kepada Tengku Panglima Perang Pahang ke-2, iaitu Almarhum Tengku Muhammad ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, yang menjadi Tengku Panglima Panglima Perang daripada tahun 1940 sehingga kemangkatannya pada 8 Januari 1957.

"Berdasarkan sejarah, YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Muhammad pernah memegang jawatan sebagai Pelatih Pegawai Melayu bagi Negeri Pahang pada tahun 1918, Penolong Pesuruhjaya Polis Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1920, Juruiring Khas kepada Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu pada tahun 1924, Penolong Pesuruhjaya Polis Terengganu pada tahun 1925, Setiausaha Melayu pada tahun 1934, Ahli Mesyuarat Negeri Pahang pada tahun 1937, Menteri Besar Terengganu pada tahun 1948 dan Menteri Besar Pahang pada tahun 1951.”
 

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mendoakan, semoga dengan kurniaan ini, Paduka Adinda yang bergelar YAM Tengku Panglima Perang akan mencontohi Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang telah banyak berjasa kepada negara dan negeri Pahang khususnya.
 
Pengurniaan gelaran  tersebut berkuatkuasa pada 1 Ogos 2022. Sebelum ini, Tengku Ahmad Ismail telah dikurniakan gelaran YAM Tengku Panglima Muda pada 15 Ogos 2019.