"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 14 Ogos 2022

MAKAM ALMARHUM SULTAN SIR ABU BAKAR DI MAKAM DIRAJA PEKAN

Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah ialah Sultan Pahang ke-4. Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 24 Jun 1932.
 

Baginda telah mangkat pada 5 Mei 1974 dan telah dimakamkan di dalam bangunan Makam Diraja Pekan. Baginda merupakan Sultan Pahang pertama yang disemadikan di Makam Diraja Pekan, sejak makam diraja tersebut dibuka pada tahun 1957.
 

Dua orang ayahanda saudara baginda yang terlebih dahulu dimakamkan di Makam Diraja Pekan ini ialah Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang mangkat pada 1957 dan Tengku Besar Sulaiman, yang mangkat pada 16 Jun 1962.
 

Selain Sultan Abu Bakar, permaisuri baginda, Tengku Ampuan Fatimah yang mangkat pada 23 Jun 1988 dan menantu baginda, Tengku Ampuan Afzan yang mangkat pada 29 Jun 1988 juga disemadikan di sebelah makam baginda.
 

Di suatu sudut di dalam bangunan makam ini, juga disemadikan seorang lagi permaisuri baginda, Tengku Hajjah Azam binti Tengku Setia Raja Tengku Omar yang mangkat pada 9 Julai 2014. Sultan Pahang ke-5, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mangkat pada 22 Mei 2019 juga disemadikan di dalam bangunan makam tersebut.