"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Sabtu, 25 November 2023

PENYANDANG TERKINI PESAKA ADAT DATO’ PENGHULU LUAK TANAH MENGANDUNG

Luak Tanah Mengandung ialah Kumpulan Lima Luak yang melingkungi Wilayah Diraja Negeri Sembilan, iaitu Seri Menanti. Luak-luak ini bernaung di bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Luak Tanah Mengandung merupakan serambi bagi Luak Berundang, di mana ia menjadi tempat persinggahan YTM Dato' Undang sebelum ke Seri Menanti untuk mengadap DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Luak Tanah Mengandung terdiri daripada Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir dan Luak Inas Ineh. Pemimpin bagi luak-luak ini bergelar Penghulu.
 
Pada masa kini, penyandang Pesaka Adat bagi Dato'-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung ialah:

Yang Mulia Dato’ Bendahara Setia Maharaja Lela Pahlawan
Dato’ Haji Mansor bin Haji Yusof
Penghulu Luak Ulu Muar

 

Yang Mulia Dato’ Lela Putra Setiawan
Mazri bin Mansol
Penghulu Luak Jempol

 

Yang Mulia Dato’ Anjah Pahlawan
Dato’ Haji Mohamad Nasir bin Haji Nordin
Penghulu Luak Terachi

 

Dato’ Hanizam bin Haji Harun
Penghulu Luak Gunung Pasir

 

Dato’ Mohammad Ariff bin Sidek
Penghulu Luak Inas Ineh

Khamis, 23 November 2023

PADUKA KEKANDA DAN ADINDA AL-SULTAN ABDULLAH DIKURNIAKAN DARJAH KEBESARAN NEGERI PAHANG

Pada 23 November 2023, telah berlangsungnya Istiadat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang. Istiadat ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Istiadat ini berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, Kuala Lumpur. Turut berangkat ke istiadat ini ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail, dan Kerabat-kerabat Diraja.

Pada istiadat pengurniaan tersebut, KDYMM Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengurniakan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) kepada YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Yang Berbahagia Cik Puan Nur Bahiyah Mohamad Akip. Darjah Sri Indera Mahkota Pahang merupakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia, Peringkat Pertama. Ianya membawa gelaran Dato’ Indera.

Penerima lain Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) ialah YAM Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah. Di dalam istiadat ini juga, YAM Tengku Arif Temenggong turut dikurniakan dengan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).

Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) merupakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia, Peringkat Pertama. Ia membawa gelaran Dato’ Sri.

KDYMM Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) kepada Paduka-Paduka Kekanda Baginda, YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Tan Sri Meriam binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan YAM Tengku Puteri Seri Teja, Tengku Puan Sri Hajjah Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Turut dikurniakan SSAP ialah Paduka-Paduka Adinda Baginda, YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja, Tengku Hajjah Nong Fatimah binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah; dan Tengku Puteri Seri Bongsu, Tengku Hajjah Shahariah binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Di dalam istiadat yang sama, KDYMM Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan Juruiring Polis Seri Paduka Baginda, SAC Datuk Mohd Azani Omar. KDYMM Seri Paduka Baginda juga turut berkenan untuk mengurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) kepada Penasihat Undang-Undang Istana Negara, Datuk Abdul Rahman Putra Dato' Haji Taha.

Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) merupakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia, Peringkat Kedua. Ia membawa gelaran Dato’. Manakala, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) merupakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia, Peringkat Kedua. Ianya juga membawa gelaran Dato’.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di dalam Titah Diraja, bertitah menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih di atas sokongan yang diberikan keluarga Baginda, sepanjang lima tahun menjawat jawatan tertinggi negara. KDYMM Seri Paduka Baginda turut menyuarakan rasa terharu Baginda di atas sokongan dan dorongan, serta kasih sayang yang diberikan keluarga Baginda sejak menaiki takhta sebagai Sultan Pahang ke-6, sebelum dilantik menjadi Yang Dipertuan Agong ke-16.













ISTIADAT ULANGAN PENGHULU LUAK TANAH MENGANDUNG MENGADAP MENJUNJUNG DULI

Umum telah mengetahui bahawa Sistem Beraja di Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih, di mana Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dipilih melalui sistem pemilihan ala demokrasi oleh Undang Yang Empat, iaitu Penghulu yang mentadbir Luak masing-masing.

Namun, selain Undang Yang Empat, pentadbiran Luak-luak lain di Negeri Sembilan juga diketuai oleh Penghulu Luak. Selain daripada empat Luak, iaitu di Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol, terdapat satu wilayah, terdiri di dalamnya lima Luak atau Jajahan Kecil yang secara umumnya digelar Luak Tanah Mengandung. Ini menjelaskan bahawa Negeri Sembilan adalah gabungan wilayah-wilayah atau 'negeri' di mana pembesar dari empat Luak ditambah dengan lima Penghulu Luak dari Luak Tanah Mengandung, menjadikan sembilan 'negeri' di dalam Negeri Sembilan.

Lima 'Kerajaan Kecil' di dalam Luak Tanah Mengandung ini ialah Luak Inas, Luak Jempol, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir dan Luak Terachi. Selain Luak Tanah Mengandung yang lima, ada dua lagi Luak Kecil yang juga diketuai oleh Penghulu Luak, iaitu Luak Gemencheh dan Luak Pesaka Air Kuning.

Ketujuh-tujuh Luak kecil ini berada di dalam 'air kaki lingkungan' DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, yang asalnya di Seri Menanti. Dan setiap tujuh Luak-luak kecil ini menumpahkan taat setianya kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Penghulu Luak iaitu ketua bagi setiap Luak-luak ini pula suatu ketika dahulu akan datang mengadap DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dalam 'Istiadat Menabal'.

Ia kemudiannya ditukar nama kepada 'Istiadat Ulangan Penghulu Luak Mengadap dan Menjunjung Duli', seperti yang dikenali sehingga hari ini. Ia bagi mengelak salah faham penggunaan perkataan 'tabal' yang disifatkan hanya sesuai untuk Istiadat Pertabalan Raja.

'Istiadat Menabal' atau kini dikenali sebagai 'Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap Menjunjung Duli' ini bertujuan memperbaharui sumpah ikrar taat setia Luak Tanah Mengandung dan Luak-luak kecil, kepada DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Ia juga suatu ketika dahulu berfungsi sebagai wadah penyampaian khabar dari setiap Luak ke sisi DYMM Baginda Tuanku selaku Yamtuan Besar ketika itu. Setiap urusan dan pemakluman tentang hal ehwal pentadbiran Luak, kutipan cukai, perkembangan setiap Luak, termasuk jika ada peristiwa-peristiwa penting berlangsung di Luak masing-masing yang perlu dipersembahkan kepada Baginda Tuanku. Penghulu Luak yang turut digelar sebagai ‘Tiang Seri Istana’, akan menyokong, selain berfungsi sebagai ‘tangan’, juga 'mengkerajaankan' Baginda di atas titah Tuanku sebagai Yamtuan Besar, di Luak masing-masing.

Istiadat Ulangan Penghulu Luak Mengadap Menjunjung Duli ini dipersetujui untuk diadakan oleh Dato’-Dato’ Penghulu Luak bermula pada zaman pemerintahan Almarhum Tuanku Muhamad ibni Almarhum Tuanku Antah (1888-1933). Pada 29 April 1898, hasil persepakatan Luak-luak Berundang, istiadat ini dipersetujui dan diputuskan untuk diadakan sekali dalam setiap tempoh tiga tahun seseorang Datuk itu memegang jawatan sebagai Penghulu Luak, atau seperti mana yang dititahkan oleh DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Istiadat ditentukan  dengan titah DYMM Yang Dipertuan Besar, yang disampaikan oleh salah seorang Putera Yang Empat kepada Anak-Anak Raja Bergelar, Dato’-Dato’ Penghulu Luak berserta Tiang Balai dan Dato’-Dato’ Lembaga Luak, di dalam satu pertemuan khas. Istiadat yang memakan masa sehingga tiga hari ini mempunyai tiga peringkat, iaitu Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran, Istiadat Bersiram dan Istiadat Mengadap. Setiap peringkat akan mengambil masa selama sehari dari mula hingga tamat aturcara istiadat.
 

1. Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran Diraja

Semasa Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran, setiap alat kebesaran diraja akan dibawa keluar, dan akan diperiksa oleh DYMM Yang Dipertuan Besar, atau Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, yang mewakili DYMM Baginda Tuanku. Alat kebesaran akan dipersembah, diperiksa, dan diperaga sambil diperhatikan oleh Penghulu-penghulu Luak yang terlibat, bersama Dato’-Dato’ Lembaga masing-masing.

 
Alat kebesaran yang selesai diperiksa akan kemudiannya dibawa oleh Pegawai 99 Istana ke perkarangan Istana Besar Seri Menanti untuk dipasang dan diperaga.

Sebaik sahaja kesemua payung kuning kebesaran dikembangakan, 3 das tembakan meriam akan dilepaskan sebagai menandakan bermula istiadat dengan rasminya. Hari pertama upacara itu selesai apabila alat kebesaran yang terdiri lapan payung kuning, lapan keris panjang, lapan pedang panjang, empat panji-panji kuning, dua panji-panji merah, dua panji-panji hitam dan lapan tombak berambu selesai dipasang selama tiga hari istiadat berlangsung.
 

2. Istiadat Bersiram

Peringkat Kedua ialah Istiadat Bersiram. Seawal pagi hari kedua, DYMM Yang Dipertuan Besar bersama DYMM Tuanku Ampuan Besar akan berangkat keluar dari kamar peraduan di Istana Besar Seri Menanti untuk menaiki pedati khas yang dinamakan 'Takhta Rencana', yang akan dihela oleh Pegawai 99 Istana. Turut mengiringi ialah YAM Tunku Besar Seri Menanti  dan Putera Yang Empat, Anak Raja Bergelar, Kerabat Diraja, Dato’ Penghulu Luak, Dato’ Adat Istana, Dato’ Lembaga Luak, dan Pegawai 99 Istana yang membawa Alat Kebesaran Diraja dan Cepu Bedak Limau, dengan diiringi dengan pukulan rebana dan disambut oleh lapan das tembakan meriam di permulaan perarakan.

Di atas Takhta Rencana pula, Tuanku berdua bersemayam dengan diapit di kiri dan kanan oleh Dato’ Laksamana yang memegang Pedang Sebarau Bujang dan Dato’ Kanda Maharaja yang memegang Keris Sanawi. Datuk Mangku pula akan memegang Payung Kuning manakala Datuk Bentara Perempuan membawa Kipas Keemasan.

Perarakan yang bermula pada awal pagi itu, didahului kumpulan rebana sambil berselawat, kemudian diikuti oleh Pegawai 99 Istana yang membawa alat kebesaran diraja serta dituruti pembawa Cepu Bedak Limau oleh Dato’ Raja Penghulu bersama Datuk Menti Laksamana.

Pedati Takhta Rencana yang membawa Baginda Tuanku berdua ini akan menuju ke tempat bersiram yang dinamakan 'Panca Persada' yang terletak lebih kurang 400 meter dari Istana Besar Seri Menanti. Sesampainya Takhta Rencana di Panca Persada, DYMM Yang Dipertuan Besar bersama DYMM Tuanku Ampuan Besar akan bersemayam di atas Panca Persada. Upacara Bersiram akan dimulakan dengan Dato’ Raja Penghulu yang membawa Cepu Bedak Limau menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di atas meja di hadapan DYMM Yang Dipertuan Besar dan DYMM Tuanku Ampuan Besar.

Orang Empat Istana kemudian memulakan tujuh pusingan sambil membawa Cepu Bedak Limau, dengan mengelilingi DYMM Baginda Tuanku berdua. Selesai pusingan itu, Cepu Bedak Limau dipersembahkan kepada Baginda Tuanku berdua, dimulai oleh Dato’ Seri Amar Diraja, diikuti oleh Dato’ Raja Diwangsa, Dato’ Penghulu Dagang dan Dato’ Akhir Zaman, secara bergilir-gilir. DYMM Baginda Tuanku berdua mencelup tangan ke dalam cepu setiap kali dipersembahkan, dan menyapu air tangan ke muka masing-masing. Ianya sebagai simbolik persiraman persediaan untuk menyambut tetamu yang akan berkunjung.

Istiadat diakhiri dengan persembahan yang bersesuaian dengan Adat Istiadat Diraja. Setelah selesai Istiadat Bersiram, Baginda Tuanku berdua akan dihela semula di atas Takhta Rencana, untuk berangkat pulang ke Istana Besar Seri Menanti, dengan diiringi dengan lapan das tembakan  meriam.


3. Istiadat Mengadap Menjunjung Duli

Peringkat ketiga adalah peringkat paling penting dalam keseluruhan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap, iaitu Istiadat Mengadap dan Menjunjung Duli.

Istiadat ini dijalankan secara tertutup di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti. YM Dato’-Dato’ Penghulu Luak akan mengambil tempat masing-masing, di atas Seri Raja Di Muda, yang disediakan berhadapan tepat dengan Singgahsana. Istiadat ini akan dimulakan apabila DYMM Yang Dipertuan Besar dan DYMM Tuanku Ampuan Besar berangkat masuk ke Balairong Seri, dengan iringan irama Raja Berangkat yang dimainkan oleh Kumpulan Cak Lempong, dan disambut dengan tembakan meriam sebanyak 11 das.

Turut mengiringi keberangkatan masuk DYMM Baginda Tuanku berdua ke dalam Balairong Seri ialah Yang Amat Mulia Putera Yang Empat, iaitu YAM Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Laxamana, YAM Tunku Muda Serting dan YAM Tunku Panglima Besar. DYMM Baginda Tuanku berdua akan duduk bersemayam di atas Singgahsana, dengan diapit oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti dan YAM Tunku Muda Serting duduk di sebelah kanan. Manakala YAM Tunku Laxamana dan YAM Tunku Panglima Besar akan duduk di sebelah kiri.
 
Istiadat ini dimulakan dengan nyanyian lagu negeri ‘Berkatlah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan’. Selesai lagu kebesaran negeri, Dato' Bentara Dalam akan menyeru Dato’ Seri Amar Diraja untuk Haluan Sembah istiadat. Setelah selesai Haluan Sembah, Dato’ Seri Amar Diraja akan mengisytiharkan bahawa Istiadat Penghulu Luak Mengadap akan dizahirkan. Setelah itu, Dato’ Bentara Dalam menyeru YB Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, untuk bacaan doa.

Usai bacaan doa, Dato’ Bentara Dalam kemudiannya menyeru dan memanggil mengadap bagi menjunjung duli dan lafaz taat setia  YM Dato’-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung, dengan dimulai oleh Penghulu Luak paling kanan iaitu YM Dato’ Bendahara Setia Maharaja Lela Pahlawan, Penghulu Luak Ulu Muar bersama Dato’ Lembaganya. Ia akan dituruti dengan YM Dato’ Lela Putra Setiawan, Penghulu Luak Jempol; YM Dato’ Anjah Pahlawan, Penghulu Luak Terachi; YM Dato’ Orang Kaya Mempasir Setiawan, Penghulu Luak Gunung Pasir; dan akhir sekali ialah YM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh, Penghulu Luak Inas, bersama dengan Dato’-Dato Lembaga Luak masing-masing.
 
Di dalam istiadat ini, YM Penghulu Luak yang diseru akan melaungkan ‘Daulat Tuanku’ dan akan tampil ke hadapan Baginda, dari bawah Singgahsana. YM Penghulu Luak akan memulakan tatacara 'Langkah Tujuh', melalui tujuh anak tangga Singgahsana.

Setiap Penghulu Luak akan bersimpuh, kemudian merangkak tiga kali untuk kemudiannya kembali duduk bersimpuh di hadapan DYMM Baginda Tuanku, dibuat di setiap mata tangga dalam tujuh ulangan setiap satunya. Setiap kalinya, Penghulu Luak dan Dato’-Dato Lembaga mereka akan mengangkat tangan menyembah sekali kepada DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, di hadapannya. Tangan untuk menyembah akan digilirkan dari sisi kanan dan kiri sebelum dirapatkan pada batang hidung pada setiap kali angkat sembah dilakukan.

Sembah terakhir akan diakhiri dengan ungkapan ‘Menjunjung kasih Tuanku’. Kemudian, Penghulu Luak akan kembali tunduk dan mencium belakang tangan Baginda Tuanku sebagai tanda kasih dan taat setia Penghulu Luak serta seluruh isi Luaknya di atas kekuasaan DYMM Baginda Tuanku. Perbuatan mencium dan mengangkat sembah terakhir ini akan dibuat sebanyak tiga kali ulangan setiap satunya. Usai mencium belakang tangan Baginda Tuanku, Penghulu Luak akan merangkak menuruni anak tangga Singgahsana, dengan cara yang sama seperti mana ketika mereka menaiki anak tangga Singgahsana sebelumnya.

Setelah sampai di bawah Singgahsana, Penghulu Luak akan duduk bersila dan mengangkat sembah sebanyak tiga kali. Selepas itu, Penghulu Luak akan melafazkan ikrar taat setia bagi mewakili Dato’-Dato’ Lembaga Luak dan seluruh isi Luak. Lafaz ikrar taat setia bagi setiap Penghulu Luak adalah berbeza bagi setiap Luak Tanah Mengandung. Usai melafazkan ikrar taat setia, Penghulu Luak dan Lembaga masing-masing akan mengangkat sembah sebanyak tiga kali dan mengundur juga dengan cara sama mereka hadir ke hadapan untuk mengadap tadi, sebelum mengakhiri upacara mengadap.
 

Setelah selesai kesemua lima orang Dato’-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung mengadap menjunjung duli dan menyembahkan ikrar taat setia, Dato’ Bentara Dalam memaklumkan bahawa DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berkenan untuk bertitah. Usai titah ucapan DYMM Baginda Tuanku, Dato’ Bentara Dalam menyembah maklum bahawa aturcara istiadat telah sempurna dijalankan. Seterusnya, Dato’ Bentara Dalam menyeru Dato’ Seri Amar Diraja mengadap untuk menutup istiadat. Setelah selesai Dato’ Seri Amar Diraja menyembahkan kepada DYMM Baginda Tuanku untuk menutup istiadat, Dato’ Seri Amar Diraja kemudiannya mengisytiharkan bahawa istiadat tersebut telah selamat disempurnakan dan istiadat ditutup. Setelah itu, DYMM Yang Dipertuan Besar dan DYMM Tuanku Ampuan Besar, diiringi oleh YAM Putera Yang Empat berangkat keluar dari Balairong Seri.

Upacara terakhir di dalam istiadat ini, iaitu kebiasaannya pada sebelah petang hari ketiga ialah Istiadat Menurun dan Meyimpan Alat Kebesaran. di mana setiap alat kebesaran diraja yang dipasang pada hari pertama akan diturunkan untuk disimpan semula. Apabila kuncupnya payung kuning kebesaran, bermakna tamatlah sudah Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap dan Menjunjung Duli. Istiadat Menyimpan Alat Kebesaran ini disaksikan oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti dan tiga das tembakan meriam akan dilepaskan, sebagai pelengkap istiadat.

Kali terakhir istiadat ini diadakan secara rutin tiga tahun sekali ialah ketika zaman pemerintahan Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (1967-2008). Ketika pemerintahan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli pertama kali diadakan di dalam tahun 2009, bersempena dengan Istiadat Pertabalan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.

Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli ini kemudiannya diadakan pada tahun 2014, bermula pada 16 Mei 2014 sehingga 18 Mei 2014. Kemudiannya pada tahun 2019, istiadat ini diadakan pada 15 November 2019 sehingga 17 November 2019. Pada tahun 2023, istiadat ini diadakan pada 17 November 2023 sehingga 19 November 2023.

Pada Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli Tahun 2023, Yang Amat Mulia Tunku Muda Serting, Tunku Imran ibni Almarhum Tuanku Jaafar tidak dapat berangkat hadir ke Istiadat tersebut, Penyandang-penyandang lain bagi gelaran Putera Yang Empat pada masa kini ialah Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhaudin ibni Tuanku Muhriz; Yang Amat Mulia Tunku Laxamana, Tunku Naqiuddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar; dan Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar, Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar.