"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 23 Ogos 2011

PERISITIWA PERTABALAN KDYMM SULTAN HAJI AHMAD SHAH SEBAGAI SULTAN PAHANG



Dengan kehendak dan ketentuan Allah s.w.t., KDYMM Sultan Sir Abu Bakar  Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah telah pun mangkat pada tanggal 5 Mei 1974, setelah memerintah negeri Pahang selama 52 tahun. Kemangkatan Raja Pemerintah yang namanya sentiasa meniti di bibir rakyat negeri Pahang ini telah ditangisi oleh seluruh rakyat jelata.

Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Demikian pepatah lama dan begitu jugalah takdir yang menetukan.  Pada 7 Mei 1974, KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Haji Ahmad Shah telah dimasyhurkan sebagai raja pemerintah menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda. Setelah genap setahun di atas tahta kerajaan negeri Pahang, pada 8 Mei 1975, Baginda telah ditabalkan dan dimahkotakan dengan gelaran KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Muasta’in Billah, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Pahang, di dalam suatu upacara yang penuh adat istiadat diraja, dengan penuh kebesaran dan gilang gemilang, di Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan.


Sejak itu, negeri Pahang di bawah pemerintahan KDYMM Tuanku dan menjadi bertambah maju dan sentiasa aman damai dan sejahtera.

UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN NEGERI PAHANG



BAHAGIAN PERTAMA UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN NEGERI PAHANG

BAB 1 - RAJA PEMERINTAH
  • Raja Pemerintah
  • Raja Pemerintah dan Waris-waris Negeri yang akan menggantikannya hendaklah Melayu daripada Darah Raja dan hendaklah beragama Islam
  • Keturunan Sultan Haji Ahmad Shah
  • Keturunan Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Abdullah dan Sultan Ahmad
  • Jika tiada keturunan Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Abdullah dan Sultan Ahmad yang layak menjadi Raja Pemerintah
  • Memilih, melantik dan menabalkan Raja Pemerintah
  • Raja Pemerintah meninggalkan Negeri berlama-lamaan
  • Raja Pemerintah turun dari takhta
  • Penamatan elaun Raja Pemerintah dalam hal-hal yang tertentu
  • Elaun Raja Pemerintah
  • Wakil Raja Pemerintah dalam Majlis Raja-Raja
  • Isteri Raja Pemerintah

BAB II - JUMAAH PEMANGKU RAJA
  • Tugas-tugas Diraja
  • Jumaah Pemangku Raja
  • Raja Pemerintah belum cukup umur
  • Keuzuran Raja Pemerintah
  • Kegeringan sedikit-sedikit dan meninggal negeri
  • Raja Pemerintah menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong
  • Lantikan Pemangku Raja atau Jumaah Pemangku Raja

BAB III - WARIS GANTI
  • Lantikan Waris Ganti
  • Elaun untuk Waris Ganti dan Isterinya
  • Waris Ganti meninggalkan negeri, dilucutkan jawatan dan menyerahkan balik kuasa
  • Waris-Waris Ganti dan Kerabat-Kerabat Diraja yang boleh mengganggu hal-ehwal Negeri

BAB IV - AGAMA NEGERI
  • Agama Negeri
  • Raja Pemerintah Ketua Agama Negeri
  • Majlis Adat Istiadat Negeri Pahang

BAB V - JUMAAH PANGKUAN NEGERI
  • Mengadakan mesyuarat-mesyuarat Jumaah Pangkuan Negeri dan kehadiran dalam mesyuarat-mesyuarat itu
  • Cukup bilangan
  • Lebih suara
  • Peraturan Tetap

BAB VI - PANGKAT-PANGKAT KEMULIAAN DAN ATURAN ADAT ISTIADAT
  • Raja Pemerintah sahaja yang menjadi punca kemuliaan
  • Hak Raja Pemerintah mengurniakan gelaran-gelaran dan pangkat-pangkat kemuliaan
  • Taraf gelaran
  • Taraf gelaran
  • Kuasa melucutkan gelaran

BAB VII - PERKARA-PERKARA AM
  • Had-had kuasa Raja Pemerintah
  • Cogankata Negeri, Panji-Panji dan Lambang Negeri
  • Pindaan Bahagian ini
  • Pentafsiran Undang-undang Tubuh Kerajaan oleh Mahkamah Tinggi
  • Tafsiran

BAB VIII - PEMBATALAN
  • Pembatalan
  • Jadual

BAHAGIAN KEDUA UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN NEGERI PAHANG

BAB I - PEMERINTAHAN
  • Kuasa Pemerintahan
  • Lantikan Menteri Besar
  • Majlis Mesyuarat Kerajaan
  • Sumpah Jawatan
  • Raja Pemerintah menjalankan kewajipan hendaklah mengikut nasihat
  • Cukup bilangan Majlis Mesyuarat Kerajaan
  • Rayuan-rayuan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan
  • Minit-minit mesyuarat
  • (Dimansuhkan oleh Phg. En. 7/93)
  • Perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri
  • (Dimansuhkan oleh Phg. En. 7/93)
  • (Dimansuhkan oleh Phg. En. 7/93)
  • (Dimansuhkan oleh Phg. En. 7/93)

BAB II - KUASA MENGAMPUNI
  • Kuasa mengampuni dan lain-lain

BAB III - KUASA NEGERI
  • Kuasa negeri berkenaan dengan harta, kontrak-kontrak dan pendakwaan-pendakwaan

BAB IV - BADAN PERUNDANGAN
  • Badan Perundangan Negeri
  • Ahli-ahli Dewan Negeri
  • Kelayakan ahli-ahli
  • Lucut kelayakan menjadi ahli Dewan Negeri
  • Syarat-syarat menengah menjadi ahli dua kawasan pilihan raya
  • Natijah jika seorang ahli yang lucut kelayakan menjadi ahli dan tegahan menamakan calon dengan tiada persetujuannya
  • Ahli-ahli meletakkan jawatan
  • Seseorang ahli yang tiada hadir
  • Keputusan lucut kelayakan menjadi ahli
  • Memanggil mesyuarat Dewan Negeri, memberhentikannya dan membubarkannya
  • Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri
  • Ahli-ahli mengangkat sumpah
  • Titah Diraja
  • Peraturan Dewan Negeri
  • Saraan ahli
  • Mengisytiharkan Rang Undang-Undang
  • Rang Undang-Undang Persendirian
  • Menjalankan kuasa undang-undang
  • Sekatan mengemukakan Rang Undang-Undang dan mencadangkan pindaan yang membabitkan cukai, perbelanjaan dan lain-lain
  • Perkataan-perkataan yang memperundangkan
  • Cukup bilangan
  • Minit-minit mesyuarat
  • Keistimewaan-keistimewaan Dewan Negeri

BAB V - KEWANGAN
  • Cukai tidak boleh dikenakan melainkan dengan kebenaran undang-undang
  • Perbelanjaan yang dipertanggungkan bayarannya ke atas Kumpulan Wang Disatukan
  • Penyata kewangan tahunan
  • Rang Undang-undang Perbekalan
  • Perbelanjaan tambahan dan perbelanjaan berlebihan
  • Mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Disatukan

BAB VI - PERKARA AM
  • Bahasa rasmi
  • Simpanan yang diuntukkan bagi orang-orang Melayu berkenaan dengan jawatan-jawatan, permit-permit dan lain-lain
  • Layanan yang sama kepada pekerja-pekerja Negeri
  • Mohor Negeri
  • Ikrar sebagai ganti sumpah
  • Pindaan kepada Bahagian ini
  • Pentafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan oleh Mahkamah Tinggi
  • Tafsiran
  • Had kedaulatan Raja Pemerintah dipelihara

BAB VII - SYARAT-SYARAT PERALIHAN
  • Syarat-syarat sementara berkenaan dengan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
  • Pemegang-pemegang yang ada sekarang bagi jawatan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, akan terus memegang jawatan masing-masing

BAB VIII - PEMBATALAN
  • Pembatalan
  • Jadual Pertama-Sumpah Jawatan
  • Jadual Kedua-Sumpah Rahsia
  • Jadual Ketiga-Keistimewaan-keistimewaan dan kuasa Dewan Negeri

Isnin, 22 Ogos 2011

KDYTM TENGKU PUAN PAHANG



KDYTM Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Mahmood Iskandar Al-Haj diputerikan pada hari Jumaat, 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Setulang, Johor Bahru. Baginda merupakan anakanda keempat kepada Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dengan YAM Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah.

KDYTM Tunku Azizah memulakan pendidikan awal di Sekolah Taman Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda seterusnya bersekolah di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Tun Fatimah, Johor Bahru.


KDYTM Tunku Azizah dijodohkan dengan KDYTM Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Mahkota Pahang pada tanggal 6 Mac 1986 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. Perkahwinannya dengan KDYTM Tengku Mahkota Pahang itu sebenarnya mengulangi sejarah tradisi kesultanan Johor–Pahang yang juga pernah menyaksikan pernikahan moyang beliau iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar Johor dengan seorang puteri diraja Pahang dan juga pernikahan Almarhum Sultan Mahmud Pahang dengan Tengku Ampuan Mariam, puteri Sultan Abu Bakar Johor. KDYTM Tengku Abdullah dan KDYTM Tunku Azizah dikurniakan seramai 4 orang putera dan 2 orang puteri.

Jumaat, 12 Ogos 2011

TENGKU ABDULLAH IBNI SULTAN HAJI AHMAD SHAH, TENGKU MAHKOTA PAHANG


KDYTM Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diputerakan pada hari Khamis, 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan. KDYTM Tengku Abdullah merupakan anakanda keempat pasangan KDYMM Sultan Pahang dengan KDYMM Almarhumah Tengku Ampuan Afzan binti Almarhum Tengku Panglima Perang Muhammad.

KDYTM Tengku Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan pada tahun 1970 hingga 1971 dan di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan pada tahun 1972 hingga 1974. Ketika berusia 16 tahun, KDYTM Tengku Abdullah telah dihantar menyambung pendidikannya di Aldenham School, Hertfordshire iaitu pada tahun 1975 hingga 1978 dan kemudiannya di Davies Laing and Dick (DLD) College of London pada tahun 1978 hingga 1979.

KDYTM Tengku Abdullah telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975, iaitu semasa usia Tengku Abdullah baru mencecah 15 tahun dan upacara pertabalannya telah berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan pada 23 Oktober 1977. Seterusnya pada 28 April 1979, Tengku Abdullah telah ditabalkan sebagai Pemangku Raja Pahang selepas ayahandanya dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke-7 dari 29 Mac 1979 hingga 25 April 1984. Pada ketika ini jugalah Tengku Abdullah mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, England dalam tahun 1979 hingga 1980. Di sinilah baginda berpeluang bergaul mesra dan berkenalan dengan bakal pemimpin dari seluruh dunia.

KDYTM Tengku Abdullah telah ditauliahkan oleh Ratu England, Queen Elizabeth II sebagai Leftenan Muda pada tahun 1980. Baginda kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Kehormat dalam Kor Kavalri Diraja (Kor Amor Diraja), Tentera Darat Malaysia dengan menyandang pangkat Kapten dan seterusnya pada 18 November 1987 baginda dianugerahkan pula pangkat Mejar Kehormat dalam Kor yang sama. Pada tahun 1999, baginda ditauliahkan sebagai Pegawai Sukarela berpangkat Leftenan Kolonel dan kemudiannya ke pangkat Brigadier Jeneral, dan menyandang jawatan Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah.


KDYTM Tengku Abdullah dipertemukan jodoh dengan YAM Tengku Paduka Putri Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Mahmood Iskandar Al-Haj pada 6 Mac 1986 dalam satu majlis gilang gemilang yang diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. KDYTM Tengku Abdullah dan KDYTM Tunku Azizah dikurniakan seramai 4 orang putera dan 2 orang puteri.

Jumaat, 15 Julai 2011

ISTIADAT PERKAHWINAN DIRAJA

 
Adat istiadat perkahwinan bagi putera dan puteri raja adalah menjadi satu upacara rasmi bagi raja dan Kerajaan Negeri Pahang.

Istiadat Meminang
Apabila seseorang putera raja hendak berkahwin, maka raja akan mengutuskan beberapa orang kerabat diraja dan orang-orang besar melakukan tanda peminangan itu. Sepucuk surat yang tertentu tujuannya akan dibawa oleh utusan itu, dari pihak  lelaki. Sekaki payung kebesaran digunakan masa melangkah mengarak surat itu. Utusan itu disambut dengan satu perhimpunan dari pihak perempuan dan dengan tembakan meriam.

Setelah selesai perbincangan di antara dua pihak, baharulah diadakan ucapan ikrar untuk menetapkan masa kerja, masa menghantar belanja, menetapkan mas kahwin tunai atau tangguh.


Istiadat Menghantar Belanja
Istiadat menghantar belanja ini dilakukan secara besar-besaran, tidak kira sama ada gehara ataupun tidak. Jika pinangan itu gehara, 16 orang jejawat akan membawa 16 bekas hantaran. Dan bagi pihak perempuan, akan membalas 16 juga.

Jika pihak perempuan bukan gehara, 8 orang jejawat dari pihak lelaki akan membawa 8 bekas hantaran dan pihak perempuan akan membalas dengan 16 bekas berisi hantaran, kerana pihak lelaki itu anak raja.

Setelah selesai urusan itu baharulah dikeluarkan lafaz penerimaan oleh wakil-wakil itu tadi dan disamping itu juga disebutkan gelaran-gelaran yang tertentu, jika berkenaan.

Alat-Alat Upacara Menghantar Belanja
1.    Puan
2.    Wang perbelanjaan
3.    Persalinan
4.    Perkakas mas yang wajib
5.    Alat-alat perhiasan

Kemudian pihak perempuan membalas 16 perkara itu, termasuk:
1.    Tanjak
2.    Persalinan
3.    Perhiasan
4.    Buah-buahan

Semua barang-barang itu pula didahului oleh 2 batang tombak, iaitu sama seperti tombak yang digunakan sebagai alat kebesaran diraja.


Istiadat Akad Nikah
Kebiasaannya istiadat akad nikah akan dilakukan pada waktu malam. Isitiadat ini berkehendakkan alat-alat kelengkapan yang teradat, iaitu payung ubor-ubor 16 kaki serta 16 kain dukun.

Setelah itu diaturkan orang-orang yang membawa mohor bekas wang mas kahwin ditempatkan di sebelah kanan, diikuti oleh orang yang membawa keris panjang di sebelah kiri dan yang membawa payung dan kain dukun di belakang. Seorang penganjur di hadapan, serta diikuti oleh pengantin dengan pengapitnya.

Majlis akad nikah pun dilangsungkan dan doa selamat dibacakan. Pengantin pun dibawa bersalam dengan yang hadirin dan kepada kaum kerabat pihak perempuan. Jika anak raja, 16 das tembakan meriam akan dibunyikan. Sesudah berkenalan, pengantin dengan pengapitnya pun mengadap bapa mertuanya di suatu tempat yang dikhaskan.

Setelah selesai upacara mengadap, baharulah hidangan santapan diangkat ke tempat yang dikhaskan dan jamuan dilakukan. Setelah itu, pengantin pun beredar ke tempat yang disediakan untuk bermalam bersama-sama dengan pengapit dan pengiringnya.


Istiadat Bersanding
Alat-alat kelengkapan yang biasa digunakan:
1.    Seorang mengadap puan tepak sireh, sebelah kanan
2.    Penyibaran, sebelah kanan
3.    Seorang mengadap ternang, sebelah kiri
4.    Seorang mengadap ketur
5.    2 orang mengadap dian besar, di kanan dan di kiri atas petarakna
6.    Nasi tabak
7.    Seorang mengadap tabak lauk
8.    Seorang mengadap ambur-ambur (emas, perak & beras kunyit)
9.    Seorang membawa keris panjang
10.  Seorang mengadap ubor-ubor (Panca Bicara)
11.  2 orang mengadap nasi tabak
12.  2 orang mengipas pengantin
13.  16 batang dian

Selain dari kesiapan yang tersebut di atas, ada lagi kelengkapan yang harus disertakan bersama perarakan pengantin lelaki, iaitu:
1.    1 bilah keris panjang
2.    16 payung ubor-ubor
3.    16 kain dukun
4.    3 alatan bunyi-bunyian (nobat & nafiri)
5.    4 orang berdikir

Setelah siap semua kelengkapan teratur, pengaintin pun diarak daripada tempat perhentian ke istana raja. Kenderaan pengantin diatur di hadapan dan diiringi pembawa kelengkapan, dan selepas itu diiringi pula oleh pembawa 16 batang payung dan pembawa kain dukun 16 helai. Kaum kerabat dan sahabat handai mengiringi dari belakang, terus ke istana. Sebaik sahaja sampai, disambut pula oleh pihak perempuan dengan penuh istiadat. Dan dipersilakan oleh Ketua Adat Istiadat di tempat itu ke majlis persandingan, diiringi oleh 2 orang pembawa keris panjang, hingga ke petarakna. Dan ketika itu juga, orang yang membawa dan menyambut mengambil tempat , dengan pengapit berdiri di belakang. Dan semua pegawai pun mengambil tempat masing-masing. Setelah itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia pun dipersilakan meletak panca bicara ke atas jemala kedua pengantin dan tembakan meriam 16 das dilepaskan, kemudiannya. Istiadat makan nasi tabak pun dimulakan.

Setelah itu, Shahibul Fadhillah Mufti membaca doa selamat. Kemudiannya, pengantin pun berangkat masuk ke pelamin dan diiringi oleh kaum kerabat dan pembawa kain dukun.

Pakaian Beristiadat
1.    Pakaian Melayu bersamping dan bertanjak
2.    Berkeris

Pegawai agama hendaklah memakai jubah hitam dan serban. Bangsa lain hendaklah berpakaian lengkap hitam.

* Potret hitam putih di atas adalah dari Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Arif Bendahara Ibrahim ibni Sultan Sir Abu Bakar Pahang dan Raja Aminah binti Raja Muda Musa Perak, 1963.

Khamis, 14 Julai 2011

ADAT ISTIADAT DIRAJA PAHANG

Adat Istiadat Diraja Pahang yang diguna pakai ialah Adat Bendahara, iaitu bermula dari tahun 1885 dalam masa pemerintahan Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Ahmad.

Pengertian Adat Istiadat
Adat ialah kebiasaan turun temurun yang dipakai dan diikuti atau dilakukan berulangkali, beberapa lama oleh sesuatu puak atau kaum sehingga dijadikan kebiasaan, seperti adat perkahwinan, berkhatan dan lain-lain.

Manakala istiadat pula ialah sesuatu kebiasaan yang diambil dan dipilih daripada adat resam, diatur dan disusun sehingga tercipta menjadi isitadat yang dikhaskan untuk upacara-upacara diraja.
 

Adat Istiadat Negeri Pahang adalah hak dan kepunyaan raja, dan raja berkuasa menitahkan sama ada adat istiadat itu hendak dipakai dan dijalankan dengan sepenuhnya atau tidak, pada mana-mana majlis istiadat yang diadakan untuk menzahirkan kebesaran dan kemuliaan raja.

Adat istiadat itu dijaga dan dikawal kesempurnaannya oleh Bendahara, yang diketahui daripada sejak dahulu menjadi ketua adat istiadat dan jua ketua kepada orang besar yang dikurniakan gelaran oleh raja, menurut adat istiadat.

ISTANA LEBAN TUNGGAL



Istana Leban Tunggal dibina pada bulan Mei 1935 dan siap sepenuhnya dalam tahun 1937 / 1938. Istana ini dimiliki oleh Almarhum YAM Tengku Besar Pahang II, Tengku Sulaiman ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah.

Asal nama Istana Leban Tunggal ini ialah pada ketika itu terdapat sepohon pokok leban yang besar dihadapan di mana Istana ini dibina. Tiada pokok-pokok lain yang terdapat berdekatan istana ini melainkan pokok leban yang tunggal. Maka disitulah terciptanya nama Istana Leban Tunggal.

Pelan istana ini direka oleh seorang pereka bangunan iaitu Raja A. Nizam dengan harga RM500.00. dan kerja-kerja pembinaan ditawarkan kepada kontraktor Cina dari Bentong dan kerja-kerja keemasan kayu dsbnya kepada beberapa orang tukang kayu berbangsa Melayu yang mahir dalam kerja-kerja pertukangan. Kos yang dikeluarkan untuk membina istana ini berjumlah lebih kurang $16,000.00. Daripada sumber rujukan yang diperolehi di Arkib Negara, Almarhum Tengku Besar Sulaiman telah meminjam wang dari kerajaan Pahang sebanyak $13,000.00. Dianggarkan seramai empat belas orang pekerja terlibat dalam pembinaan istana ini.


Almarhum Tengku Besar Sulaiman telah mangkat pada tahun 1962. Sepatutnya Tengku Abdul Jalil, iaitu Tengku Besar yang baharu mendiami istana tersebut. Tetapi enggan berbuat demikian kerana telah memiliki kediaman yang lain berdekatan dengan istana tersebut dan menyerahkan kepada pewaris-pewaris yang lain untuk didiami.

Istana Leban Tunggal bukan sahaja indah pada namanya malah unik pada rekabentuknya. Terletak di Jalan Tengku Besar Sulaiman di dalam kawasan Kampung Parit Tengah, Pekan. Berdekatan dengan SMK Ahmad dan SRK Ahmad. Bangunan ini dibina daripada kayu-kayan, batu bata dan konkrit. Bercirikan unsur-unsur Kemelayuan dan sedikit pengaruh istana pada zaman dahulu. Istana Leban Tunggal yang tersergam indah di daerah Pekan ini kemudiannya menjadi sumber rujukan dan pusat gedung ilmu bagi para pencinta ilmu di Daerah Pekan.

Setelah dilakukan pemeliharaan dan pemulihan terhadap istana ini, ianya dijadikan sebagai pusat rujukan dan gedung ilmu bagi para pelajar dan pencinta ilmu. Ianya dilengkapi dengan berpuluh ribu jenis buku serta kemudahan-kemudahan lain seperti meja dan kerusi yang selesa, alat penghawa dingin untuk kemudahan para pelajar mengulangkaji pelajaran melakukan rujukan. Bangunan Istana Leban Tunggal berfungsi sebagai Perpustakaan Awam Daerah Pekan sehingga bulan Mac 2011, sebelum Perpustakaan Awam Daerah Pekan berpindah ke bangunan yang baharu. Istana Leban Tunggal kini diserahkan kepada Jabatan Warisan Negara.