"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 23 Oktober 2014

PENYANDANG GELARAN TENGKU MAHKOTA PAHANG

 

Tengku Mahkota Pahang yang pertama ialah Tengku Abu Bakar ibni Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah. Baginda merupakan putera Raja Pahang yang pertama memakai gelaran Tengku Mahkota. Sebelum itu, sewaktu Tengku Mahmud ibni Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah dilantik menjadi Pemangku Raja (1891),baginda memakai gelaran Tengku  Besar.




Tengku Mahkota Pahang yang kedua pula ialah Tengku Haji Ahmad Shah ibni Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah. Tengku Haji Ahmad Shah dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang pada 25 Mei 1944.




Tengku Mahkota Pahang yang ketiga ialah Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Tengku Abdullah telah ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Pahang pada 23 Oktober 1977.

Selasa, 14 Oktober 2014

SEJARAH MASJID ABDULLAH, PEKAN




Pada tahun 1928, Sultan Abdullah telah menitahkan supaya sebuah masjid baharu dibina di atas tapak masjid lama di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, yang dirobohkan.


Masjid yang diperbuat daripada batu itu siap dibina dalam tahun 1930. Ia tersergam indah dan terletak berhampiran Istana Pantai, tempat bersemayam Sultan Abdullah. Menurut sejarah, Sultan Abdullah berkenan untuk merasmikan masjid tersebut. Tetapi malangnya, baginda jatuh gering pada masa itu. Putera baginda, Tengku Mahkota Abu Bakar telah merasmikan pembukaan masjid tersebut pada 8 Januari 1932 dan memberi nama Masjid Abdullah, sempena nama ayahanda baginda.

Masjid Abdullah dijadikan sebagai Masjid Rasmi bagi Bandar Diraja Pekan dan Sultan Abdullah semasa hayat Almarhum turut bersolat Jumaat dan berjemaah di masjid ini. Apabila Tengku Mahkota Abu Bakar menaiki tahta sebagai Sultan Pahang dalam tahun 1932, baginda juga meneruskan amalan ayahanda baginda itu.


Masjid Abdullah kekal menjadi masjid utama di Pekan sehingga tahun 1976, sebelum sebuah masjid baharu telah dibina bersebelahan dengan tapak Masjid Abdullah ini. Kini Masjid Abdullah sedang diubahsuai untuk dijadikan Muzium Islam