"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 31 Mac 2015

PINGAT SULTAN IBRAHIM JOHOR (P.S.I.)


Sempena Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, terdapat beberapa Darjah dan Bintang Kebesaran baharu yang diwujudkan di negeri Johor. Di antaranya ialah Pingat Sultan Ibrahim Johor (P.S.I.).

Pingat Sultan Ibrahim Johor mula dizahirkan pada 30 Mac 2015, bersamaan 9 Jamadil Akhir 1436 Hijrah. Ia dizahirkan dalam 3 kelas, iaitu:
1.  Pingat Sultan Ibrahim Johor Kelas Pertama (P.S.I. I), buah pingatnya diperbuat daripada emas.
2.  Pingat Sultan Ibrahim Johor Kelas Kedua (P.S.I. II), buah pingatnya diperbuat daripada perak.
3.  Pingat Sultan Ibrahim Johor Kelas Ketiga (P.S.I. III), buah pingatnya diperbuat daripada gangsa.

Ketiga-tiga pingat ini mempunyai rekabentuk yang sama, berdiameter 35mm. Pandangan hadapan pingat, terdapat imej DYMM Sultan Ibrahim. Di bahagian belakangnya terdapat imej tandatangan DYMM Tuanku, dan tertulis SULTAN IBRAHIM II JOHOR, di dalam tulisan jawi. Di bawahnya tertulis tahun 2015. Di bahagian atas imej tandatangan, terdapat imej Mahkota Johor.

Riben Pingat Sultan Ibrahim Johor ini berwarna merah di tengah-tengah dan berwarna biru dan putih di kiri dan kanan. Riben pingatnya berukuran 32mm lebar.

Sabtu, 21 Mac 2015

ALAT ISTIADAT KEBESARAN NEGERI JOHOR

Sempena Memuliakan Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim


Negeri Johor mempunyai beberapa Alat Istiadat Kebesaran yang diwarisi dari zaman zaman ke zaman. Peralatan istiadat kerajaan negeri Johor berfungsi sebagai unsur memberi nilai legitimasi dan kedaulatan kepada Raja sebagai pemerintah dan mengangkat martabat kerajaan.

Antara peralatan istiadat kebesaran ialah:
-       Mahkota Kerajaan & Mahkota Permaisuri
-       Bendera Sultan
-       Bendera Johor
-       Cogan Agama
-       Cogan Alam
-       Keris
-       Lembing Istiadat
-       Payung Besar & Payung Kecil Diraja
-       Cokmar
-       Tongkat
-       Pedang Kerajaan
-       Tahta Kerajaan

Mahkota Kerajaan & Mahkota Permaisuri
Mahkota Kerajaan diperbuat daripada logam yang berharga, bertatahkan dengan batu permata yang berbeza ukuran dan bentuk. Antaranya 6 biji berlian besar, 3 biji batu delima merah, 4 batu zamrud besar dan 4 biji batu nilam biru besar. Balang mahkota sahaja mengandungi 1450 biji berlian  kecil. Bulan dan bintang bersalut dengan berpuluh berlian kecil yang bergemelapan. Diilhamkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar. Dibuat pada tahun 1886 oleh syarikat J.W. Benson, London.

Mahkota Permaisuri (Diadem) iaitu kecil sedikit dari Mahkota Kerajaan, untuk digunakan oleh suri baginda. Dalam tahun 1925, Sultan Ibrahim  berkenan mengubah dan memperbaiki Mahkota Permaisuri dengan mengadakan 5 biji berlian besar, setiap satu 18 karat. Baginda menambah kepada regalia itu dengan mengadakan seutas rantai atau kalung yang mengandungi 671 butir berlian dan sebuah tiara diperbuat daripada emas putih, bertatahkan berlian.

Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri digunakan dalam 2 istiadat sahaja, dengan titah perkenan raja, iaitu:
1.    Dalam istiadat kemahkotaan, di mana Mufti meletakkan mahkota di hulu (kepala) Sultan dan Sultanah dengan bacaan selawat Nabi dan diikuti dengan doa.
2.    Mahkota diletakkan oleh Bakal Raja di atas keranda diraja, semasa Majlis Penghormatan Terakhir sebelum pemakaman.

Mahkota disimpan sebaik sahaja majlis tamat.
 
Bendera Sultan
Juga dikenali sebagai Bendera Peribadi Sultan. Warna putih diwarisi dari bendera peribadi Sultan Hussain dan dikekalkan oleh Temenggong Ibrahim, melambangkan kesucian dan berserah kepada Allah. Pada tahun 1871, Sultan Abu Bakar menambah dan memasukkan lambang anak bulan dan bintang pecahan sembilan, menandakan kedudukan tertinggi mengetuai negeri.

Warna biru ini dipadankan dari warna langit alam semula jadi (Sky Blue atau Royal Blue) dan melambangkan kesejahteraan. Bendera ini menjadi simbol kedaulatan raja yang memerintah.

Bendera yang diperbuat dari kain sutera tulen dan dipasang pada tiang yang diperbuat dari logam perak yang bermutu tinggi dijadikan satu dari peralatan istiadat kerajaan.

Bendera Johor
Warna  putih pada anak bulan dan bintang menandakan Raja yang berdaulat. Simbol anak bulan dan bintang menunjukkan lambang agama Islam yang menjadi agama rasmi negeri Johor.

Bahagian bewarna merah melambangkan keberanian dan ketabahan hulubalang dan pengikut Sultan Abu Bakar yang bersama-sama menerokai dan memajukan Johor.

Maksud warna biru tua (Navy Blue) yang dipadankan dari warna laut ialah kerajaan dan rakyat.

Cogan Agama
Cogan Agama diperbuat daripada emas, berbentuk bujur daun sirih dan mempunyai identiti sejarah tempatan. Bentuk ini simbol lada hitam yang menjadi teras ekonomi Johor ketika itu.Cogan ini berukuran 0.6 meter (2 kaki) di bahagian paling lebar dan terletak di atas sebatang tongkat perak berukuran 1.8 meter ( 6 kaki). Di tengah muka Cogan Agama terdapat ejaan nama ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ di bawahnya, dalam tulisan Jawi. Di bahagian bawah tulisan ‘Muhammad’, juga dalam tulisan Jawi ditulis perkataan ‘Kepada Allah Berserah’. Ukiran gambir dan lada hitam menghiasi di sekeliling cogan itu. Simbol mahkota dan bulan bintang yang diukir menunjukkan lambang kedaulatan raja.

Cogan Alam
Cogan Alam ditempatkan bahagian depan di sebelah kiri. Cogan yang berbentuk anak bulan dan bintang pecahan lima, diperbuat daripada emas, beurkuran 30.48 sentimeter (1 kaki) dan ditatang oleh tongkat setinggi 1.8 meter (6 kaki). Simbol bulan bintang memberi tafisran bahawa Sultan Abu Bakar dan kerajaan Johor menjunjung dan mendaulatkan agama Islam dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Nama baginda yang diukir di atas cogan bertujuan memberi makna supaya rakyat akan sentiasa mengenang dan menghormati baginda sebagai pengasas negeri Johor moden.

Keris Darjah Mahkota
Sarung keris panjang ini daripada emas bungkai yang teragam hias dengan ukiran-ukiran timbul awan belanda dan sebuah mahkota enamel yang bertatahkan intan berlain dan batu-batu delima.

Ulunya daripada emas yang teragam hias dengan mahkota-mahkota enamel, batu-batu permata delima, nilam dan intan berlian dan berkepalakan sebuah mahkota.

Bahagian mata keris yang lurus tertulis ukir dengan kalimah ‘Tawakkal Allaallah’ dan ‘Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Ibrahim, Johor Sanah 1278’ pada salah satu daripada permukaannya dan pada permukaan yang disebaliknya pula tertulis ukir dengan ayat ‘Kepada Allah Berserah’.

Keris Darjah Kerabat
Sarung keris panjang ini teragam hias dengan ukiran-ukiran timbul awan belanda yang merangkumi pelbagai jenis kepala binatang-binatang yang terdapat di Negeri Johor dan bintang serta bulan sabit daripada enamel, batu-batu permata delima, nilam dan intan berlian yang berkepalakan Bintang dan Bulan Sabit.

Bahagian mata keris yang lurus tertulis ukir dengan kalimah ‘Tawakkal Allahallah’ dan ‘Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Ibrahim, Johor Sanah 1278’ pada salah satu daripada permukaannya dan pada permukaan yang di sebaliknya pula tertulis ukir dengan ayat ‘Muafakat Itu Berkat’.

Lembing Istiadat
Pada awal masa dahulu, lembing dijadikan alat senjata bagi mengawal keselamatan raja semasa perarakan. Fungsi lembing sekarang ialah sebagai lambang kekuasaan raja, tetapi masih ditempatkan di hadapan perarakan. Terdapat 16 batang lembing istiadat dan setiap satu berukuran 2.14 meter (7 kaki 5 inci) tinggi bermata runcing dan berlok tujuh. Mata lembing diperbuat daripada bahan besi waja dilorek dengan motif daun lada hitam  dan gambir, serta simbol bulan bintang yang membawa erti Islam sebagai agama rasmi negeri. Lembing yang tidak berambu ini dipanggil Lembing Istiadat.

Payung Besar & Payung Kecil Diraja
Almarhum Sultan Abu Bakar menjadikan 2 Payung Besar dan 2 Payung Kecil sebagai lambang tradisi memberi perlindungan kepada raja. Tidak seperti negeri lain, Payung Istiadat Johor berwarna puith, iaitu warna raja yang memerintah. Payung Besar berukuran 2.1 meter (83 inci) dan Payung Kecil 1.8 meter (71 inci). Kedua-duanya diperbuat daripada kain sutera putih yang bertekatkan lambang Mahkota Kerajaan. Batang payung diperbuat daripada perak. Di puncak payung terterap pendua Mahkota Kerajaan.

Cokmar

2 buah cokmar juga dijadikan sebagai peralatan istiadat:
Cokmar Dato’ Penghulu Biracana
Cokmar Kerajaan dinamakan Cokmar Dato’ Penghulu Biracana. Diperbuat daripada perak dan berukuran 1.4 meter (4 kaki 9 inci), dilorek dengan awan larat yang bermotifkan lada hitam dan gambir, serta bulan bintang dan Jata Kerajaan.

Cokmar Dato’ Penghulu Istiadat
Cokmar Dato’ Penghulu Istiadat adalah lebih pendek dan pada kepalanya terterap pendua mahkota. Kedua-kedua cokmar ini ditanggung di atas bahu kanan pembawanya dalam setiap istiadat diraja dan mengepalai segala peralatan istiadat.

Tongkat
Terdapat 8 batang tongkat yang berukuran 1.4 meter panjang (4 kaki 9 inci). Tongkat ini diperbuat daripada rotan yang berbingkaikan perak dan teragam hias dengan jambak-jambak lada hitam dan gambir yang berselang seli dengan mahkota-mahkota dan bintang serta bulan sabit yang berkepalakan sebuah mahkota yang diperindahkan dengan enamel.

Pedang Kerajaan
Kerajaan Johor pernah menghadiahkan sebilah pedang untuk dijadikan Pedang Kerajaan kepada Almarhum Sultan Ibrahim pada tahun 1935, sempena 40 tahun baginda di atas tahta kerajaan. Pedang tersebut ditempah khas dengan syarikat J.W. Benson, London. Hulu pedang ini diperbuat daripada gading yang diukir awan larat bersalut emas, ditatah dengan simbol Mahkota Kerajaan dan monogram Sultan Ibrahim. Sarung pedang itu diukir dengan Jata Kerajaan yang diilhamkan oleh Sultan Abu Bakar. Turut diukir ialah simbol Darjah Kerabat dan Darjah Mahkota. Sebelah mata pedang yang diperbuat daripada besi waja tertulis kalimah Jawi ‘Alwathik Billah Al-Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar 1313’. Pedang ini digunakan sebagai sebahagian daripada pakaian istiadat Sultan Johor sehingga sekarang.

Tahta Kerajaan
Tahta Kerajaan Johor merupakan 2 buah Kerusi Diraja yang terletak di atas peterana yang berbalut dengan baldu berwarna biru di tengah-tengah Bilik Singgahsana. Tahta Kerajaan Johor kakinya tinggi dan runcing berbentuk kaki harimau yang beralaskan bulatan. Ini melambangkan kekuasaan seperti mana singa dianggap sebagai raja bagi segala makhluk belantara. Harimau adalah binatang yang amat ditakuti oleh binatang-binatang buas lainnya di Malaysia. Tahta Kerajaan Johor berpuncakkan simbol jata kerajaan negeri dengan seru ‘Kepada Allah Berserah’, seperti yang telah ditegaskan. Inilah pegangan kerajaan Sultan Abu Bakar dan pengganti-pengganti baginda seterusnya.

Sabtu, 14 Mac 2015

SULTAN ABU BAKAR MANGKAT DI ISTANA PENINJAU


Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah, Sultan Pahang ke-4 telah diserang sakit jantung sewaktu Almarhum sedang berehat di Istana Peninjau, Kampung Padang Polo, Pekan, pada jam 8.30 malam, 5 Mei 1974.




Menurut ceritanya, Sultan Abu Bakar baru sahaja pulang dari memberi makan kuda-kuda polo baginda, yang terletak tidak jauh dari Istana Peninjau. Isteri Almarhum, Cik Puan Maria Menado telah memanggil pekerja-pekerja Kelab Polo Diraja Pahang yang tinggal berhampiran istana untuik mendapatkan bantuan.





Sebuah ambulans dari Hospital Daerah Pekan telah tiba dan membawa Almarhum untuk diberikan rawatan kecemasan. Malangnya, Almarhum telah mangkat sebaik sahaja ambulans yang membawa Almarhum tiba di Hospital Daerah Pekan.

TAPAK ISTANA SERI TERENTANG


Istana Seri Terentang di Pekan dirobohkan dalam tahun 1940-an, iaitu dalam zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah. Sehingga kini belum dapat dipastikan mengapa istana yang banyak berlangsungnya peristiwa-peristiwa bersejarah itu dirobohkan.

Menurut Sejarah Pahang, Istana Seri Terentang merupakan istana ketiga tertua di Pekan. Dikatakan dibina pada tahun 1904 dan siap dalam tahun 1908. Kos pembinaannya dikatakan hanya RM21,187. Nama istana ini diambil sempena banyak pokok terentang yang mengelilingi kawasan tersebut pada masa itu.

Reka bentuk istana ini adalah hasil ilham Tengku Besar Mahmud ibni Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah, yang kemudiannya dilantik menjadi Sultan Pahang dalam tahun 1914. Selepas kemangkatan Sultan Mahmud dalam tahun 1917, adinda Almarhum, Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah bersemayam di istana ini.

Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah juga bersemayam di Istana Seri Terentang sejak menjadi Sultan dalam tahun 1932 dan berpindah ke Istana Kota Beram (kini Muzium Sultan Abu Bakar), setelah Istana Seri Terentang dirobohkan.



Ada di kalangan orang-orang tua di Pekan mengatakan bahawa Sultan Abu Bakar bercadang hendak membina sebuah istana baharu dan kerana itulah Istana Seri Terentang dirobohkan. Bagaimanapun, istana baharu yang dicadangkan itu tidak dibina di atas tapak Istana Seri Terentang, sebaliknya ia dibina di satu kawasan berhampiran.



Apabila istana baharu yang dinamakan Istana Abu Bakar itu siap dibina pada awal tahun 1970-an, Sultan Pahang telah berangkat berpindah dan bersemayam di situ sehingga baginda mangkat pada 5 Mei 1974.


Apabila Sultan Haji Ahmad Shah menaiki tahta dan ditabalkan pada 8 Mei 1975, baginda juga bersemayam di Istana Abu Bakar dan tapak Istana Seri Terentang itu terus terbiar tanpa sebarang cadangan untuk dijadikan istana baharu pada masa ini.

Jumaat, 13 Mac 2015

MAKAM TENGKU BESAR SULAIMAN DI MAKAM DIRAJA PEKAN


Tengku Besar Pahang, Tengku Sulaiman ibni Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah mangkat di Istana Leban Tunggal, Kampung Parit Tengah, Pekan pada 16 Jun 1962, sewaktu berusia 78 tahun.


Jenazah Almarhum Tengku Besar Sulaiman telah disembahyangkan di Masjid Abdullah, sebelum disemadikan di Makam Diraja Pekan. Almarhum merupakan Kerabat Bergelar Negeri Pahang yang kedua disemadikan di makam diraja ini. Adinda Almarhum, Tengku Panglima Perang Muhammad merupakan kerabat bergelar yang pertama disemadikan di Makam Diraja Pekan, iaitu dalam tahun 1957


Tengku Besar Sulaiman merupakan putera keempat Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah. Almarhum diputerakan dalam tahun 1884.